Tuesday, June 19, 2012

Curves lambang maruah Liza

Personaliti Citra Wanita minggu ini amat teruja tatkala diminta berkongsi pengalamannya dalam bidang keusahawanan. Bicaranya petah bersalut keyakinan sekali gus menjadi testimoni betapa dia amat mencintai dunia pilihannya itu.

Norlizah Ahmad Mulana, 33, tidak gopoh dalam menggapai impiannya kerana menyedari dunia perniagaan ibarat satu pertarungan di mana hanya yang terbaik kekal bertahan.

Lebih mesra dengan nama timangan Liza, dia menyusun langkah dari bawah sejurus menamatkan kursus lanjutan dandanan rambut di John Academy, Kuala Lumpur dengan membantu seorang rakannya yang baharu membuka salon.

Selama dua tahun, dia melakukan dua kerja bermula Isnin hingga Jumaat dengan membantu bapanya pada sebelah pagi dan bekerja di salon milik rakan pada waktu petang manakala pada setiap hujung minggu dia menawarkan khidmat dandanan rambut dari rumah ke rumah.

Selepas mengumpul pengalaman, barulah dia memberanikan diri membuka sebuah salon kecil di bangunan lama Kubah Ria, Kuching, Sarawak pada 2005 sebelum menubuhkan Curves-The Hair Saloon di Jalan Semarak, dua tahun selepas itu.

“Dunia perniagaan memerlukan persediaan rapi dalam banyak aspek termasuklah pengalaman dan keyakinan diri.

“Pastinya kita tidak mahu perniagaan yang diusahakan menemui kegagalan dan kerana itu saya menganggap Curves sebagai lambang maruah saya dalam dunia perniagaan, operasinya mesti dipertahankan," katanya.

Sebagaimana majoriti perniagaan berkaitan kecantikan yang lain, Curves juga bermula daripada hobi dan minat yang kemudiannya berkembang menjadi punca rezeki.

Kepada Liza, penulis ajukan persoalan, masih wujudkan keseronokan daripada hobi dan minatnya itu apabila dia kini berhadapan dengan tekanan untuk memenuhi komitmen bulanan seperti sewa premis, bil elektrik dan gaji pekerja?

“Keseronokan wajib dikekalkan, jika faktor itu malap atau hilang, perniagaan menjadi sesuatu yang membebankan seterusnya terdedah kepada masalah," katanya yang kini mempunyai empat pekerja tetap.

Inisiatif

Dalam pertemuan dengan penulis, Liza turut menegaskan bahawa seorang usahawan perlu kreatif mencari peluang untuk memperluaskan perniagaan.

Dia umpamanya, mengambil inisiatif dengan mengadakan ceramah penampilan diri di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta berdasarkan modul pilihan pelanggan.

Tidak terhenti di situ, Liza turut menabur bakti dengan memberikan latihan kemahiran dalam bidang dandanan rambut dan solekan kepada golongan belia di negeri ini melalui program Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Setakat ini 10 peserta telah menamatkan latihan di Curves dan jujur saya katakan ia memberikan satu kepuasan tersendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: