Mado tempa nama di Malaysia
Pesuruhjaya Tinggi Turki di Malaysia, Yasin Temizken (tengah) dan Yasar Kanbur (dua, kanan) pada majlis pelancaran Mado Dessert Cafe's.

Aiskrim adalah antara pemanis mulut yang paling digemari ramai tidak kira orang dewasa mahu pun kanak-kanak. Dalam keadaan cuaca yang panas seperti hari ini, kedinginannya mampu memberi kesegaran kepada mereka yang menggemarinya. Kelahiran pelbagai jenama ais krim di Malaysia amnya, memberi pelbagai pilihan kepada penggemarnya.

Baru-baru ini, muncul satu lagi jenama aiskrim dari Turki yang membawa bersama keunikan dan kelazatan resipi turun temurun pengasasnya.


Miliki lebih 200 cawangan

MADO menawarkan rasa aiskrim sebenar kepada penggemarnya di dalam dan luar negara dengan rasa dan kualiti yang sama. Membuka kedai konsep pertama di Caddebostan, Istanbul pada 1992, kedai ini menjadi rantaian pertama dalam mendekatkan Turki dengan dunia luar.

Peralihan daripada hanya penjualan ais krim di tepi jalan ke kafe bermula dengan penubuhan kafe ini. Malah, Mado telahpun memenuhi permintaan berlainan dengan kelazatan pelbagai jenis perasa ais krimdan pencuci mulut.

Kejayaan membuka 20 cawangan dalam tempoh enam bulan menjadikan jenama ini antara jenama francais penting yang menggabungkan tradisi ais krim sejak 300 tahun dahulu dan 150 tahun pengalaman keluarga.

Kini, Mado mempunyai lebih 200 cawangan di tujuh negara termasuk Eropah dan Bulgaria dengan jumlah pengunjung melebihi 23 juta orang pada tahun lalu.Jenama Mado telah berkembang dengan jayanya dalam skop sistem francais, sekali gus menjadi antara jenama paling berjaya di Turki.

Bagi yang ingin menceburi bidang perniagaan, Mado antara pilihan yang ada kerana ia merupakan peneraju pasaran, mempunyai potensi yang berkembang dalam pasaran ais krim, produk berkualiti, segar, sihat dan lazat, rangkaian pengedaran yang kukuh serta penggunaan kawasan yang mudah dan selesa.


Giat terokai pasaran Asia

MENJADIKAN Malaysia sebagai pintu masuk untuk terus mengembangkan jenamanya ke seluruh Asia, Mado juga melihat peluang ini sebagai cara meluaskan budaya makanan ais krim di samping mendekatkan lagi jenamanya dengan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yasar Kanbur berkata, kestabilan politik dan populasi penduduk yang besar antara sebab mengapa Malaysia dipilih sebagai platform untuk Mado memperkenalkan jenamanya di Asia.

“Malaysia akan mengalami program transformasi domestik di mana ia memerlukan teknologi dan perniagaan ekonomi yang baik. Apabila sesebuah perniagaan dibuka, ia memberi lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan negara.

“Dengan pembukaan cawangan baru di Malaysia, kami bersedia melihat dunia tanpa sempadan kerana Mado adalah platform terbaik untuk rantau ini yang menawarkan produk premium berkualiti tinggi,” katanya.


Buka kafe pertama di Bukit Bintang

BAGI mengukuhkan lagi operasinya di Malaysia, Mado telah membuka kafe pertamanya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan pelaburan sekitar RM3 juta termasuk untuk pengubah suaian, dan peralatan.

Menyifatkan kafe ini sebagai sesuatu yang unik dan berbeza, Mado nyata mempunyai strategi tersendiri untuk memberi perkhidmatan berasaskan teknologi kepada komuniti selain mengetengahkan pengendalian dengan konsep dan model berbeza.

Bagaimanapun bagi Yasar, pemilihan sesuatu lokasi adalah sangat penting dalam memastikan perniagaan yang dibangunkan berjalan lancar. Selain itu, Mado juga menggalakkan sesiapa yang berpeluang bekerja dengan Mado supaya mengambil peluang itu kerana pihak Mado akan memastikan kejayaan francaisinya.


Perancangan masa depan

DENGAN pelbagai pelan strategik yang telah diatur, Mado berhasrat membuka 15 kedai termasuk kios sekitar Lembah Klang dan seterusnya mencapai sasaran jualan RM130 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mado turut berhasrat menjalankan sistem perniagaan dengan lebih besar dan menjadikan Malaysia sebagai pusat produknya dalam masa dua tahun lagi. Setelah itu, Mado akan terus memastikan rantaian bekalannya bertahan sebelum meneroka pasaran baru seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.