Daiichi perkenal empat model baru
Johnnie (tengah) pada majlis pelancaran motosikal siri Daiichi.

SELARI dengan pelancaran empat model motosikal segmen pertengahan ‘adventure & sports/touring’, Daiichi Motors Sdn Bhd optimis perolehan syarikat meningkat sehingga RM30 juta tahun ini.

Pengurus Besarnya, Johnnie Ngu berkata, syarikat menyasarkan jualan tahunan bagi semua model antara 1,000 hingga 1,200 unit, purata 200 unit boleh dijual sebulan bermula
bulan depan.

Menurutnya, empat model diperkenalkan termasuk Megelli 250MR, Megelli 250SR, Megelli 250RR dan CFMOTO 650NK dan berhasrat meningkatkan jumlah penguasaan pasaran sehingga 1.5 peratus menjelang hujung tahun ini.

“80 peratus daripada jualan disumbangkan daripada modelMegelli 250RR. Syarikat telah melabur sebanyak RM8 juta (USD 2.5 juta) bagi penyelidikan dan pembangunan secara menyeluruh dalam tempoh dua tahun.

“Manakala, 30 peratus daripada jumlah jualan iaitu RM10 juta disalurkan bagi tujuan pengiklanan dan promosi,” katanya pada majlis pelancaran siri Daiichi di Shah Alam, semalam.

Johnnie berkata, kilang pemasangannya terletak di Kuching dan mampu mengeluarkan 300 unit motosikal sehari. Sehingga kini, syarikat mempunyai 50 pengedar di seluruh Malaysia.