Chef Zam
Chef Zam
Chef Zam
Chef Zam

Tanpa kita sedari, golongan lelaki semakin mengatasi wanita dalam bidang masakan dan tidak hairanlah jika bidang ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Lihat sahajalah kehadiran chef yang ada seperti Chef Zam, Datuk Chef Ismail, Datuk Chef Wan, Chef Shersen, Chef Riz dan Chef Kamarul. Nama mereka lebih popular dalam kalangan wanita yang sentiasa menonton rancangan masakan.

Chef Zam, atau nama sebenarnya, Zamzani Abdul Wahab, 42, bukan sahaja berjaya menarik penonton rancangan masakannya, malah pembabitannya dalam bidang masakan dibuktikan dengan penubuhan Kolej Antarabangsa Silverspoon (SIC) Giat mengorak langkah dalam membantu remaja yang mempunyai minat dalam bidang kulinari, SIC ditubuhkan pada 21 Julai 2010.

Kini, SIC berjaya menarik minat hampir 70 pelajar untuk mengikuti kelas yang disusun. “Saya menubuhkan kolej ini bersama dua lagi rakan kongsi. Kami turut menyediakan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

“SIC menawarkan pelbagai kursus seperti kulinari, pastri, bakeri serta penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, kami turut memberikan nilai tambahan seperti kursus keusahawanan dan aktiviti lain seperti penggambaran televisyen serta majalah,” katanya.

SIC yang terletak di kawasan strategik, Pusat Perdagangan One Puchong, ini mampu memuatkan 200 pelajar dalam satu masa.

Lengkap dengan segala fasiliti seperti, bilik kuliah, bilik komputer, dapur komersial termasuk pastri dan bakeri, ruang rehat pelajar, perpustakaan engan kemudahan internet dan restoran. Katanya, SIC menawarkan beberapa kursus pengajian, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 & 2 Seni Kulinari, SKM Tahap 1 & 2 Pastri dan Bakeri, SKM Tahap 1 & 2 Perkhidmatan Makanan dan Minuman serta Program Skim Aprentis Industri Perhotelan.

Bukan sebarang kolej, SIC mendapat pengiktirafan daripada universiti luar negara, University of West London dan Universiti Johnson & Wales. Ia juga turut diiktiraf di Jabatan Pembangunan dan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Pengambilan sesi Julai akan dibuka tidak lama lagi. Sebarang maklumat boleh layari laman web www.silverspoon.my,” katanya.


Bukan senang untuk senang

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang masakan, Chef Zam akui bukan senang berada di tahap sekarang. Katanya, kesukaran yang dihadapi suatu ketika dahulu adalah penguat semangat untuknya terus mengejar kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya memang minat memasak kerana sering membantu ibu di dapur. Apabila tamat persekolahan, saya diterima ke Universiti Teknologi Mara untuk mengikuti Diploma in Chef Training pada tahun 1990.

“Tamat pengajian pada 1993, saya bekerja di hotel sementara. Akhirnya, pada tahun 1995, saya dapat biasiswa daripada Mara untuk sambung pengajian peringkat Ijazah di Amerika Syarikat,” katanya yang pernah menjadi ketua chef di sebuah restoran di New York. Pada tahun 1997, Chef Zam membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia kerana merindui ibunya setelah tiga tahun tidak pulang.

“Sebelum balik, saya menghubungi beberapa tempat di Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.

Alhamdulillah, saya diterima bekerja di Kolej Damansara Utama (KDU) walaupun hanya menjalani temuduga melalui telefon sahaja. “Ibu saya seorang ibu tunggal, jadi saya membawa dia untuk tinggal bersama saya di Petaling Jaya.

Ketika itu, saya hanya menyewa bilik kecil kerana tidak mampu mendapatkan rumah sewa. “Selama dua tahun, saya pergi kerja dengan teksi kerana tidak mampu beli kereta ketika itu. Dua tahun selepas itu, barulah dapat beli kereta, itupun hanya kereta terpakai,” katanya yang berkhidmat di KDU selama enam tahun.

Pada 2001, kelibat Chef Zam mula dilihat menerusi rancangan televisyen dengan mengendalikan program masakan termasuk rancangan khas raya, Raya Rantau dan Cit Cat Raya.

“Pada tahun 2003, saya berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana di University of West London dan dapat biasiswa daripada universiti itu. “Ekoran masalah kewangan, saya telah bekerja sambilan untuk mempromosikan jenama makanan segera, Brahim’s di sana. Dari situ, saya mengenali ramai orang dan mula menjalinkan perkenalan,” katanya.


Pasarkan jenama makanan sendiri

Dilantik sebagai duta barangan elektrik, Philips, tahun ini adalah tahun keempat Chef Zam diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab itu. Selain itu juga, Chef Zam juga turut menerima tawaran untuk memperkenalkan produk minyak zaitun, Colavita, dan pasta jenama, Barilla. “Selain itu, saya kini memasarkan produk jenama sendiri, myChef.

Produk makanan beku itu mula memasuki pasar raya besar seluruh Malaysia.

“Semua produk yang diperkenalkan sememangnya sukar didapati di negara kita dan disediakan dengan kandungan kalori yang rendah,” katanya yang mendapat gelaran Professor dari Universiti of West London pada Ogos tahun lalu.


PROFIL

Nama Penuh: Zamzani Abdul Wahab
Tarikh Lahir: 19 April 1970
Tempat Lahir: Kuala Terengganu
Hobi: Melancong, menonton wayang, membeli belah
Idola: Emeril Lagasse, Anton Mossiman, Jamie Oliver
Menetap: Kota Damansara
Pendidikan: Ijazah Sarjana di Universiti of West London
Rancangan Televisyen: Periuk Hangus, MyChef, Masakan bersama Marmite, Masam Manis Ramadhan, Heinz ABC Sweet Soy Sauce, Senyuman Kraft Singles Game Show, Siap Saji Scotts Towels, Healthy Living with PETRONAS, Pencarian IDEAL Chef Selebriti, What’s Cooking with Marmite?, Ole-Ole Chef Zam & Fimie, Dunia Wanita, Asia’s Best Kept Secret, Kuih Raya: Juara Antara Kolej, KanCheong Kitchen, The Flaming Chef, Serimas… Selera Dunia, Tak Tahan, Ole-Ole Malaysia, Berat Badan Unggul, Sucre Fest met Chef Zam, The Malaysian Invasion, Aroma Selebriti….MMVitaOils, Rahsia Rasa…. MMVita Oils, Romancing February, Garam Gula, Cak-Cak.