Friday, June 1, 2012

Rekod bersejarah negara baharu



KEMERDEKAAN Sudan Selatan yang dikecapi pada bulan Julai tahun lalu merupakan hasil perjuangan melalui pemberontakan. Negara terbaharu di dunia itu masih menyimpan sejarahnya di dalam sebuah khemah.

Khemah coklat yang usang itu terletak di tepi jalan di pekarangan pusat pentadbiran di Juba. Namun, kewujudannya tidak disedari oleh kebanyakan pemandu dan pejalan kaki yang melalui kawasan tersebut.

Bau hapak yang terbit dari dalam khemah itu cukup melemaskan. Di situ tersimpan kertas-kertas, fail-fail, buku-buku dan pelbagai gambar yang sebahagiannya menjadi sarang anai-anai.

Namun, koleksi kertas yang tidak bernilai di mata umum itu menyimpan sebahagian besar memori sejarah negara baharu di dunia yang merentasi Nil Putih dan paya Sudd.

Segala dokumen kelihatan bersepah di atas lantai konkrit dan meja, manakala sebahagiannya terkeluar daripada karung guni.

Dokumen-dokumen dalam khemah tersebut merupakan rekod-rekod yang wujud sejak awal tahun 1900 ketika Sudan dan bahagian selatannya di tadbir Inggeris dan Mesir.

Kertas-kertas yang terperuk di bawah kanvas selama beberapa tahun sejak perjanjian damai Utara-Selatan 2005 itu terselamat daripada kebakaran, peperangan dan cuaca.

Ia akan menjadi teras kepada Arkib Sudan Selatan apabila dokumen-dokumen tersebut diselamatkan. Khabarnya, ia akan ditempatkan di bangunan baharu yang dijanjikan oleh Norway sebagai hadiah kemerdekaan negara tersebut.

Inspektor Kanan Muzium dan Monumen, Kementerian Kebudayaan dan Warisan Sudan Selatan, Youssef Fulgensio Onyalla, 48, memberitahu, tidak akan ada sebuah negara tanpa sejarah.

Onyalla terpaksa 'mengejar' masa dan anai-anai bagi memelihara dan memulihara arkib tersebut.

"Syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang kepada kami menghidupkan arkib ini," kata pemegang ijazah dalam bidang arkeologi di Lebanese-American University di Beirut, Lebanon sebelum kembali ke tanah kelahirannya.




Negara baharu

Arkib Negara merupakan sebahagian daripada projek pilihan yang masih pada peringkat awal. Penubuhannya bertujuan melengkapkan institusi warisan budaya seperti Muzium Negara, Perpustakaan Negara, Pusat Kebudayaan dan Teater Negara.

Ia mungkin dianggap mustahil dengan kelahiran sebuah negara Afrika baharu yang mempunyai lebih daripada lapan juta penduduk walaupun mempunyai sumber minyak yang kurang membangun. Pada masa yang sama, lebih 70 peratus populasi penduduknya buta huruf.

"Anda tidak boleh menguatkan sesebuah negara tanpa mengukuhkan minda dan hati rakyat," kata Setiausaha Rendah Budaya, Jok Madut Jok yang merupakan seorang intelektual paling dihormati di negara itu.

Bagi menjalin kesedaran kebangsaan di Sudan Selatan, ada cabaran kecil yang perlu dilalui seperti permusuhan etnik kerana perebutan lembu, air dan hak padang ragut. Ia diburukkan lagi dengan perang saudara yang mencetus dan meledakkan pertumpahan darah.

"Ia akan mengambil masa satu generasi untuk pulih, negara tidak dilahirkan tetapi ia dibentuk," kata Jok yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Antropologi dari University of California, Los Angeles (UCLA).

Semangat patriotik yang tinggi dapat dilihat dalam kalangan rakyat di Juba. Kemerdekaan yang dikecapi merupakan hasil perjuangan kemerdekaan sejak tahun 1963. Namun, ada harga yang perlu dibayar. Bagi memperjuangkan kemerdekaan tersebut, lebih dua juta orang terkorban.

"Cabarannya adalah untuk berubah menjadi bangsa sesebuah negara bangsa dan bukannya seorang warganegara kumpulan etnik. Kebanyakan orang setia kepada kumpulan etnik mereka," ujar Jok.

Juba dipenuhi dengan orang Kenya, Uganda dan rakyat dari negara-negara jiran yang lain tetapi kebanyakannya merupakan penduduk tempatan.

Apabila ditanya berasal dari mana, dengan bangganya mereka menjawab: "Saya dari Sudan Selatan". Bagaimanapun ramai yang akan melalui kesulitan untuk menyanyikan lagu kebangsaan baharu dalam bahasa Inggeris.

Setiap ucapan pasti diselitkan dengan cerita pertumpahan darah pejuang perang yang terkorban dan potret lelaki berjambang, hero kemerdekaan, Dr. John Garang. Beliau merupakan pahlawan Dinka yang juga pengasas Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM). Wajahnya terpampang di dinding-dinding di kebanyakan pejabat kerajaan.




Wajahnya juga menghiasi wang kertas Sudan Selatan yang baharu.

"Apa yang menyatukan Sudan Selatan ialah kemerdekaan yang mereka kecapi, tetapi apa yang berlaku sebelum ini akan tetap berulang selepas ini," kata Pakar Program Budaya, Elke Selter yang berkhidmat dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sudan Selatan.

Salah Khaled, Ketua Pejabat UNESCO Sudan Selatan percaya, dengan menembusi sesuatu tradisi budaya seperti pengkebumian dan perkahwinan serta sejarah lisan merupakan salah satu cara mencari ciri-ciri umum dan adat resam dalam kalangan rakyat berbilang kaum di sesebuah negara.

"Kita perlu mencari titik persamaan antara mereka," kata Khaled.

Sebagai salah satu cara untuk mewujudkan satu identiti kolektif, Jok telah merangka idea mempamerkan perjalanan artifak budaya seperti memasak, peralatan ladang, senjata dan alat-alat muzik.

Rekod bersejarah

"Ia umpama embrio di muzium negara. Anda letakkan semua benda bersama dan berkata, 'peralatan ini mereka gunakan untuk'. Dari situ orang bukan sahaja akan melihat persamaan tetapi juga kepelbagaian," kata Jok.

Walaupun keadaan panas terik boleh menjejaskan khemah arkib, pemeriksaan sepintas lalu menunjukkan kekayaan rekod bersejarah di situ umpama lombong emas mempunyai potensi untuk rujukan sejarawan, penyelidik, pelajar dan pelancong.

Sejumlah besar dokumen dalam khemah tersebut merujuk pada tahun 1970-an iaitu tempoh Sudan Selatan ditadbir oleh Majlis Tinggi Eksekutif ketika pemerintahan Presiden Jaafar Nimeiri di Khartoum.


LONGGOKAN dokumen yang tersimpan di bawah khemah ini umpama lombong emas yang berpotensi menjadi bahan rujukan utama mengenai Sudan Selatan.


Lukisan potret Nimeiri yang berdebu tersandar di atas meja di tengah-tengah khemah.

Gambar-gambar rasmi hitam putih yang pudar berselerak menunjukkan kunjungan kerabat diraja termasuk mendiang Maharaja Habsyah, Haile Selassie dan Puteri Britain, Puteri Anne.

Di sebalik timbunan pelbagai dokumen, terdapat beberapa dokumen sensitif. Dokumen tersebut ialah fail-fail yang menyimpan maklumat operasi tentera Sudan di Selatan ketika berlakunya perang saudara selama bertahun-tahun, peta dan risalah mengenai deposit minyak serta mineral. Semuanya menjadi bukti penting dalam pertikaian berterusan antara Sudan Selatan dan Utara mengenai sempadan dan pihak yang lebih berkuasa untuk mentadbir minyak.

Satu pertiga daripada arkib tersebut telah pun dipindahkan melalui inisiatif yang disokong oleh Norway dan AS.

Kedutaan AS menyediakan dana untuk membekalkan fail kadbod arkib dan pengimbas elektronik bagi membolehkan proses penyalinan dokumen.

Namun, terdapat keperluan mendesak bagi mendapatkan lebih banyak wang.

Sungguhpun begitu, keadaan menjadi sukar apabila bantuan belanjawan dikurangkan dan kerajaan Sudan Selatan perlu mengeluarkan wang bagi pembiayaan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pertahanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: