Saturday, February 18, 2012

Kisah remaja cacat, D.J. Dave


ANAK-anak yatim dan golongan kurang upaya begitu dekat di hatinya setiap kali dia mengadakan persembahan walau di mana juga sekalipun.


Sewaktu Dave menyanyi pada majlis itu, dia diperhatikan oleh remaja terbabit yang tertarik dengan kelunakan suaranya. Ketika itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu pop dan Hindi ini bekerja sebagai posmen. Seusai menyanyi, kata Dave, dia didekati oleh remaja terbabit.

"Remaja itu bertanya mengapa saya tidak cuba menyanyi dalam bahasa Melayu? Malam itu saya tidak boleh tidur memikirkan cadangan dia. Bagaimana saya mahu menjadi penyanyi, sedangkan saya sudah bekerja sebagai posmen selama lima tahun.

"Saya kemudiannya menyertai sesi uji bakat anjuran syarikat rakaman Life Records sambil diiringi oleh kumpulan The Strollers. Mereka kata saya gagal kerana sebutan bahasa Melayu saya teruk. Selepas enam bulan belajar bahasa Melayu, saya menyertai sekali lagi uji bakat itu dan berjaya.

"Sejak saat itu, saya tidak lupa kepada remaja tersebut. Malah ia secara tidak langsung menyebabkan saya menjemput kanak-kanak golongan kurang bernasib baik pada sambutan hari lahir saya setiap tahun, sejak 40 tahun lalu," katanya sewaktu ditemui S3 baru-baru ini.

Pada pertemuan di Royale Lake Club, Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu, Dave sekali lagi meraikan sambutan hari lahirnya yang ke-64 bersama kira-kira 200 penghuni rumah kebajikan yang kebanyakan terdiri daripada kanak-kanak pelbagai bangsa dan agama.

Majlis yang ditaja oleh Kelab Rotary Bangsar itu menjemput para penghuni dari rumah kebajikan seperti Rumah Aman, Rumah Anak Kesayanganku, Wisma Harapan, Tara Bhavav Children Home dan Tasputra Perkim sebagai tanda ingatannya terhadap golongan terbabit.

Selain menjamu makan para tetamunya dan menyanyikan beberapa lagu pada majlis itu, bapa kepada Arwin Karchan Dave, 37, Syaz Darwin Dave, 29, dan Davina Farhana Dave, 24, itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,000 kepada setiap rumah kebajikan tersebut.

Ekoran cadangan daripada remaja cacat itu, Dave kemudiannya mula serius dalam bidang nyanyian setahun selepas itu. Pada tahun 1972, penyanyi tersebut melahirkan album EP pertamanya yang berjudul Ku Tak Ingin Menangis Lagi yang mendapat sambutan hangat para pendengar.

"Album EP itu mengandungi lagu Ku Tak Ingin Menangis Lagi, Maafkanlah, Menangis Dalam Gelita dan Harum Bunga Kembang. Kebanyakan lagu dalam album itu menjadi popular. Lagu Ku Tak Ingin Menangis Lagi misalnya menjuarai carta lagu popular 13 minggu berturut-turut.

"Saya juga anggap kejayaan dalam bidang nyanyian kerana dorongan kanak-kanak cacat itu dan berkat golongan kurang bernasib baik yang saya raikan selama ini. Saya berasa gembira dan puas kerana dapat meraikan mereka pada majlis seperti ini," ujarnya.

Beraksi di Istana Budaya

Dave yang kali terakhir muncul dengan album berjudul Cukup Sudah pada 1992 terbitan Dave Enterprise dan diedarkan oleh SRC bagaimanapun tidak membenarkan anak-anaknya mengikuti jejak langkahnya sebagai penyanyi sepenuh masa.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah berduet dengan Uji Rashid menerusi lagu popular berjudul Rintihan Rasa hanya membenarkan anak-anaknya bermain muzik sebagai hobi dan memberi tumpuan penuh dalam pelajaran.

"Sebenarnya ketiga-tiga anak saya boleh bermain gitar tetapi saya cakap biarlah ia sekadar hobi selepas penat belajar. Saya mahu mereka berjaya dalam bidang akademik. Ternyata mereka mengikut kata-kata saya dan semuanya berjaya dalam pelajaran.

"Contohnya, anak kedua saya kini seorang juruterbang. Saya tidak benarkan anak-anak saya menjadi penyanyi atau pemuzik kerana saya takut mereka tidak mampu menghadapi cabaran dalam bidang ini. Saya bukannya menghina kerjaya ini tetapi saya sudah melalui kepayahannya," katanya.

Selepas lama tidak muncul dalam konsert berskala besar, Dave akan muncul pada persembahan sulungnya yang diberi nama Sketsa Memory - D.J. Dave di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 1, 2 dan 3 Jun ini dengan durasi hampir dua jam.

Selain menjemput penyanyi undangan seperti Dayang Nurfaizah dan Marsha Londoh, penyanyi yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 14 Februari lalu itu juga bakal muncul dengan sebuah album single bertajuk Nyawaku terbitan Datuk M. Nasir.

"Ini adalah album saya yang ke-40 sejak menyanyi 40 tahun lalu. Ia juga adalah kerjasama saya yang pertama dengan M. Nasir. Lagu Nyawaku berentak Latin dan saya sendiri yang meminta lagu itu daripada tujuh lagu yang diberikannya kepada saya.

"Sementara itu, pada persembahan di Istana Budaya nanti, saya akan membahagikannya kepada empat segmen iaitu dari era tahun 1970-an sehingga kini. Artis lain yang akan saya jemput antaranya Datuk Dr. Ahmad Nawab dan Uji Rashid," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: