Saturday, June 2, 2012

Selesa di Marina Island


BEST Western Marina Island Resort Pangkor dibina menghadap pemandangan laut.


MEREKA yang pertama kali menjejakkan kaki ke suite penginapan Best Western Marina Island Resort Pangkor di Perak pasti akan terpesona dan teruja melihat ruangnya yang luas dan selesa untuk percutian seisi keluarga.

Tidak seperti ruang bilik kebanyakan hotel yang kecil sekali gus mengehadkan pergerakan, suite penginapan di resort itu ibarat sebuah kondominium mewah. Ia memberi kebebasan kepada penghuninya untuk menikmati keindahan ruangnya.

Apatah lagi, tatkala pintu gelongsor yang menemukan tetamu dengan balkoni yang luas dibuka, angin sejuk segera menerobos masuk memberikan kesegaran dalam ruang bilik.

Justeru, suite penginapan berkenaan pastinya memberikan kepuasan kepada tetamu untuk tidur lebih lena. Pasti sayang untuk meninggalkan kediaman bak rumah idaman itu.

Best Western Marina Island Resort Pangkor terletak di luar pantai Teluk Muroh atau Teluk Batik dan bertentangan dengan Pulau Pangkor.

Ia amat sesuai dijadikan persinggahan bagi mereka yang bercadang untuk berkunjung ke pulau-pulau berdekatan atau sebagai lokasi bersantai bersama keluarga.

Terdapat sebanyak 170 buah suite penginapan yang menawarkan pemandangan menghadap laut.

Katil disediakan dalam saiz king atau berkembar bagi setiap bilik. Alat membuat teh dan kopi juga disediakan, selain keperluan lain seperti pengering rambut, internet percuma, pendingin hawa dan televisyen.

Sekiranya tidak mahu memerap di bilik, pelbagai kemudahan luar turut disediakan seperti gim, tenis, kolam renang, memancing, snorkeling dan menyelam.


RUANG kafenya cukup luas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung saat menikmati makan malam.


Mereka yang gemar bermain golf boleh menunaikan keseronokan menghayun kayu golf di kelab-kelab golf yang terletak berhampiran.

Selain itu, aktiviti lasak yang digemari masa kini seperti menunggang ATV, paintball, berkanu atau sekadar mengambil angin segar dengan menaiki basikal yang boleh disewa dengan harga murah.

Penginapan di situ pastinya akan disertai dengan perkhidmatan tetamu yang cekap dan kemudahan seperti penghantaran dengan limosin, koordinator percutian, dobi, surau dan servis bilik.

Mesyuarat dan konvensyen juga boleh dianjurkan di Best Western Marina Island Resort Pangkor kerana terdapat sebanyak lima buah bilik mesyuarat yang mampu menampung kapasiti hingga 1,500 orang.

Terletak di tepi laut, Best Western Marina Island Resort Pangkor pastinya mempunyai kepakaran dalam menyediakan hidangan makanan laut termasuk pelbagai hidangan aneka resipi Melayu, Cina dan antarabangsa.

Perjalanan ke sana dari bandar raya Kuala Lumpur memakan masa selama dua jam setengah dengan memandu melalui plaza tol Damansara.

Pengunjung perlu keluar melalui plaza Tol Batu Gajah atau Gopeng, seterusnya mengikut arahan papan tanda jalan menuju ke Lumut, kemudian ke Teluk Batik sebelum sampai ke Best Western Marina Island Resort Pangkor.

Dalam jarak perjalanan kaki dari resort itu juga, terdapat kompleks jeti yang menawarkan keseronokan karaoke keluarga, restoran makanan laut dan stimbot, kedai cenderamata dan snek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: