Saturday, June 2, 2012

Bangunan 'UFO' tarikan di Rio de Janeiro


KEUNIKAN reka bentuk muzium ini menyebabkan ia dikunjungi jutaan pengunjung saban tahun.


ADAKAH anda merancang untuk melawat Rio de Janeiro, Brazil?

Jika, ya, jangan lupa melawat ke bandar Nateroi dan singgah ke Niteroi Contemporary Art Museum atau MAC.

Terletak di atas tebing bukit berlatarbelakangkan Teluk Guanbura, pusat peranginan popular di bandar itu, MAC tampak unik kerana bentuknya seakan-akan sebuah piring terbang atau 'Unidentify Flying Objek' (UFO).

Reka bentuk futuristik dan bentuk geometri unik itu merupakan hasil kreativiti arkitek terkenal Brazil, Oscar Niemeyer dan pembantunya, Bruno Contarini, seorang jurutera yang sering bekerjasama dengannya dalam beberapa projek sebelum itu.

Pembinaan MAC dimulakan pada tahun 1991 dan siap sepenuhnya lima tahun kemudian.

Secara keseluruhan, bangunan setinggi empat tingkat itu mempunyai ketinggian 16 meter dan dibina di kawasan seluas 2,500 meter persegi.

Bagi memberikan suasana lebih nyaman di sekeliling bangunan, Niemeyer turut membina kolam air seluas 817 meter persegi.

Pengunjung boleh mengakses muzium melalui laluan pejalan kaki yang disediakan. Di dalamnya terdapat dewan utama yang mampu memuatkan kira-kira 60 pengunjung.

Di bahagian luar dewan itu, terdapat ruang legar yang membolehkan pengunjung melihat panorama Tasik Guanabara dan Gunung Sugarloaf yang indah di sekelilingnya.

Di samping itu, muzium itu juga mempunyai galeri pameran yang memaparkan pelbagai koleksi seni kontemporari di Brazil.

Bagi kemudahan pengunjung terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di muzium itu. Antaranya, sebuah kedai buku, bar, restoran manakala ruang auditorium pula sesuai untuk aktiviti mesyuarat dan seminar yang berskala kecil.

Diiktiraf antara bangunan paling elegan di dunia serta salah satu mercu tanda di Rio de Janeiro, MAC berjaya menarik jutaan pengunjung saban tahun yang mahu menikmati keunikan seni binanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: