Saturday, June 23, 2012

Debaran peserta Daisy Zon Utara

SERAMAI 30 peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef akan berkampung di Alor Star Mall hari ini.


CABARAN Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Utara akan mencari juara kategori kek dan kategori biskut di pusat beli-belah Alor Star Mall, Alor Setar hari ini.

Juara bagi kedua-dua kategori tersebut akan mewakili Zon Utara untuk berentap pada saingan peringkat akhir yang akan diadakan di pusat beli-belah AEON AU2 Setiawangsa pada 1 Julai depan.

Dengan bertemakan seni muzik, para peserta dikehendaki menghias biskut dan kek mengikut kreativiti masing-masing selari dengan tema yang diberikan bagi menambat hati juri.

Seramai 15 peserta bagi setiap kategori akan beraksi menunjukkan kebolehan masing-masing hari ini.

Salah seorang peserta kategori biskut, Mohd. Zamri Sahari, 25, menyahut Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 kerana mahu menampilkan bakat dan kreativiti yang dimilikinya.

“Biskut Daisy Roselle Banana Flake merupakan idea saat akhir dan saya telah melakukan dua hingga tiga kali percubaan sebelum berpuas hati dengan hasilnya,” katanya yang merupakan pensyarah kulinari, Kolej Teknikal Spectrum, Sungai Petani, Kedah.

Mohd. Zamri yang merupakan adik angkat kepada juara kategori kek Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011, Faisal Baharom, sudah 90 peratus bersedia untuk bersaing dengan para peserta lain.

Dalam pada itu, Wizana Md. Sharif, 36, sanggup menempuh perjalanan lebih 200 kilometer dari Ipoh, Perak semata-mata mahu menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012.

Dengan mempertaruhkan Kek Puding Karamel Lapis Coklat Daisy, pengusaha premis bakeri yang berpengalaman lebih enam tahun dalam pembuatan kek dan biskut itu mahu mengubat kekecewaannya tahun lalu.

“Tahun lalu saya masuk bertanding untuk kategori biskut, namun rezeki tidak menyebelahi saya dan tahun ini saya kembali untuk bertanding dalam kategori kek pula,” katanya yang mendapat dorongan suami dan empat orang anaknya.

Pelbagai aktiviti

Sama seperti Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 di Zon Selatan dan Zon Tengah, para pembaca setia Kosmo! berpeluang menebus minyak jagung Daisy 500 mililiter dengan membawa keratan dua kepala akhbar Kosmo! bermula pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi terhad kepada 200 pembaca terawal.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan menghias kek cawan, pertandingan menghias meja oleh Corelle dan pertandingan teka minyak selain menyaksikan demonstrasi pembuatan Biskut Coklat Zebra dan Kek Lapis Pandan Daisy oleh Chef Liza Zainol.

Bagi pengunjung yang mahu mengadili kek dan biskut air tangan para peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 mereka dialu-alukan berbuat demikian pada Daisy Challenge yang terhad kepada 200 pengunjung sahaja.

Di samping pelbagai aktiviti yang diadakan, Alor Star Mall akan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian oleh Adam AF dan Zatul Mentor musim keenam.

Juara peringkat Zon Utara akan menerima hadiah wang tunai RM300 untuk setiap kategori dan RM200 untuk pemenang tempat kedua.

Juara peringkat akhir akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM5,000.

Naib juara akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000 manakala pemenang ketiga memenangi wang tunai, barangan Corningware dan Corelle masing-masing bernilai RM2,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: