KATA pujangga, kasih bapa sepanjang masa. Seorang bapa itu sanggup mengorbankan tenaga, wang dan masa demi kebahagiaan keluarga. Walaupun bicaranya mungkin tegas tetapi jauh di sudut hatinya dia mahu melihat anak-anak berjaya. Sempena sambutan Hari Bapa, Mingguan Malaysia berkesempatan menemu bual Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bersama puteri kesayangannya Sophea Isabella, 9 bulan.
Dr. Sheikh Muszaphar mengakui sangat mementingkan disiplin dalam mendidik anaknya.
"Ayah saya seorang yang serius dalam membimbing dan mendidik anak-anak. Dia mahu kami semua berjaya. Setelah bergelar seorang bapa, saya faham situasinya. Sebab itulah saya mungkin terikut-ikut dengan caranya yang serius.
"Sejak kecil, ayah sering menekankan soal kekuatan mental. Jika saya kalah pada abang, keesokan harinya saya akan kalahkan abang semula. Saya tidak suka kalah dan saya harus menang, menang dan menang. Itulah yang saya pelajari daripada ayah dan itulah juga yang saya cuba praktikkan pada Bella," ujar anak ketiga daripada lima beradik ini.
Berbeza dengan isterinya, Datin Dr. Harlina Mohd. Yunos pula suka memanjakan anaknya. Menurut Dr. Sheikh Muszaphar, setiap kali melihat ibunya, Bella akan merengek.
"Saya kurang gemar apabila anak-anak terlalu manja dan bergantung pada ibu bapa. Saya mahu Bella belajar berdikari dan berdisiplin. Saya dan isteri tidak mahu mengongkong Bella. Cuma kami mahu memberi dia kesempurnaan dan panduan untuk berjaya kelak," tambahnya.
Bercerita tentang masa depan Bella, Dr. Sheikh Muszaphar mahu Bella fokus dalam bidang Sains dan Matematik untuk bergelar doktor atau angkasawan suatu hari kelak.
Namun, jika anaknya memilih bidang lain, beliau tiada halangan.
"Selain ilmu dunia, kami juga akan membimbing Bella dengan ilmu agama secukupnya," katanya.
BerenangMungkin umum sudah mengetahui Dr. Sheikh Muszaphar dan isteri mula mengajar Bella teknik menahan nafas ketika berada dalam air sejak berusia sebulan lagi.
Segalanya bermula apabila melihat Bella gemar bermain air ketika meletakkannya di dalam tab mandi di rumah.
Justeru beliau memperuntukkan tiga atau empat kali dalam seminggu bersama Bella di kolam renang.
Selalunya aktiviti ini dilakukan pada waktu petang selama setengah jam sama ada di kolam renang luar mahupun kolam di kediaman rumahnya.
"Untuk menjamin keselamatan Bella, saya atau isteri akan sentiasa bersama dan memerhati Bella di kolam renang," katanya..
Bagi Sheikh Muszaphar, berenang banyak manfaatnya untuk kesihatan tubuh badan.
"Selain meningkatkan kecerdasan diri, ia meningkatkan daya fikir, menguatkan otot-otot dalam badan dan dapat menyelamatkan diri apabila berada dalam situasi kecemasan," katanya yang melantik jurulatih renang untuk mengajar Bella.
Mungkin ada yang menyoal sesuaikah Bella diajar berenang dalam usia sekecil ini, tetapi bagi Dr. Sheikh Muszaphar, dengan teknik yang betul, aktiviti ini sihat dan selamat.
"Pesanan saya, ketika anak-anak berenang, jangan sesekali meninggalkan mereka, awasi setiap gerak geri. Apa yang lebih penting, ibu bapa harus terbabit sama dalam proses pembelajaran tersebut," ujarnya.
PenghargaanDr. Sheikh Muszaphar mengakui cukup terharu dan berterima kasih pada bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor yang banyak berkorban tenaga dan emosi menemaninya mengadakan latihan di Rusia.
"Saya bersyukur dengan apa yang ayah lakukan kepada kami adik-beradik. Sehingga ke akhir hayat saya tidak mampu membalas segala pengorbanan dan jasa tersebut.
"Ayah seorang tegas tetapi dia berjaya membuktikan didikan sedemikian baik untuk kami. Saya sendiri selalu mengungkapkan 'I love u' sayang abah.
"Selamat Hari Bapa kepada semua ayah di seluruh dunia dan kepada ayah saya, Selamat Hari Bapa dan saya sayang ayah," katanya mengakhiri pertemuan kami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: