Saturday, June 2, 2012

Menimba ilmu di kota dua tamadun


AKMAL dapat menimba pengalaman belajar di dalam kelas bersama pelajar tempatan di Universiti Fatih.


SESIAPA sahaja yang menjejakkan kaki di kota Istanbul pasti akan terkasima dengan keindahannya.

Kota yang sarat dengan peninggalan sejarah kerajaan Islam Uthmaniyyah itu masih segar walaupun sistem pemerintahan khalifah selama lebih 620 tahun itu runtuh pada tahun 1929 atas alasan untuk memodenkan Turki.

Menurut dokumen yang disahkan, empayar Uthmaniyyah menguasai sejauh Maghribi, Budaphest, Iraq, Yemen dan tiga kota suci, Mekah, Madinah serta Baitulmuqaddis.

Walaupun sudah hampir 100 tahun berlalu, peninggalan empayar Uthmaniyyah masih segar dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Turki, malah bangunan-bangunan lama di negara itu masih kuat berbau sejarah.

Justeru, tidak hairanlah apabila Istanbul menerima jolokan Kota Dua Tamadun kerana ia sarat menyimpan kebudayaan dari seluruh empayar pentadbirannya.

Bangunan-bangunan dan artifak-artifak keseniannya merupakan percampuran dari kebudayaan asli Turki, Byzanti dan Rom.

Penulis yang diberi peluang untuk menyertai lawatan sambil belajar ke Universiti Fatih di Istanbul, Turki baru-baru ini turut merasai aura kerajaan Uthmaniyyah dalam pelbagai aspek kehidupan para mahasiswanya.

Sejurus menjejakkan kaki di bumi Turki, kepenatan selama 12 jam berada di dalam perut kapal terbang lenyap dengan sekelip mata kerana penulis dihidangkan dengan permandangan yang memukau perasaan.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menimba pengalaman menuntut ilmu di bumi asing.

Seramai empat orang pelajar dan dua orang pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Media (FKM), Universiti Selangor (Unisel) telah memilih mengadakan lawatan peribadi sambil menimba ilmu ke Universiti Fatih, Istanbul.

Rombongan selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk pada pukul 3 petang waktu Turki bersamaan 9 malam waktu Malaysia.

Kedatangan kami disambut dengan senyuman lebar oleh dua orang pegawai dari Universiti Fatih.

Selepas berjumpa dengan mereka, kami terus dibawa ke tempat penginapan yang diberi nama Basya Yurdu dengan menaiki kenderaan Mercedes Vito berwarna hitam.

Belajar dalam kelas

Jarak ke tempat penginapan kami dari Lapangan Terbang Ataturk kira kira 15 kilometer.


MUZIUM Topkapi menyimpan pelbagai khazanah berharga terutamanya artifak sejarah awal Istanbul.


Pada keesokan harinya, kami mengadakan lawatan ke kampus Universiti Fatih yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kami menginap.

Walaupun kali pertama berjumpa, namun keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada kami untuk beramah mesra dengan pensyarah dan pelajar tempatan.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh rombongan kami apabila belajar bersama-sama mereka di dalam kelas.

Perbualan kami di dalam kelas dimulakan dengan ucapan Gunaydin (selamat pagi) diikuti Merhaba bermaksud hello atau hai, kemudian kami menanyakan nama menggunakan bahasa Turki yang berbunyi adin ne? (siapa nama?), adim Azrul (nama saya Azrul).

Belajar bersama-sama dengan pelajar yang berlainan kewarganegaraan merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai bagi kami kerana mereka bukan sahaja duduk bersama, malah turut mengajukan beberapa soalan kepada pensyarah Unisel.

Hagia Sophia yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Ahmed merupakan satu tarikan pelancong di kota Istanbul.

Jadi kami tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri masjid yang penuh bersejarah itu. Ia dibina sewaktu zaman pemerintahan Byzantine dan fungsinya pada ketika itu adalah sebagai gereja, tanpa empat menara yang mengelilinginya.

Seusia kemenangan tentera Uthmaniyyah, Sultan Fatih terus sahaja mengarahkan pembersihan gereja tersebut dan menukarkan ia kepada sebuah Masjid Ayasofya.

Ia pernah terbakar beberapa kali dan jika diperhatikan, terdapat tiga jenis menara berbeza daripada sudut seni binanya. Ia kekal berfungsi sebagai masjid selama 482 tahun sebelum diwartakan sebagai muzium oleh Kamal Ataturk.

Setibanya kami di perkarangan Masjid Biru (Blue Mosque), saya terkesima dengan seni bina serta reka bentuk masjid itu.

Masjid yang berusia lebih 100 tahun itu masih tersergam indah dan manusia tidak putus-putus mengunjungi masjid bersejarah tersebut.


AKMAL gembira dapat bermain salji buat pertama kali di Turki.


Ia mula dibina sekitar tahun 1609 hingga 1616 semasa pemerintahan Ahmed L-Bakthi dan permukaan lantai masjid ini 100 peratus dipenuhi dengan batu marmar berwarna kelabu.

Kami juga dibawa melawat Masjid Suleyman, sebuah masjid yang dibina oleh arkitek tersohor, Mimar Sinan atas perintah Sultan Suleyman Al-Qanuni atau Sultan Suleyman The Magnificient.

Keindahan dan kecanggihan seni binanya telah memukau seorang arkitek moden Barat sewaktu ia melawat masjid itu.

Beliau dikatakan pernah duduk di tengah-tengah masjid sambil merenung ke kubah selama 5 minit sambil berkata, "I thought I was not an architect".

Begitulah dapat diilustrasikan kecantikan seni bina Mimar Sinan itu untuk menggambarkan kehebatan Sultan Suleyman Al-Qanuni yang berjasa dalam mengatur semula undang-undang Turki pada ketika itu.

Di samping lawatan sambil belajar, kami juga turut membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang lain seperti Muzium Topkapi, Panorama 1453, Galata Tower dan juga Empangan Yerebatan Cistern.

Antara tempat bersejarah yang menarik perhatian kami untuk singgah ialah Muzium Topkapi kerana janggut dan pedang Rasulullah SAW dipamerkan di situ.

Terserlah kesayuan pada wajah kami sejurus masuk ke muzium melihat janggut serta pedang Rasullah S.A.W.

Seorang pelajar FKM, Saiful Razlan sambil terpegun menjelaskan: "Aku sedih sangat bila tengok janggut dan pedang Rasulullah, teringat pula dekat sejarah kisah perang Rasulullah semasa hendak menyebarkan Islam dahulu, Rasulullah memang pemimpin yang agung dan sayang akan umatnya," terang Saiful dengan nada yang sayu.

Seterusnya kami ke The Journalist and Writers Foundation sebuah agensi Kewartawanan dan Penulisan di Istanbul.

Kunjungan disambut mesra oleh Penolong Pengarah agensi itu iaitu Fatih Ceren.




Pada masa yang sama, Fatih turut menerangkan kepada kami tentang sejarah dan tujuan penubuhan agensi ini.

"Untuk maklumat anda, di Turki terdapat tiga kefahaman iaitu Ottamanisme, Nasionalisme and Islamicnisme.

"Selain itu, Kamal Ataturk membangunkan negara Turki pada tahun 1923 dan Turki juga mempunyai tiga kumpulan penganut iaitu Muslim, Kristian dan Yahudi yang tinggal dalam satu kawasan seperti di Synagogue dan Kuzguncuk," tambahnya.

Uludag

Uludag merupakan kawasan pergunungan yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Istanbul.

Untuk ke Uludag, ia mengambil masa lebih kurang tiga jam dari Istanbul dengan menaiki feri.

Kami tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki di Uludag sebaik sahaja mengetahui bahawa terdapat salji di sana.

Perjalanan selama tiga jam berbaloi apabila mata terkesima sebentar memandang kesucian dan keputihan salji yang turun dari langit.

Walaupun berada pada keadaan suhu -4 darjah celsius, kesejukan bagai tidak terasa kerana kami dihidangkan dengan pemandangan yang memukau seperti langit yang membiru dan pokok-pokok hijau yang dilitupi salji.

Walaupun kami berada selama 14 hari di Turki, tetapi kami dapat merasakan tempoh dua minggu itu terlalu singkat kerana banyak tempat yang telah menarik perhatian kami untuk tinggal lebih lama di situ.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: