Friday, June 1, 2012

Festival Menuai Sedunia warnai Bumi Kenyalang


ORANG ramai tidak melepaskan peluang bergambar di studio mini Kosmo!.


KEMERIAHAN sambutan Festival Menuai Sedunia (WHF) 2012 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak (SCV) melabuhkan tirai dengan mencatatkan memori manis kepada para pengunjung dan pelancong yang berkunjung ke festival itu.

Lebih 10,000 pengunjung hadir ke SCV yang menjadi lokasi utama pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Gawai yang disambut di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun.

Kali ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pertandingan Badang yang menampilkan 13 orang lelaki perkasa beradu kekuatan dan kehebatan masing-masing dalam cabaran mendaki gunung, mengupas kelapa dan menarik kereta.

Sepanjang festival tersebut, orang ramai dihiburkan dengan persembahan kebudayaan daripada kumpulan Sanggar Giring-Giring Bamboo yang dibawa khas dari Indonesia, tarian istimewa daripada masyarakat Orang Asli Mah Meri dari Pulau Carey, Klang, Selangor dan persembahan daripada Kumpulan Budaya Sungai Asap.

Selain itu, acara menarik yang dihidangkan kepada orang ramai ialah sesi bermain dram Ledam Ledum, persembahan drama tari, konsert muzikal etnik Kaban Ka’au, festival kraf dan makanan istimewa orang Dayak.


FINALIS Ratu Menuai Sedunia cukup manis dalam busana tradisi kaum Iban ketika sesi menguji minda.


Acara kemuncak pada hari tersebut ialah pengumuman Miss WHF 2012 yang menobatkan gadis berketurunan Kayan dan Iban, Magrina Awing George, 19, sebagai juara. Magrina Awing berjaya mengalahkan 13 finalis lain.

Lebih istimewa, pada pertandingan Miss WHF 2012 ialah kemunculan Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/11, Nadia Heng Min Dern yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur sebagai salah seorang juri.

Majlis penutup WHF 2012, disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. Turut serta ialah isteri Abang Johari, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip serta Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang.

Aktiviti pelancongan

Bagi seorang penuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Che Noriah Che Ismail, 22, dia cukup teruja dengan sambutan WHF 2012 yang cukup meriah dan berharap program tersebut menjadi sebahagian aktiviti pelancongan terbaik di negeri itu.


PESERTA pertandingan Badang Aminzani menolak tong yang berisi air seberat 130 kilogram pada acara menggelek tong.


“Saya yakin WHF akan menjadi acara yang wajib disertai oleh seluruh rakyat Malaysia,” kata pelajar jurusan pengurusan kesenian itu.

Seorang peserta Badang yang berasal dari Kuching, Halid Lalip, 33, mengakui program tersebut berjaya meletakkan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

“Sarawak kaya dengan adat budaya sekali gus menjadikan program ini sebagai satu daripada acara penting yang perlu diberi perhatian semua pihak,” ujar pendidik itu.

WHF 2012 anjuran SCV dengan kerjasama One Drop Perfumes yang merupakan jenama haruman terkenal di Malaysia menjadi penaja utama Miss WHF manakala akhbar kompak Kosmo! sebagai rakan media.


JANE LIAN LABANG (empat dari kanan) bersama 14 finalis Badang.


Kosmo! menemui pembaca di Sarawak sejak 7 Mei lalu. Acara itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik terutama pertandingan akhir Badang yang menyaksikan Jury Amrullah Ibrahim dari Kuching dinobatkan sebagai juara. Beliau berjaya dalam cabaran melempar guni seberat 20 kilogram dan mengguling tayar gergasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: