Operasi MASwings ke BIMP-EAGA

Pengembangan MAS­wings ke Kawasan Pertumbu­han Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia Filipina (BIMP-EAGA) tidak menjejaskan operasi domestik khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, operasi ini memberi peluang pertumbuhan ekonomi serta pasaran baru bagi kedua-dua negara dalam bidang pelancongan, perubatan, pendidikan, pertanian, perdagangan dan pelaburan.

“Pembangunan perniagaan ini dipercayai merendah kan kos operasi keseluruhan MASWings. Sebelum ini, MASwings hanya beroperasi dalam lingkungan Sabah dan Sarawak.

“Mengikut perancangan, MASwings dijadual memulakan penerbangan sulung ke tiga destinasi BIMP EAGA bermula semalam,” katanya sempena penerbangan sulung MASwings dari Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan, Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Menurutnya, MASWings adalah syarikat penerbangan Malaysia pertama menghubungkan pintu masuk BIMP EAGA yang diiktiraf berdasarkan perjanjian persefahaman pengembangan hubungan udara antara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Operasi BIMP EAGA memenuhi keperluan komersil dan tanggung jawab sosial bagi memupuk rangkaian silaturahim antara mas­yarakat Negara anggota BIMP EAGA.