Thursday, February 23, 2012

Teknologi Jepun salurkan 'nyawa'



LAPORAN muka depan akhbar Kosmo! pada 12 Januari lalu menjadi amaran awal mengenai masalah bekalan air di Lembah Klang. Ia mungkin berlaku lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada tahun 2014.

Kebimbangan itu bukan satu tindakan melulu tetapi berdasarkan pada trend gangguan bekalan air akibat penggunaan berlebihan.

Bukan sedikit yang terjejas. Menurut laporan itu, seramai 2.2 juta orang penduduk di empat kawasan di Lembah Klang dijangka terlibat dalam masalah tersebut.

Menurut Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail, perkara tersebut berlaku kerana jumlah pengeluaran dua loji air tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

Permintaan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat sebanyak 3.7 peratus setiap tahun.

Pada hujung tahun ini, permintaannya bakal meningkat sehingga 4,354 juta liter sehari berbanding pengeluaran air sebanyak 4,326 juta liter sehari yang mampu dikeluarkan oleh loji sedia ada.

“Selain itu, faktor cuaca yang panas dan musim perayaan turut menyebabkan penggunaan air yang banyak lalu menyumbang kepada masalah bekalan air,” kata beliau.

Terdapat tiga buah projek yang dirancang pihak kerajaan bagi menangani masalah tersebut. Antaranya, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2, pembinaan loji dan empangan baharu di Salak Tinggi serta Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).


KONTRAKTOR utama pembinaan PPAMPS dilantik oleh Kerajaan Malaysia tanpa ada sebarang campur tangan oleh pihak Jica.


Atasi masalah

Meskipun situasi semasa bekalan air di Lembah Klang semakin meruncing, namun menurut wakil Agensi Kerjasama Jepun (Jica) di Malaysia, Tsutomu Nagae, PPAMPS yang sedang dijalankan itu mampu disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2014.

Sekali gus, Nagae memberi jaminan bahawa masalah air yang diuar-uarkan bakal berlaku pada tahun tersebut dapat diselesaikan.

Jica merupakan agensi yang memberi pinjaman kepada kerajaan Malaysia dalam projek PPAMPS. Badan yang membiayai projek yang mempunyai impak besar kepada negara dan masyarakat itu juga bertindak selaku pemantau.

Sehingga kini, projek yang terbahagi pada empat bahagian itu sudahpun melalui beberapa fasa dan menepati jadual pembinaan yang dirancang.

Terowong sejauh 44.5 kilometer yang bertujuan untuk memindahkan air dari Pahang ke Selangor itu sudah 70 peratus siap dikorek sepenuhnya.

“Projek itu juga sudah agak terkehadapan berbanding jadual asal,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Jica, Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, Nagae mengakui walaupun struktur geologi Banjaran Titiwangsa adalah batu kapur, pasukan pembinaan masih berdepan masalah ketika proses menggali kerana bukan keseluruhan kawasan terlibat adalah batuan padu.

Bagaimanapun, masalah yang sudah dijangka itu sudah dapat diatasi oleh kontraktor berkenaan. Selain terowong, pembinaan bahagian lain seperti sistem pam baru mencapai kemajuan kurang lima peratus manakala empangan Kelah baru mencapai dua peratus.


WALAUPUN diakui terdapat kesulitan dalam pembinaan, PPAMPS masih mampu dibina mengikut jadual dan bakal siap pada tahun 2014.


Pembinaan empangan dan sistem pam PPAMPS sedikit lambat kerana ia baru sahaja dimulakan selepas kontrak pembinaan diberi. Bagaimanapun, jadual pembinaan kedua-dua bahagian itu memang dirancang sebegitu.

Rasa lega

Perkembangan dan keyakinan terbaharu pihak luar yang terlibat dalam PPAMPS itu bakal melegakan warga tempatan khususnya penduduk Lembah Klang yang khuatir terjejas dengan bekalan air pada tahun-tahun mendatang.

Projek bernilai RM5 bilion daripada Jica itu merupakan pinjaman yang bersifat boleh ubah.

Terma boleh ubah itu merujuk kepada pinjaman yang mengenakan kadar faedah yang sangat rendah iaitu sebanyak 0.5 peratus setahun manakala tempoh pembayaran adalah selama 40 tahun.

Selain itu, ia juga memberi masa tertentu tanpa perlu membuat pembayaran balik iaitu sepanjang waktu pembinaan.

“Ia juga bersifat tidak terikat. Jadi, pihak kerajaan bebas memilih kontraktor yang terlibat dengan cara open tender,” kata Nagae yang menolak persepsi negatif mengatakan penerima dana Jepun perlu mengikut telunjuk mereka.

Kontraktor yang terlibat dalam PPAMPS adalah sebuah usaha sama empat buah syarikat iaitu IJM Corp. Bhd., UEM Builders Bhd., Shimizu Corporation dan Nishimatsu Construction Co. Ltd.

Apabila projek itu siap, pihak Jica sedia membekalkan sebarang bantuan dalam bentuk khidmat nasihat dan latihan kepada tenaga mahir yang bekerja dalam bidang operasi.

Kesan gangguan air di Lembah Klang yang teruk pada tahun 1998 menyebabkan pihak kerajaan telah melakukan satu kajian intensif terhadap perkara tersebut.


SUDAH 70 peratus bahagian terowong siap dibina dan mengikut perancangan oleh pihak kontraktor.


Kajian National Water Resources Study meramal Lembah Klang akan menghadapi krisis bekalan air sekali lagi pada tahun 2014 jika tiada langkah penyelesaian dibuat.

Menurut Nagae yang mempunyai latar belakang bidang geologi., ketika mula-mula PPAMPS dibincang, terdapat tiga kaedah yang digunakan untuk menyalurkan iaitu sistem perpaipan, terusan dan terowong.

“Kaedah terowong dipilih kerana bersifat kos efektif malah penyelenggaraan nanti hampir percuma. Ia disebabkan oleh keadaan geologinya yang berbatu,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: