Program Angkasawan Negara perlu dihidupkan semula untuk meningkatkan minat pelajar kepada aliran sains yang semakin kritikal ketika ini.
Sepanjang tempoh program itu berlangsung, ia berjaya menyemarakkan minat bukan sahaja pela-jar malah masyarakat umum se-cara keseluruhan kepada bidang sains.
Kehangatan orang ramai meraikan sains amat terasa bermula dari saat pemilihan awal sehingga ternobatnya, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Angkasawan Negara yang pertama pada 2007.
Fenomena ini berterusan dan boleh dilihat melalui sambutan oleh para pelajar kepada ikon negara itu setiap kali beliau membuat kemunculan di depan khalayak apatah lagi ketika berceramah di sekolah-sekolah.
Atmosfera itu memberi nafas baharu dan satu suntikan kepada pelajar serta ibu bapa untuk mendalami bidang sains. Hal ini kerana mereka boleh melihat dan meraikan kehebatan sains melalui Angkasawan Negara.
Bagaimanapun, momentum ini terencat akibat momokan dan label negatif terhadap program itu oleh segelintir pihak yang sering memperlekehkan inisiatif kerajaan walaupun ia memberi impak positif untuk jangka panjang.
Akibatnya, minat pelajar untuk mengikuti aliran yang semakin merosot kini bertambah kritikal dan dijangka akan menjejaskan hasrat untuk Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020.
Untuk menjadi negara maju, kita memerlukan 500,000 tenaga kerja mahir yang berpengetahuan dalam bidang sains dan teknologi.
Namun sasaran ini agak sukar dicapai berdasarkan unjuran semasa iaitu hanya kira-kira 35,000 pelajar mengambil jurusan sains setiap tahun di peringkat pengajian tertiari atau di institusi pengajian tinggi.
Manakala di peringkat sekolah menengah pula, pelajar yang mengambil aliran sains juga tidak menepati nisbah sasaran yang ditetapkan sebanyak 60 peratus untuk sains kepada 40 peratus bukan aliran sains.
Sebagai contoh, enrolmen pelajar tingkatan 4 dalam aliran sains pada tahun ini hanya 29 peratus sahaja walaupun yang layak adalah sebanyak 58 peratus berdasarkan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mereka.
Justeru, perlu diadakan satu program mega bagi mencetus dan seterusnya melonjak minat pelajar serta ibu bapa kepada bidang sains dan teknologi seperti menghidupkan semula program Angkasawan Negara atau memulakan usaha membina kapal angkasa untuk industri pelancongan ke angkasa lepas.
Industri pelancongan ke angkasa lepas dijangka akan berkembang pesat pada masa hadapan dan sewajarnya kita turut sama menerokai potensinya.
Selain itu, projek berskala besar amat penting untuk memupuk minat di samping menunjukkan kehebatan sains kepada umum seperti yang dibuktikan melalui Koridor Raya Multimedia (MSC). Hasilnya jutaan ringgit pelaburan dari luar dan ratusan ribu peluang pekerjaan berkaitan sains dan teknologi diwujudkan.
Impaknya, ia berjaya mewujudkan rantaian bekalan modal insan untuk memenuhi permintaan pasaran yang sekali gus menarik lebih ramai pelajar mengikuti aliran sains di semua peringkat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: