Sunday, February 12, 2012

Masjid Kobe kekal teguh

KENANGAN...rombongan Travelog Air Asia ke Osaka bergambar bersama Aziz dan Norma di Universal Studios Japan.
KENANGAN...rombongan Travelog Air Asia ke Osaka bergambar bersama Aziz dan Norma di Universal Studios Japan.

KETIKA dalam perjalanan ke Mt Rokko Ski Resort di puncak Gunung Rokko, Kobe, Jepun dengan menaiki kereta kabel pada hari kedua Travelog AirAsia ke Osaka, Jepun baru-baru ini, saya dan rombongan disambut dengan taburan salji.

Kami sungguh teruja melihat keadaan itu, terutama bagi yang tidak pernah melihat salji walaupun pernah sampai ke negara empat musim, termasuk saya. Meskipun tidak lebat dan sekadar ‘renyai-renyai’ saja, ia tetap membuatkan kami sungguh seronok.

  • Foto

    RIANG...permainan luncur ais yang dilakukan kanak-kanak seperti inilah yang penulis bersama beberapa rakan rombongan turut melakukannya.

  • Foto

    TERUJA...penulis mengirai salji yang bertaburan di kaki lima sepanjang jalan ke kawasan ski di Mt Rokko Ski Resort.

  • Foto

    BELI-BELAH...suasana Doutonburi pada waktu malam.

  • Foto

    MASJID KOBE...masjid pertama di Jepun dibina pada 1935 mempunyai sejarah menarik.

  • Foto

    AKTIVITI LASAK...kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang bermain ski di Mt Rokko Ski Resort.

  • Foto

    BESAR...HEP Five Ferris Wheel yang terletak di ruang atas pusat beli-belah HEP Five.

  • Foto

    PERANG...gambar dirakam pada Jun 1945 selepas bandar raya Kobe dibom yang turut digantung pada masjid berkenaan.

Ketika kunjungan itu, negara matahari terbit itu berada dalam pertengahan musim sejuk dengan suhu pada waktu siang 90 Celsius dan malamnya serendah
00 Celsius.Setiba di puncak Gunung Rokko yang berada 931 meter dari aras laut itu, kami dibawa ke kawasan bermain ski dan di sepanjang laluan ke sana, dapat dilihat tompokan putih di beberapa tempat dan bukan keseluruhan kawasan. Ini kerana taburan salji tidak sekata di semua kawasan, ada tempat menerimanya dan ada pula tidak.

Masing-masing teruja dan tidak sabar-sabar untuk cuba bermain ski, tetapi kami mendapat khabar mendukacitakan apabila hajat itu tidak kesampaian.

Sebabnya? Kami dimaklumkan pihak pengurusan resort, mereka yang kali pertama mahu bermain ski perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya empat jam!

Ini bermakna, terlepas peluang kami kerana mengikut atur cara, rombongan berada di situ hanya untuk dua jam.

Bagaimanapun, pengacara program Travelog AirAsia, Edd Razhe dan penyanyi, Aizat Amdan selaku selebriti jemputan diberi kesempatan mencubanya bagi tujuan penggambaran.

Bayaran dikenakan untuk ke Mt Rokko Ski Resort ialah 2,000 yen (RM42) untuk dewasa manakala 1,000 yen (RM21) untuk kanak-kanak.

Untuk menyewa peralatan bermain ski ialah 4500 yen (RM189) dan 3,500 yen (RM147) untuk kanak-kanak.

Kami mengambil kesempatan melihat persekitaran yang memutih dengan mengambil gambar dan hajat main atas salji akhirnya kami tunaikan jua.

Bagaimanapun, kami bukan bermain ski, sebaliknya luncur ais yang kebanyakan ‘pesertanya’ adalah kanak-kanak.

Walaupun menyertai kumpulan kanak-kanak yang kebanyakannya anak rakyat tempatan, sekurang-kurangnya kami tidak kempunan bermain ski apabila menggantikannya dengan luncur ais.

Timbalan Pengurus Besar Pusat Penggalakan Antarabangsa Kansai, Akihito Kondo menyatakan, kami bertuah kerana dapat melihat salji gugur kerana Osaka dan Kobe bukan zon menerima salji di Jepun, termasuk di puncak Gunung Rokko.

Jepun merangkumi empat pulau utama iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu. Osaka, Kobe dan Tokyo terletak di Honshu.

Kawasan yang menerima salji pada musim sejuk ialah di utara iaitu Hokkaido. Di bahagian lain bukan tidak pernah menerima salji, tetapi bukan kelaziman pada musim sejuk.

Akihito berkata, salji di Gunung Rokko sesuatu yang jarang berlaku tetapi ia boleh terjadi apabila cuaca buruk, sedangkan kami sangka ia perkara biasa di situ.

Sebenarnya, salji kawasan bermain ski di Mt Rokko Resort adalah salji buatan yang diproses daripada air. Namun, disebabkan salji berguguran hari itu, kami dapat melihat tompokan putih di sana sini serta sepanjang jalan di luar kawasan bermain ski dan luncur ais.

Selepas makan tengah hari, kami menuruni Gunung Rokko dan kali ini hanya dengan bas dan destinasi seterusnya ialah Masjid Kobe di Kitano-cho yang juga antara kawasan penting di bandar raya Kobe.

Masjid Kobe yang dibina pada 1935 dan masjid pertama di Jepun masih dalam keadaan asal dan antara sebilangan kecil bangunan yang terselamat dalam serangan bom Tentera Berikat ketika Perang Dunia Kedua. Masjid ini juga menjadi tempat perlindungan mangsa perang.

Gambar dirakam pada 1945 yang memaparkan bangunan sekitarnya ranap, digantung pada dinding masjid.

Masjid itu sekali lagi ‘diuji’ apabila gempa bumi dahsyat berukuran 7.3 pada skala Richter berlaku pada 17 Januari 1995 yang meragut lebih 6,000 nyawa, namun ia masih berdiri teguh dan hanya berlaku sedikit keretakan walaupun banyak bangunan di sekitarnya musnah sama sekali.

Masjid bercirikan seni bina Turki itu juga menjadi tempat berkumpul dan pendidikan masyarakat Islam sekitar yang kebanyakannya berasal daripada India dan Pakistan.

Seterusnya kami ke Ijinkan, kawasan dilabel eksotik yang ada banyak bangunan bersejarah dengan seni bina Eropah, muzium serta kedai menjual cenderamata. Di sini, pengunjung boleh menyaksikan pelbagai pertunjukan, antaranya persembahan badut serta kesenian.

Bagaimanapun, seperti kita sedia maklum, serba-serbi mahal di Jepun dan pengunjung perlu membawa banyak ‘modal’ jika mahu beli-belah.

Bayangkan satu pelekat magnet peti sejuk yang dikategorikan sebagai ‘biasa-biasa’ berharga paling kurang RM15!

Bangunan lama di situ dibina orang Eropah yang datang ke Jepun pada awal abad ke-20 iaitu ketika penghujung zaman pemerintahan Maharaja Meiji, malah perkataan Ijinkan merujuk kepada ‘orang asing’.

Kemudian rombongan dibawa melawat Kobe Harbourland, satu kawasan tepi laut yang sesuai untuk menikmati suasana petang dan keindahan malam.

Sambil menikmati udara nyaman di tepi laut, pengunjung berpeluang membeli-belah atau sekadar ‘window shopping’ kerana ada 80 gerai menjual pakaian, barang cenderamata dan restoran.

Antara tempat terkenal di situ ialah Mosaic Garden, yang di dalamnya ada banyak arked beli-belah dan berdekatan dengannya ada buaian berpusing untuk menikmati panorama keseluruhan bandar raya Kobe.

Untuk makan malam, rombongan dibawa semula ke Kitano-cho, kali ini kami singgah di sebuah restoran yang diusahakan warga Jepun berketurunan Pakistan, Naan In. Juadah disediakan ialah nasi beriani berlauk ayam dan kari kambing, selain roti nan berserta ayam tandoori yang sungguh menyelerakan.

Penulis mengambil kesempatan makan dengan ‘sepuas hati’ kerana di situlah satu-satu tempat kami berpeluang merasa makanan seperti di Malaysia.

Di restoran Jepun, kami tak jumpa makanan berkari, balik-balik makan makanan laut ala Jepun, termasuk ikan mentah. Kami juga tak boleh berangan hendak makan daging lembu atau ayam kerana memang sah tak halal.

Pada dinding restoran itu tertampal kata-kata dan tandatangan pelancong dari serata dunia yang datang menjamu selera di situ, termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Pada hari ketiga, rombongan dibawa ke Osaka Station City, iaitu terminal kereta api utama di kawasan utara Osaka.

Kawasan sekitar Osaka Station City seolah-olah sebuah bandar berasingan di Osaka kerana menempatkan pusat beli-belah dan restoran terbesar di Jepun yang merangkumi dua pasar raya, JR Osaka Mitsukoshi Isetan dan Lucua dengan keluasan keseluruhan 134,000 meter persegi!

Kami berpeluang menaiki buaian berpusing, HEP Five Ferris Wheel yang terletak di ruang atas di HEP Five, sebuah pusat beli-belah yang tidak jauh dari Osaka Station City.

Dari buaian berpusing itu dapat dilihat panorama seluruh bandar raya Osaka, iaitu daripada pelabuhannya hinggalah pemandangan indah pergunungan Ikoma.

Dalam perjalanan ke Osaka Castle, kami dibawa ke sebuah restoran Jepun untuk makan tengah hari dan berpeluang memasak makanan tradisi wilayah Kansai, takoyaki.

Takoyaki sejenis makanan popular di Osaka dimakan dengan nasi dan dibuat daripada gandum yang dimasak dalam acuan bulat dengan intinya potongan sotong kurita.

Penulis difahamkan, hampir setiap setiap rumah di Osaka mempunyai acuan untuk membuat takoyaki yang bentuknya seakan-akan acuan membuat kuih cara di Malaysia tapi ia bulat.

Osaka Castle adalah istana purba di Chuo-ku dimulakan pembinaannya pada 1583 atas perintah Toyotomi Hideyoshi, shogun atau panglima tentera Jepun purba.

Ia dibina di kawasan seluas 60,000 meter persegi menggunakan kira-kira 30,000 buruh. Istana itu mempunyai lima tingkat utama dan tiga tingkat di bawah tanah.

Selepas 1585, Toyotomi memerintahkan istana itu diperbesar dan diperkukuh untuk menghadapi serangan musuh. Pembinaan itu siap sepenuhnya pada 1597 dan pada tahun itu juga Toyotomi meninggal dunia dan Osaka Castle diserahkan kepada anaknya, Toyotomi Hideyori.

Ada pelbagai tinggalan sejarah daripada zaman Toyotomi Hideyoshi, termasuk dokumen pada zaman itu dipamerkan dalam Osaka Castle.

Kunjungan ke Osaka dianggap tidak lengkap seandainya tidak melawat istana purba itu. Sekalipun tidak masuk ke dalamnya, memadailah jika bergambar di depannya sebagai tanda seseorang itu mengunjungi Osaka.

Selepas dua jam meneroka Osaka Castle, rombongan pergi ke Osaka Aquarium Kaiyukan di Minato, berhampiran Teluk Osaka yang juga antara akuarium terbesar di dunia.

Di akuarium ini boleh dilihat lebih 30,000 hidupan air meliputi 580 spesies dalam zon Lingkaran Pasifik.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami singgah di Doutonburi, kawasan beli-belah yang sibuk sehingga lewat malam. Ada yang mengambil kesempatan membeli-belah di Hard Rock Cafe Osaka, satu kilometer dari situ.

Sebenarnya kami sampai ke Doutonburi sejak hari pertama di Osaka lagi untuk makan malam di sebuah restoran di situ kerana ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, hari sudah lewat petang.

Pada hari terakhir, rombongan dibawa ke Universal Studios Japan yang dibuka pada 31 Mac 2001 iaitu yang pertama di Asia.

Kami tidak melepaskan kesempatan mengikuti permainan yang ditawarkan di situ, antaranya Back To The Future The Ride, The Amazing Adventures of Spider-Man, Waterworld dan Jaws.

Turut serta dalam program travelog itu ialah Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar dan isteri, Datin Norma Norell.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: