Sunday, February 12, 2012

Mazlan tabah hadapi cabaran

pix_middle

SEKITAR 1992 hingga 2001, wajah berkaca mata ini acap kali kita tatap di kaca TV. Setiap jam 8 malam dan sesekali jam 6 petang, Datuk Mazlan Sabli menjadi tumpuan jutaan mata sebaik membaca berita untuk TV1 RTM (Radio Televisyen Malaysia).

Menariknya, bukan saja di Malaysia, bahkan di negara jiran, Indonesia, ada yang tidak sabar-sabar menanti kemunculan Mazlan. Siapa lagi jika bukan isterinya, Datin Suzy Suzanna Machtub di Jakarta.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Ketika diwawancara di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, Mazlan menjelaskan, isteri dan ahli keluarganya di republik itu tiada masalah menonton siaran Malaysia, apatah lagi sewaktu dia membaca berita, kerana ramai menggunakan parabola bagi mudah menerima siaran luar.

“Ada ketika isteri balik kampung di Jakarta, tinggallah saya di Kuala Lumpur. Namun melalui parabola saja dapatlah kami melepas rindu. Malah ketika mentua (Oemar Machtub dan Secha Makarim) masih ada, mereka sempat juga beri komen di sebalik penampilan saya di RTM,” katanya.Itu cerita 11 tahun lalu sewaktu Mazlan bersama Azizah Ariffin dan Datin Sharifah Shahwati menjadi pembaca berita di RTM.


Kini, Azizah beralih dari Angkasapuri ke Sri Pentas, Shahwati pula menjadi perunding kecantikan dan Mazlan kini memberi fokus pada bisnes yang diceburinya 20 tahun lalu.

Mengikut Mazlan, dia menyertai RTM lebih awal selepas diwawancara pembaca berita veteran, Datuk Hashim Imbi. Namun, peluang menjadi pembaca berita pada awal 1990-an tidak dimanfaatkan kerana mempunyai komitmen kerja di Jakarta dengan syarikat Elmadasa - JP Kenny AG Swiss.

Menurutnya, bersama syarikat yang beribu pejabat di Switzerland itu, dia dilantik sebagai Perunding Perlindungan Pesisir Pantai Indonesia.

“Saya bekerja tiga tahun bersama Elmadasa. Biarpun orang Malaysia, saya tidak kekok atau menghadapi masalah bekerja dengan masyarakat sana. Rata-rata menerima saya dengan baik, apatah lagi mereka mengetahui isteri saya anak jati Indonesia.

“Saya kembali ke tanah air menjalankan perniagaan sendiri, mengimport kertas melalui syarikat Pura PDS. Saya jenis tidak suka duduk diam, walau sibuk dengan bisnes dan mengurus keluarga, saya ke RTM semula dan memohon untuk membaca berita dan mereka menerima saya kembali.

“Bermula 1992 hingga 2001, saya membaca berita secara sambilan di RTM. Ia tugas luar daripada bisnes tetapi sungguh berharga buat saya.

“Bagi saya, pembaca berita perantaraan di antara pihak pemerintah dengan rakyat. Siapa tidak bangga, setiap kali ke udara, berjuta-juta mata tonton kita,” katanya.

Ujian sebagai usahawan mulai dirasai Mazlan sebaik hipermarket tumbuh bagai cendawan di seluruh tanah air. Pada waktu sama, krisis kewangan global pada 1998 memaksa Mazlan beralih ke bisnes lain melalui Pura Technic selaku Pengarah Urusan, kemudian menubuhkan Stellaris Sdn Bhd selaku Pengerusi Eksekutif, syarikat yang membekalkan bahan bangunan dan IT, termasuk penggambaran bawah laut, untuk Pelancongan Malaysia.

Bagi Mazlan, pembabitannya dalam bisnes banyak didorong kejayaan usahawan Indonesia, Novel Machtub, 62, yang juga abang iparnya serta Pengerusi Proton Holdings Berhad (Proton), Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Meniti usia setengah abad berbaki empat tahun lagi, Mazlan bercadang mengisi masa itu dalam suasana santai dan tenang bersama keluarga. Lokasi pilihan untuk detik itu bukan di Kuala Lumpur atau Jakarta, sebaliknya Mazlan berhasrat membawa keluarga berpindah ke Pulau Pinang.

“Pulau Pinang beri inspirasi tersendiri pada saya. Saban bulan, saya dan isteri memandu ke Pulau Mutiara untuk bercuti. Lebih 10 tahun kami habiskan masa begini, malah bilik penginapan kami di sana tidak berubah hinggakan pihak hotel jadikan kami seperti ahli keluarga mereka,” katanya.

Di sebalik keharmonian rumah tangga bersama Suzy Suzanna, hakikatnya kata Mazlan, tidak mudah melayari bahtera yang dibina sejak 1986.

Pelbagai pahit getir dilalui, tambahan pula kedua-dua mereka berasal daripada negara berbeza, apatah lagi Suzy pernah kemalangan dan lumpuh hampir setahun.
Menurut Mazlan, kemalangan menimpa isterinya di Muara Rumpit, Palembang pada 1990 menyedarkannya mengenai hakikat pengorbanan seorang suami.

“Kereta dinaiki isteri bersama dua anak saya serta dua abang ipar (Fauzi dan Novel) masuk gaung jam 6 pagi. Novel yang duduk sebelah Fauzi selaku pemandu merangkak keluar menaiki tebing setinggi tujuh meter dan berjalan dua jam ke kampung berdekatan.

“Saya bersyukur anak selamat, tetapi isteri saya parah dan dibawa ke Jakarta. Hampir setahun isteri tidak boleh bangun kerana kecederaan teruk pada tulang belakangnya.

“Pelbagai ikhtiar saya lakukan bagi menyembuhkan isteri, hinggalah saya ditemukan dengan seorang pakar tulang yang mengamalkan berubat secara tradisional.

“Cuma dengan menyapu sejenis minyak di belakang isteri, semacam satu mukjizat, tiba-tiba isteri saya boleh berjalan semula,” katanya.

Sementara itu, Suzy sukar menyembunyikan gelodak rasa sewaktu kemalangan menimpa. Anak kepada bekas pegawai tertinggi tentera laut Indonesia, juga cucu saudara pada bekas isteri Presiden Sukarno, ibu Fatmawati ini hakikatnya reda jika Mazlan ingin bernikah lain ketika itu.

“Saya sudah putus harapan dan tidak boleh berbuat apa-apa. Urusan anak pun tidak terdaya. Malah saya izinkan jika suami mahu bernikah lain.

“Sebaik sembuh, saya bersyukur pada Allah kerana dikurniakan suami yang bertimbang rasa. Saya menganggapnya sebagai suami mithali,” katanya.

Bagi Suzy, untuk menyesuaikan diri dengan keluarga mentua di Malaysia tidak merumitkan kerana dia pernah menuntut di UiTM, Shah Alam.

“Saya menuntut di sana pada awal 1984. Keluarga ayah berdarah Arab dan kami ada pertalian dengan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Justeru, pusara datuk saya ada di Seremban.

“Saya rasa bahagia perkahwinan ini mengikat lagi silaturahim dua negara serumpun dan paling beruntung adalah anak saya. Jika pulang ke Jakarta, sepupu mereka di sana suka bawa berjalan-jalan,” katanya.


Pembaca berita kini kurang aura


1. Mengapa minat Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh?

Saya pernah jadi jurujual kelab percutian. Saya ke rumah Mohd Nadzmi nak cari ahli baru. Beliau tidak kenal saya pun tetapi boleh ajak saya masuk ke rumah dan makan bersama-sama. Terharu saya sikap ‘down to earth’ beliau.


2. Apa istimewanya abang ipar, Novel?

Asalnya abang ipar saya susah, pernah tidur berlantaikan tanah. Namun beliau cekal, berani berdikari dan kini berstatus jutawan di Jakarta selaku pembekal paip PVC.


PROFIL

NAMA: Datuk Mazlan Sabli
TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1965
ASAL: Sungai Besar, Selangor
KELUARGA: Sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Jalan Temerloh, Sekolah Menengah Jalan Temerloh dan Sekolah Menengah Teknik, Cheras, Kuala Lumpur
KERJAYA: Pengerusi Eksekutif Stellaris Sdn Bhd (2006 hingga kini)
PENGALAMAN: Perunding Elmadasa-JP Kenny Ag Swiss, Pengarah Urusan Pura Technic & Pengarah Urusan Pura PDS (1992-2001)
ISTERI: Datin Suzy Suzanna Machtub
TARIKH LAHIR: 5 Mei 1965
KELUARGA: Bongsu daripada enam beradik
ASAL: Jakarta, Indonesia
ANAK: Reyn Mahsyafatah (24), Harvey Randika (22) dan Hykal Makka Sadamar (15)



3. Tokoh politik yang dikagumi?
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah... beliau ada karisma.


4. Rancang tinggal di Pulau Pinang nanti, nak buat apa?
Bukan kafe sambil bersantai mengadap laut.


5. Komen mengenai pembaca berita RTM sekarang?
Kurang aura, tidak ramai di kalangan kita mengenai mereka.


6. Prinsip?
Tiada dalam kamus hidup ini milik kita, lalu kenalah kita bertimbang rasa.


7: Hala tuju hidup?
Syukur dengan apa yang ada, saya tidak mengharap sangat bintang di langit.

3 comments:

  1. Kalo dilihat dlm artikel ini....datuk itu tidak lgsg bercerita mengenai keluarga beliau malah lebih banyak bercerita mengenai keluarga mertua.
    Apakah datuk itu seorang anak yatim piatu?
    Atau anak yg malu dengan keluarganya sendiri atau lupe drp rahim mana yg telah mengeluarkan beliau.
    Setinggi mana pun pangkat kite didunia kalo ibu itu di anggap seperti sudah mati,tak ade gunanya hidup.

    ReplyDelete
  2. Kesian yang komen diatas,,, yg tentukan apa yang dipublish adalah editor..bukan ikut suka hati je..Kesian. Anyway, Datuk is great and known all over Malaysia. You are the best male newscaster in history.

    ReplyDelete
  3. 100% setuju...hoiii...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: