JIKA di atas padang, kelincahan pemain sayap skuad bola sepak Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah, 26, pasti menjadi tumpuan ramai. Apatah lagi bagi pasukan lawan yang terpaksa berhempas pulas mengawasi kelibatnya.
Namun hakikatnya, Shahurain yang popular dengan gelaran 'Kecik' di atas padang itu sememangnya memiliki karakter berbeza apabila bercerita tentang hal percintaan dan rumah tangga dengan gadis pilihan hatinya, Siti Salmah Khamis @ Kassim, 25.
Menyelami saat awal pertemuan Shahurain dengan isteri tercinta, dia memberitahu, mereka mula berkenalan pada satu majlis hari jadi seorang kenalan yang juga pemain bola sepak kira-kira sembilan tahun lalu. Dalam pertemuan pertama itu, Shahurain baru berusia 17 tahun manakala Siti Salmah, 16 tahun.
"Semasa di majlis itu, saya sudah mula terpikat padanya. Pada awalnya saya cuba memberanikan diri menegurnya atau erti kata lain memulakan langkah.
"Tetapi sehingga habis majlis, saya masih gagal untuk mendekatinya kerana rasa gementar," kata Shahurain yang mengakui dirinya seorang pemalu.
Tambah Shahurain yang pernah menyarung jersi kebangsaan di bawah kendalian jurulatih B. Sathianathan dan kini diserapkan kembali dalam skuad negara di bawah pengurusan Datuk K. Rajagobal, hasil bantuan rakannya, dia berjaya mendapatkan nombor telefon Siti Salmah.
"Dari situ saya terus berhubung dengannya. Pada mulanya, saya hantar SMS (khidmat pesanan ringkas), kemudian telefon dan lama-kelamaan, kami mula berkawan rapat.
"Sejak itu, kami ambil masa hampir lapan tahun berkawan dan mengenali hati budi masing-masing sebelum mengikat tali pertunangan pada Disember 2010 dan bernikah pada 22 Julai tahun lalu," ujar Shahurain.
Mengenai ciri dan sifat yang membuatkan dia tertarik dengan gadis berasal dari Seremban itu, Shahurain memberitahu, Siti Salmah amat peramah berbanding dirinya, selain dia pandai menghormati orang lain.
"Bukan itu sahaja, dia juga merupakan teman paling rapat. Susah senang saya dia sentiasa berada di sisi memberi semangat dan dorongan dalam semua aspek termasuk karier bola sepak.
"Dia juga menjadi pembakar semangat dan inspirasi saya terus berusaha gigih meningkatkan mutu permainan, walaupun saya pernah disahkan mengalami kecederaan lutut serius sehingga terpaksa menjalani tiga pembedahan.
"Akibat kecederaan itu juga, saya terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan," jelasnya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, kehidupan mereka kini bertambah ceria apabila dikurniakan cahaya mata pertama, Shahleesya Qaseh Shahanny Shahurain yang baru berusia 29 hari.
Sementara itu, menurut Siti Salmah, perwatakan pemalu itu salah satu faktor membuatkan dirinya terpikat dengan Shahurain.
"Pada majlis hari jadi yang menjadi pertemuan pertama kami itu, dia hanya tersenyum dan tidak banyak bercakap walaupun kami duduk semeja.
"Tetapi selepas mengenalinya dengan lebih rapat, Shahurain merupakan seorang individu yang mengambil berat, matang dan bertanggungjawab.
"Dia bukan sahaja banyak memberi nasihat yang bernas, malah pandai merancang terutama tentang masa depan kami," katanya.
Siti Salmah yang juga pernah menganggotai skuad boling remaja kebangsaan berkata, dia dan Shahurain turut mempunyai minat dan hobi yang sama.
"Sebagai seorang pemain bola sepak, dia agak sibuk dengan jadual perlawanan. Sebab itu apabila ada waktu terluang, kami akan gunakan sebaik mungkin.
"Biasanya, kami bermain boling dan bersiar-siar. Jika berehat di rumah, saya pasti masak makanan kegemaran suami iaitu ayam masak lemak cili api," katanya sambil memberitahu suaminya gemar makan di rumah kerana sebelum ini dia hidup bujang di Seremban kerana keluarganya tinggal di Kajang, Selangor.
Siti Salmah kini sedang berpantang di kediaman pasangan tersebut di Senawang, Seremban Negeri Sembilan.
Dia yang juga seorang kerani bank berkata, kini kehidupannya tertumpu kepada anak perempuan sulung mereka.
"Suami saya pun sudah dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, mungkin ini dipanggil rezeki anak.
"Tetapi apa pun, saya bersyukur kerana tuhan menjodohkan kami dan mengurniakan zuriat ini," tambahnya yang terpaksa menjalani pembedahan ketika melahirkan Shahleesya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: