Thursday, February 2, 2012

Mengintai kelip-kelip


KERLIPAN kelip-kelip di Kuala Selangor sangat istimewa kerana kelihatan seperti pohon krismas.


SUASANA di Jeti Kampung Kuantan, Kuala Selangor sedikit hingar apabila hampir 200 orang pelawat berkumpul untuk menunggu giliran menaiki sampan.

Para pengunjung yang datang seawal pukul 7 malam itu bukan calang-calang, mereka terdiri daripada pelancong asing dari Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Barat.

Namun begitu, sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam sampan. Keadaan menjadi sunyi sepi, semua pengunjung berdiam diri dalam kegelapan malam semata-mata mahu menikmati keindahan sejenis serangga, kelip-kelip yang bergemerlapan di pohon berembang.

Barangkali pengalaman tersebut hanya peluang sekali seumur hidup bagi pelancong asing itu. Mereka tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih dalam bahasa Jepun kepada pendayung sampan.

Kelip-kelip di situ adalah satu-satunya spesies di dunia yang wujud dan tinggal di Sungai Selangor selain Brazil.

Menurut penyelidik TNB Research Sdn. Bhd., Aisah Md. Shukor, 26, serangga tersebut mempunyai keistimewaan iaitu berkelip secara serentak dan memberikan kesan yang dipanggil ‘pokok krismas’.

Ia tidak boleh dijumpai di mana-mana walaupun terdapat populasi kelip-kelip di tempat lain di Semenanjung Malaysia seperti di Johor dan Pahang.

“Habitat serangga kecil ini hanya pada pokok berembang kerana dedaunnya adalah sumber makanan kelip-kelip dewasa manakala pada peringkat larva, siput yang menjadi makanannya turut hidup di habitat sama,” terang Aisah.

Habitat

Sepanjang tiga tahun pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan kajian di situ, pelbagai eksperimen dijalankan daripada mengkaji pembiakan pokok berembang sehingga kitar hayat kelip-kelip.

Antara kajian terawal pihaknya adalah mencari kaedah terbaik pembiakan pokok berembang. Selepas tiga kali kajian dilakukan, pelbagai penemuan ditemui antaranya melibatkan tahap sensitiviti.

Bagi mendapatkan anak benih pokok sahaja sudah mendatangkan cabaran kepada pihak penyelidik. Meskipun pokok tersebut berada dalam keluarga bakau tetapi, ia tidak ada nilai komersial kerana kandungan kelembapan dan strukturnya.

Jadi, mereka terpaksa membiakkan pokok tersebut daripada biji benih dan sehingga kini pihak penyelidik masih lagi dalam proses kajian dengan menanam secara tut pula.


RATA-RATA pengunjung ke Kuala Selangor terdiri daripada pelancong dari Jepun, Korea dan negara Barat.


“Pokok berembang sangat sensitif. Jika ada sedikit kerosakan pada daun atau dahan boleh menyebabkan anak pokok mati.

“Malah, hasil kajian mendapati pokok berembang hanya boleh hidup jika disiram dengan air dari Sungai Selangor yang menjadi habitat semula jadinya,” terang Aisah sebelum acara melihat kelip-kelip diadakan.

Ujar Aisah, pembiakan pokok berembang sangat penting kerana ia bakal menentukan sama ada kelip-kelip akan mengalami kepupusan atau terus kekal kewujudannya untuk generasi hadapan.

Aisah turut berkongsi informasi mengenai kekurangan keluasan hutan hasil kajian yang dilakukan sekitar tahun 70-an dan 80-an. Hampir 50 peratus hutan di persekitaran sungai Selangor telah tiada akibat pembangunan yang tidak terkawal. Kebanyakan kawasan hutan ditukar menjadi tanah pertanian.

Selain kajian terhadap habitatnya, kitar hidup serangga tersebut turut menjadi perhatian Aisah. Ujarnya, dengan memahami sifat kelip-kelip, mereka mampu mencari jalan memelihara makhluk kecil itu.

Dengan kawasan kajian terletak 1.5 kilometer dari jeti, mereka mendapati bahawa nisbah jantina yang sihat untuk populasi kelip-kelip dapat membiak dengan baik adalah 2:1.

Ia mewakili dua ekor jantan dan seekor betina. Jadi, kelip-kelip betina mampu mendapatkan benih yang betul-betul sihat untuk tujuan pembiakan.

Jangka hayat

“Tempoh jangka hayat kelip-kelip dewasa sangat singkat iaitu antara satu hingga dua minggu. Hidup mereka lebih pada melakukan pembiakan bagi kelangsungan populasi,” terang Aisah sambil disambut dengan hilai tawa para hadirin.

Cahaya yang keluar daripada kelip-kelip sebenarnya bertindak sebagai penunjuk-bio (bioindicator). Ia dikeluarkan oleh serangga jantan sebagai menarik perhatian sang betina.


ATAS titah Sultan Selangor, penggunaan bot berenjin tidak dibenarkan dan semua sampan perlu didayung ke tempat kelip-kelip.


Sebagai tanda persetujuan terhadap ajakan sang jantan, kelip- kelip betina menyambutnya dengan mengelipkan cahaya juga.

Sejak tahun 2008, TNB telah memainkan peranan dalam memajukan pusat pelancongan tersebut sehingga berjaya menjadi operator pusat kelip-kelip nombor dua terbaik di dunia.

Menurut Ketua Perhubungan Kerajaan dan Komuniti TNB, Ahmad Zaki Rasid, mengikut kontrak persefahaman dengan Majlis Bandaran Kuala Selangor, pihak TNB akan mengeluarkan perbelanjaan RM1.5 juta setahun sehingga 2013. Kerjasama mereka meliputi menyediakan infrastruktur dan kajian.

Menariknya, ujar Zaki, di Kuala Selangor, bot berenjin tidak boleh digunakan dari jeti ke kawasan habitat kelip-kelip atas titah Sultan Selangor.

Sehingga kini, hasil inisiatif TNB itu telah berjaya menaikkan taraf hidup dan peluang pekerjaan penduduk terutama para pendayung sehingga 300 peratus.

Seperti yang diucapkan oleh pendayung yang hanya dikenali sebagai Aziz, dia bersyukur kerana masih mendapat rezeki melalui pekerjaannya walaupun telah mendayung lebih kurang 18 tahun.

“Walaupun kini, bilangan kelip-kelip agak kurang berbanding dahulu tetapi, ramai pengunjung dari negeri lain mengakui di sini (Kampung Kuantan) paling banyak,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: