Tuesday, June 19, 2012

Bina aplikasi untuk kanak-kanak

Ng Wan Peng bersama Mohd Fazlin Shah Mohd Salleh melancarkan Pertandingan Geek the Gunius Apps di ibu negara baru-baru ini.

KEMAJUAN dunia telekomunikasi hari ini banyak disokong oleh aplikasi-aplikasi canggih yang dibangunkan merentasi pelbagai platform teknologi.

Bukan setakat memudahkan, pacuan perkhidmatan itu juga sangat relevan dengan kehidupan masyarakat kini yang sentiasa mahu melaksanakan urusan harian mereka secara cepat dan pantas.

Keperluan itu telah mendorong semakin ramai individu menceburkan diri dalam industri pembangunan aplikasi tersebut.

Selain menjana lebih banyak idea inovasi yang kreatif, penglibatan tersebut juga mampu menjana pendapatan lumayan serta bernilai tinggi.

Meneroka lebih banyak bakat ke arah itu, syarikat inovasi dalam rangkaian produk dan perkhidmatan teknologi, Alcatel-Lucent Malaysia melancarkan pertandingan ciptaan kandungan aplikasi Facebook untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dikenali sebagai Geek-the-Genius.

Dengan sasaran penyertaan daripada kalangan golongan muda, peserta dikehendaki membina aplikasi yang memberi fokus kepada elemen pendidikan dan juga hiburan (edutainmen).

Geek-the-Genius bakal berlangsung selama 12 minggu bermula 27 April lalu sehingga 20 Julai 2012.

Menurut Presiden Alcatel-Lucent Malaysia, Mohd. Fazlin Shah Mohd. Salleh, penganjuran program itu bermatlamat menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pembangunan aplikasi interaktif tempatan.

''Industri kandungan ketika ini tidak hanya diterajui oleh negara-negara maju sebaliknya negara membangun turut mempunyai keupayaan mencipta aplikasi untuk kegunaan global.

''Melalui kemudahan capaian Internet jalur lebar yang semakin berkembang di Malaysia, ekosistem kreatif dan interaktif ini pasti mudah untuk dibangunkan,'' katanya pada majlis pengenalan pertandingan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd. Fazlin memberitahu, Geek-the-Genius turut mendapat sokongan inisiatif MSC Malaysia di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng berkata, sebagai agensi pemacu inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, pihaknya komited membantu usaha seumpama itu.

''Justeru, rakyat Malaysia terutama golongan muda perlu mengambil peluang untuk mencabar diri dan meneroka bidang pembangunan aplikasi ini,'' jelasnya.

Peserta yang berminat menyertainya boleh mendaftarkan melalui laman web www.geekthegenius.com untuk mendapatkan nama pengguna dan kata laluan.

Kemudian, dalam tempoh yang ditetapkan, mereka perlu membina aplikasi tersebut menggunakan pelbagai platform pembangunan yang telah disediakan oleh Facebook.

Penyertaan mestilah menepati syarat dan kriteria yang telah ditetapkan seperti keaslian idea, kandungan yang mengikut peringkat pendidikan, pengalaman pengguna serta relevan dengan audiens.

Pertandingan tersebut bakal dinilai oleh beberapa juri yang dilantik daripada kalangan penggiat media dan pencipta kandungan kreatif tempatan.

Sebanyak 13 hadiah lumayan berupa wang tunai menanti peserta iaitu RM20,000 untuk pemenang utama, RM12,000 (pemenang pertama), RM5,000 (tempat kedua) dan sepuluh hadiah saguhati RM700 untuk tujuh pemenang.

Kesemua aplikasi yang menepati garis panduan dan syarat pertandingan akan disiarkan menerusi laman www.facebook.com/geekthegenius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: