Friday, June 1, 2012

Dari butik maya ke butik realiti



MERANGKAK, bertatih, berjalan dan barulah berlari. Demikian gambaran realiti mengenai kelahiran Sugarscarf pada mata wanita yang tidak lokek dengan senyuman ini.

Jika dahulu, tidak ramai mengenali nama Sugarscarf yang merupakan kedai dalam talian menjual pelbagai jenis tudung dan selendang, kini ia mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Sebut sahaja Sugarscarf, kebanyakan wanita yang gemarkan gaya segar berhijab mengetahuinya, malah ada antara mereka akan mengunjungi laman Sugarscarf setiap minggu untuk melihat koleksi terbaharu yang ditawarkan.

Perniagaan dalam talian yang pada mulanya dikendalikan secara suka-suka oleh Nur Atiqah Sulaiman, 27, ketika masih menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya sudah membuahkan hasil yang membanggakan.

Kini, dia yang lebih senang dipanggil Eyqa boleh tersenyum puas kerana kewujudan Sugarscarf bukan sebuah butik dalam alam maya sahaja, malah dia telah melunaskan impiannya membuka sebuah butik di dunia realiti.

“Untuk merealisasikan hasrat membuka butik ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan semberono kerana ia memerlukan perancangan yang teliti.

“Mengikut perancangan asal, Eyqa mahu membuka butik Sugarscarf ini pada bulan Januari 2011, namun memandangkan banyak perkara yang lebih utama perlu diselesaikan, maka ia hanya dapat dibuka pada 11 Januari lalu,” katanya.

Eyqa yang memulakan perniagaan tersebut bersama rakan kongsinya, Muhammad Zulkarnaen Mohd. Ali yang kini sudah secara rasmi menjadi teman hidupnya tanggal 9 September tahun lalu tekad mengambil risiko membuka butik tanpa sebarang pinjaman daripada pihak bank.

Berbekalkan modal sendiri hasil keuntungan perniagaan dalam talian, akhirnya pasangan suami isteri itu membeli sebuah premis di alamat 12A, Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

“Hasrat untuk membuka butik Sugarscarf ini adalah untuk menambahkan keuntungan.

“Mengikut perancangan asal, motif utama pembelian premis ini hanya untuk bilik pameran dan pejabat tetapi impaknya mengagumkan kerana ramai pelanggan yang datang ke sini untuk membuat pembelian,” ujarnya.


RUANG butik yang luas membolehkan para pelanggan membeli-belah dengan selesa dan berpeluang mencuba tudung yang berkenan di hati.


Alternatif pembelian di butik

Walaupun sudah membuka butik, namun Eyqa menyifatkan perniagaan utamanya masih bertumpu pada perniagaan dalam talian yang mempunyai pelanggannya sendiri.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke butik ini tidak mengetahui bahawa kami menjual produk Sugarscarf dalam talian.

“Buat masa ini, sambutan sangat memuaskan hingga ada pelanggan yang sanggup datang dari Terengganu untuk mengunjungi butik ini,” katanya yang bercadang membuat pinjaman pada masa akan datang untuk meluaskan perniagaannya dengan membuka beberapa cawangan butik di Kuala Lumpur, Johor dan Melaka.

Sebanyak RM60,000 dilaburkan untuk proses pengubahsuaian premis, sistem pos dan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV).

“Hiasan dalaman premis ini merupakan idea Zul sendiri dengan bantuan daripada rakan-rakannya arkiteknya yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk premis.

“Dengan bantuan rakan-rakan, butik yang menggabungkan elemen moden, santai, elegan dan selesa ini dapat direalisasikan,” jelasnya.

Menurut Zul, pada asalnya, dia dan Eyqa merancang untuk membuka butik di Bangi, tetapi melihat dominasi pelanggan lebih kepada kawasan Shah Alam, perancangan pun bertukar.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada wanita berkerjaya yang banyak membeli produk seperti tudung dan selendang, manakala golongan remaja pula lebih kepada pilihan busana yang menampilkan fesyen-fesyen terkini.

“Uniknya, produk yang dijual dalam talian dan butik tidak sama. Ada yang dijual dalam talian tidak dijual di butik dan sebaliknya,” celah Zul.

Zul memberitahu, sebelum produk-produk dijual dalam talian, ia akan dijual seminggu lebih awal di butik.

Walaupun Zul dan Eyqa sudah bergelar ‘tauke’ butik Sugarscarf, istilah goyang kaki tidak pernah terpahat dalam diari harian mereka.

“Memang tidak menang tangan untuk menguruskan kedua-dua butik ini dan kami ingin mencari pekerja tetap yang sanggup memberikan komitmen untuk membantu kami.

“Kami memerlukan empat orang pekerja untuk menguruskan butik ini dan membantu dalam proses pembungkusan pesanan,” ujarnya.

Busana Sugarscarf

Tidak hanya mempertaruhkan variasi tudung untuk jualan, Sugarscarf juga tampil dengan rangkaian baju dan seluar hasil rekaan pasangan suami isteri ini sendiri.


TUDUNG yang dijual di Sugarscarf bermula dari harga RM18 hingga RM89 sehelai.


Setiap rekaan dilahirkan melalui hasil rujukan laman-laman web dan pertunjukan fesyen dengan mengambil idea kemudian diberikan nafas baharu.

Ditanya mengenai keunikan yang ada pada butik Sugarscarf berbanding butik-butik menjual tudung yang lain, Eyqa memberitahu, Sugarscarf menawarkan pelbagai pilihan tudung bercorak yang jarang didapati di tempat lain.

“Butik Sugarscarf menjual tudung yang coraknya terhad dan akan menawarkan pelbagai corak berlainan setiap minggu.

“Pemilihan fabrik dilakukan sendiri dan begitu juga dengan rekaan tudung. Kita tidak akan mengambil stok yang sama untuk tudung,” kata Eyqa sambil memberitahu ada pihak luar yang meniru produk Sugarscarf.

Mahu memberikan banyak pilihan kepada para pelanggan, pasangan suami isteri itu terpaksa memerah idea untuk rekaan terbaharu.

Dalam tempoh seminggu mereka biasanya tampil dengan dua hingga tiga idea baharu dan setiap minggu pasti ada tudung baharu yang dikeluarkan.

“Sungguhpun memerah idea setiap minggu, namun tidak semua idea tersebut ‘wow’. Dalam sebulan mungkin dua idea yang mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan.

“Sebanyak 30 rekaan tudung bercorak akan ditawarkan kepada pelanggan setiap minggu dan kami perlu mencari material baharu dua bulan sekali,” ujarnya yang memberikan suntikan kontemporari pada rekaan busana supaya dapat digayakan oleh wanita semua peringkat umur.

Tudung-tudung Sugarscarf dijual bermula pada harga RM18 hingga RM89 iaitu di bawah RM100, manakala koleksi busana pula dijual bermula dengan harga RM55 hingga RM200.

Bagi penjualan dalam talian, Eyqa akan membuat kemas kini pada setiap Isnin atau Selasa dan bagi menjimatkan kos, model serta jurufoto menggunakan khidmat rakan-rakan dan adakalanya Eyqa sendiri yang akan menjadi modelnya.


SELENDANG panjang yang dijual di butik Sugarscarf mempunyai reka corak yang unik serta warna-warna menarik sesuai digayakan oleh anak remaja.


Melihatkan perniagaannya semakin menunjukkan perkembangan yang positif, Eyqa dan Zul mengendalikan perniagaan tersebut sepenuh masa.

Tudung-tudung jenama Sugarscarf juga pernah dipakai oleh beberapa pelakon dalam beberapa siri drama antaranya Tentang Dhia, Pelangi Kasih dan Suria Di Cordoba.

Butik Sugarscarf dibuka pada hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Mereka yang berminat menjamu mata melihat pelbagai koleksi tudung, boleh layari laman web http://www.sugarscarfbyriqa.com atau http://www.facebook.com/sugarscarf.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: