Friday, June 22, 2012

Komik asma wadah pendidikan si cilik


NORZILA (dua dari kiri) dan Vijaya (kiri) melancarkan buku komik Apa Sudah Jadi Dengan Max? yang menceritakan mengenai penyakit asma dalam gaya bacaan santai.


ASMA merupakan masalah kesihatan global yang serius kerana ia mencatatkan peningkatan di kebanyakan negara terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Bilangan kanak-kanak yang menghidap asma meningkat lebih dua kali ganda sejak dua dekad lalu. Bagaimanapun, hanya 60 peratus daripada mereka berjumpa doktor.

Prihatin dengan senario penyakit tersebut, Majlis Asma Malaysia (ACM) dengan sokongan syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan terkemuka dunia, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd. (GSK) melancarkan sebuah buku komik yang bertajuk, Apa Sudah Jadi Dengan Max?

Langkah tersebut diambil sempena Hari Asma Sedunia 2012 bertujuan meningkatkan pengetahuan tentang asma dan cara pengurusannya. Dianggarkan, sejumlah 4.9 hingga 13.8 peratus dalam keseluruhan populasi kanak-kanak di dunia terjejas akibat asma.

Ia sejajar dengan seruan Global Initiative for Asthma (GINA) bagi meningkatkan kesedaran tentang asma dan penjagaan yang lebih baik di seluruh dunia.

"Kita perlu mendidik semua pesakit asma sejak kecil lagi bahawa kawalan dan pengurusan asma yang baik akan membolehkan penghidapnya menjalani kehidupan aktif serta sihat," kata Pakar Runding Pediatrik, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin.

Buku komik tersebut dihasilkan oleh Medikidz dan telah dinilai oleh pakar perubatan tempatan serta disahkan oleh ACM.

Ia bertujuan mendidik kanak-kanak dan penghidap asma tentang penyakit tersebut, rawatan dan kaedahnya bagi mengelakkan serangan.

Gaya penyampaiannya yang mudah dibaca dan menarik membolehkan Apa Sudah Jadi Dengan Max? menarik minat si kecil.

Buku komik itu boleh didapati dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara percuma di klinik-klinik dan hospital-hospital yang terlibat di seluruh negara.

"Kesedaran tentang asma, sama pentingnya dengan cara pengawalan asma yang baik," ujar Norzila.

Dalam pada itu, Pengurus Produk Kumpulan GSK, Vijaya Surendran memberitahu, inisiatif hasil kerjasama dengan ACM adalah untuk meningkatkan kualiti pesakit asma secara berterusan.

"Kami percaya komik tentang asma ini akan menjadi wadah pendidikan dan maklumat untuk mendidik pesakit kanak-kanak.

"Pada masa yang sama ia menggalakkan budaya membaca," katanya.

Di seluruh dunia, dianggarkan seramai 300 juta orang menghidap penyakit asma. Ia merupakan penyakit kronik yang paling banyak dihidap oleh kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: