
PUSAT beli-belah AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur yang selalunya sibuk pada hujung minggu, bertambah sesak Ahad lalu apabila Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 Zon Tengah berlangsung di situ.
Mereka yang terdiri daripada peserta dan ahli keluarga yang memberikan sokongan, bahkan ramai pengunjung lain juga tertarik untuk singgah melihat para peserta menghias kek dan menyaksikan persembahan menarik artis-artis jemputan.
Apatah lagi, pengunjung turut berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan teka minyak jagung yang menawarkan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik seperti periuk nasi dan pengisar.
Pengunjung yang datang bersama dua keping kepala akhbar Kosmo! juga dapat menukarnya dengan minyak jagung Daisy 500 mililiter, selain dapat membeli minyak jagung Daisy pada harga promosi.
Namun, apa yang lebih menarik mengenai acara anjuran bersama oleh Daisy dan akhbar Kosmo! serta rakan strategik iaitu perkakasan Corningware dan Corelle ialah pengunjung dapat menikmati keenakan kek dan biskut para peserta yang mengambil bahagian.
Acara dimulakan selepas demonstrasi kek dan biskut oleh duta minyak jagung Daisy, Chef Liza Zainol dan bersama anaknya, Chef Erin.
Acara yang berakhir pukul 6 petang itu menyaksikan seorang pesara guru, Rohani Ismail, 57, muncul juara kategori kek dengan mempertaruhkan kek Cinta Seri Bunga, manakala suri rumah, Nur Atiqah Ayu Ong Abdullah, 50, memenangi kategori biskut dengan mempertaruhkan biskut Mentega Kacang Daisy.
Kurang bersedia

Tempat kedua bagi kategori kek pula menjadi milik Zurinah Sahari, 41, manakala Muhd. Khairil Syamir, 21, menduduki tempat kedua kategori biskut.
Sebelum kemenangan diumumkan, Rohani yang menjalankan bisnes kek dan kuih memberitahu, dia tidak yakin akan menang kerana kurang bersedia lebih-lebih lagi dia tidak pernah menyertai pertandingan sedemikian sebelum ini.
“Sudah lama saya teringin masuk pertandingan membuat kek dan akhirnya diberi peluang.
“Saya mengambil masa selama tiga hari untuk menyediakan resipi dan menyiapkan kek ini yang mempunyai rasa lobak merah, badam, walnut dan menggunakan gula perang untuk menghasilkan warna kek yang menarik,” katanya ketika ditemui.
Selain itu, dia menghasilkan lapisan icing yang tidak akan cair di bawah terik matahari kerana menggunakan sukatan gula icing dan mentega yang tepat.
“Selalunya kek tidak tahan lama sekiranya tidak disimpan di dalam peti sejuk, tetapi kek Cinta Seri Bunga ini tahan lama terutamanya untuk perjalanan jauh, malah lebih enak sekiranya disimpan sehari selepas dimasak sebelum dimakan,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Atikah Ayu yang tewas dalam saingan peringkat zon tahun lalu berjaya memikat hati ketua juri untuk kategori biskut.
“Selepas kalah tahun lalu, saya merasa biskut yang memenangi tempat pertama bagi mengetahui apakah kelebihan biskut itu sehingga dipilih sebagai pemenang dan meneliti kehendak juri,” katanya.
Selaku juara kategori biskut dan kek, Nur Atiqah Ayu dan Rohani masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 dan hamper, manakala pemenang tempat kedua pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 dan hamper.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Chef Liza sambil disaksikan oleh Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Pengurus Besar Perwira Nadi Trading Sdn. Bhd., Phang Tieh Yee dan Pengurus Produk Bahagian Makanan Lam Soon, Cecilia Lee.
Peringkat akhir

Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah pertandingan menghias kek cawan, Daisy Challenge, persembahan nyanyian oleh Zarina Akademi Fantasia (AF) dan kumpulan Spider.
Juara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Selatan pada minggu lalu bagi kategori kek ialah Fadilah Mustafa, 50, manakala juara kategori biskut ialah Rogayah Mat Taib, 56.
Sementara itu, tempat kedua bagi kategori kek dan biskut masing-masing dimenangi Zurliyani Mohd. Abdul Aziz, 36, dan Hasrimawati Hutar, 36.
Juara dan pemenang tempat kedua dalam kategori kek dan biskut pada setiap peringkat zon layak bertanding pada peringkat akhir yang akan berlangsung di pusat beli-belah AEON AU2 Setiawangsa pada 1 Julai ini.
Juara peringkat akhir bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM5,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: