SIAPA sangka laman yang dahulunya dihiasi pepohon hijau kini berubah konsep menjadi satu lagi destinasi menjamu selera yang wajib disinggahi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Suasana santai dan selesa, Selera Laman Perdana terletak berhampiran dengan Bangunan Putra Perdana yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.
Konsep terbuka dan berselerak menjadikan Selera Laman Perdana sesuai dikunjungi, apatah lagi dengan seni hiasan taman yang menarik, tentunya menyejukkan mata yang memandang.
Selain itu, deruan air pancuran menjadikan persekitaran terutama waktu malam lebih mendamaikan, ditambah pula samar-samar sinaran lampu serta alunan muzik yang pastinya melekakan pengunjung yang sedang menikmati hidangan di situ.
Tidak hairanlah dengan tarikan sedemikian, kata Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, medan selera yang beroperasi dari pukul 4 petang hingga 11 malam setiap hari itu mendapat sambutan hangat, bukan hanya dari warga Putrajaya tetapi juga orang luar.
Apa yang nyata, medan selera itu turut menjadi pilihan mereka yang gemar menikmati hidangan makan malam dalam suasana langit terbuka.
''Walaupun terletak dalam kawasan seluas 2,900 meter persegi, tetapi sambutan orang ramai sejak ia dibuka pada Mac lalu amat menakjubkan.
''Sepanjang bulan pertama dibuka, jumlah pengunjung mencecah sehingga 10,000 orang dan dikatakan jualan mencapai angka RM200,000.
''Apa yang menariknya, mereka yang datang ke medan selera ini merupakan pengunjung berulang," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Antara menu yang disediakan di Selera Laman Perdana adalah roti canai, masakan Thai, aneka mi dan masakan Barat.
Bagaimanapun, Samsudin berkata, kewujudan Selera Laman Perdana itu bukanlah untuk bersaing dengan medan selera berhampiran, sebaliknya merupakan alternatif kepada penjawat awam atau pelancong ke Putrajaya.
Ia juga sejajar dengan matlamat Perbadanan Putrajaya yang mahu menjadikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu lebih 'hidup', khususnya pada waktu malam," katanya.
Samsudin berkata, pihaknya beliau juga memastikan setiap gerai di menjual menu berlainan bagi membolehkan orang ramai menikmati hidangan yang berbeza.
Katanya, Perbadanan Putrajaya turut menganjurkan Bazar Laman Perdana pada setiap Sabtu bagi mewujudkan kelainan kepada pengunjung. Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati hiburan seperti muzik akustik, seni arca, persembahan silap mata, lukisan wajah dan lain-lain lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: