Saturday, June 23, 2012

Masjid lambang penyatuan budaya


MASJID Jahan Numa berusia 356 tahun ini mampu menampung seramai 25,000 orang jemaah pada satu-satu masa.


APABILA menyebut India, akan terbayanglah makam Taj Mahal yang diperbuat daripada marmar. Ia merupakan antara monumen yang mempamerkan seni bina halus sejak zaman Moghul di negara itu.

Antara bangunan yang indah zaman ini ialah Masjid Jahan Numa yang kini dikenali sebagai Masjid Jama di kota lama Delhi yang dibina oleh Maharaja Moghul kelima iaitu Shah Jahan.

Menurut sejarah, maharaja itu sendiri yang meletakkan batu asas masjid berkenaan di puncak sebuah bukit pada tahun 1650 diletakkan oleh maharaja Shah Jahan.

Kira-kira 6,000 pekerja dikerah bagi membina monumen yang dibina daripada batu merah yang akhirnya siap pada tahun 1656, enam tahun selepas kerja pembinaan bermula, menurut Setiausaha kepada Majlis Penasihat Masjid Jama, Syed Tariq Bukhari.

Masjid yang boleh memuatkan sehingga 25,000 orang pada satu-satu masa itu sudah berusia 356 tahun. Selain sebagai masjid yang terbesar di India, ia satu-satunya masjid yang mempunyai imam diraja untuk mengetuai solat semenjak 13 generasi lalu.

Ditenggelamkan zaman

Syed Tariq yang juga adik kepada Imam Shahi sekarang, Maulana Syed Ahmed Bukhari berkata, masyarakat kini telah lupa bahawa masjid tersebut mempunyai ciri-ciri unik selain cerita yang tenggelam mengikut peredaran masa.

Terdapat beberapa artifak dalam masjid itu, antaranya ialah naskhah kitab suci al-Quran berusia 1,400 tahun yang ditulis atas kulit rusa oleh menantu Rasullulah SAW, kata penjaga Masjid Jama, Syed Zahoor al Haq Hussaini.

"Ada satu lagi naskhah al - Quran yang juga ditulis atas kulit rusa oleh cucu Rasullulah SAW tetapi hanya sebahagian disimpan di masjid ini manakala sebahagian lagi di Masjid Biru di Istanbul, Turki," kata Syed Zahoor yang merupakan penjaga Masjid Jama generasi ke-14.


KEDUDUKAN masjid Jahan Numa ini berdekatan dengan zon kejiranan yang penduduknya 100 peratus beragama Hindu.


Artifak yang lain adalah tapak kaki atas marmar, kasut yang diperbuat daripada kulit unta dan janggut Rasullulah SAW. Difahamkan, hanya tiga buah masjid di dunia yang mempunyai tapak kaki dan janggut itu iaitu Masjid Jama, Masjid Hazratbal di Srinagar dan Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Atas bukit

Menurut Syed Zahoor, ketika masjid itu masih dalam pembinaan, terdapat banyak rungutan tentang kelewatannya tetapi apabila Maharaja Shah Jahan mengetahui setiap peletakan batu didahului dengan bacaan ayat suci al-Quran, Shah Jahan berasa gembira dan membenarkan cara itu diteruskan.

Katanya lagi, masjid itu sebenarnya terletak di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Bhojla kerana maharaja mahukan rumah ibadat itu lebih tinggi daripada takhtanya di dalam Kota Merah yang terletak berhadapan dengan Masjid Jama.

Baik pulih

Menurut Syed Tariq, kerja membaik pulih secara berterusan dijalankan di masjid itu menerusi usaha Pertubuhan Arkeologi India (ASI).

Bagi mengekalkan keadaan masjid berkenaan untuk 50 tahun yang akan datang, kerja baik pulih diperlukan secara berterusan untuk lima tahun.

Terdapat juga perancangan bagi menjadikan masjid itu satu tarikan yang lebih besar bagi pelancong jika dibandingkan dengan keadaannya sekarang yang dilawati oleh kira-kira 1,500 hingga 2,000 pelancong.


ELEMEN seni bina indah zaman Moghul yang banyak menggunakan bata merah jelas terlihat di setiap sudut majid ini.


Syed Tariq turut mencadangkan agar bangunan di sebelah jalan yang menuju masjid itu dibaik pulih mengikut seni bina zaman Moghul bagi mengembalikan suasana era tersebut.

Dua budaya

Kedudukan Masjid Jama juga menjadi titik pertembungan antara dua budaya yang boleh merancakkan lagi jumlah pelancong, kata Syed Tariq.

"Di sekeliling masjid terdapat 100 peratus penduduk Islam dan jika anda merentas ke seberang jalan, anda akan mendapati kawasan itu pula 100 peratus penduduk beragama Hindu.

"Jadi masjid ini menjadi satu monumen yang penting ke arah penyatuan kehidupan dan budaya," kata beliau.

Bagi para pelancong, di hujung lokasi mereka boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan Moghul manakala di satu sudut lain mereka boleh merasai pelbagai hidangan berasas sayur-sayuran yang diamalkan penganut Hindu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: