|
|
JIKA dilihat dari segi fizikal, Zaim Abu Hirzan Zaidan seperti kanak-kanak normal lain. Tiada siapa tahu dia mempunyai masalah intelektual (terencat akal ringan).
Kesempatan menemu bual Zaim di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini mengubah persepsi tentang golongan istimewa ini.
Dia mampu berbicara dengan tertib seperti kanak-kanak normal lain. Percakapan dan tingkah lakunya juga sopan dan berbudi bahasa. Terdetik di hati, ini mungkin keajaiban Tuhan.
Zaim ialah kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual di bawah program Sukan Istimewa Olimpik (Special Olympics Malaysia- SOM).
Lebih manis lagi, Zaim memperoleh satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara boling individu lelaki dan berpasukan pada Sukan Istimewa Olimpik Dunia 2011 sempena musim panas di Athens, Greece yang berlangsung pada 24 Jun lalu.
Kejohanan turut disertai peserta dari 188 negara termasuk mewakili benua Eropah, Afrika, Amerika Syarikat dan Asia.
Sukan yang diperkenalkan pada 1962 ini diasaskan oleh Eunice Kennedy Shiver.
Ia menjadi acara tahunan sejak 20 Julai 1968 sehingga melahirkan kejohanan peringkat antarabangsa untuk pertama kalinya di Soldie Field, Chicago, Illinois.
Berani
Berkongsi kemenangan di Athens, Zaim sangat gembira kerana diberi peluang untuk ke sana.
“Cuaca di sana berbeza dengan di Malaysia tetapi saya cuba buat yang terbaik. Saya beranikan diri untuk berlawan dengan negara lain. Saingan sengit yang saya lalui tidak mematahkan semangat untuk berjaya,” ujarnya yang tinggal bersama nenek di Kuala Lumpur.
Menurut Zaim, dia telah diberi peluang mencuba beberapa permainan seperti bochee.
Namun, dia tidak dapat menunjukkan pencapaian baik dalam permainan tersebut.
Sebaliknya, bakat Zaim lebih menyerlah dalam sukan boling.
“Saya memang suka bersukan. Nenek saya pun banyak memberi tip bermain boling,” katanya tersenyum.
Selain bermain boling, Zaim juga gemar melukis animasi pada waktu lapang.
Tambahnya lagi, dia suka melukis untuk meluahkan apa yang difikirkan.
Bakat
Sementara itu, ketua pasukan SOM, Mohd. Shukry Hussain berpuas hati dan bangga dengan kejayaan Zaim membawa pulang pingat untuk negara.
Beliau memberitahu, temasya Sukan Istimewa Olimpik diadakan khusus untuk OKU yang bermasalah dari segi intelektual.
“Zaim antara pelajar yang cemerlang dan berjaya menunjukkan kebolehannya bersukan. Kejohanan ini amat istimewa kerana setiap atlet hanya dibenarkan menyertai kejohanan ini sekali seumur hidup bagi memberi peluang kepada orang lain,” ujarnya.
Naib Presiden SOM, Datuk Peter Velappan turut berbangga dengan pencapaian Zaim di Athens.
Peter menjelaskan, pemilihan atlet untuk temasya ini mengambil masa yang agak lama.
Menurutnya, kanak-kanak ini akan diberi peluang mencuba pelbagai jenis sukan sebelum bakat sebenar mereka dikenal pasti.
“Kisah kanak-kanak berbakat seperti Zaim perlu dijadikan contoh dalam masyarakat. Jika kita ditakdirkan mempunyai anak OKU intelektual, tidak perlu mengurung mereka di dalam rumah. Sebaliknya, beri mereka pendidikan khas dan galakan.
Justeru, saya sarankan kanak-kanak seperti ini diberi pendedahan kepada pelbagai jenis sukan,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak ramai yang tahu bahawa sukan boleh membantu perkembangan kemahiran motor neurologi kanak-kanak.
Justeru, melalui SOM, lebih ramai kanak-kanak OKU intelektual berbakat dalam sukan diketengahkan.
Dalam usaha menggalakkan lebih banyak peluang OKU intelektual maju dalam sukan, Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Tesco Malaysia telah memulakan kempen mengutip dana untuk SOM.
Enam sen akan didermakan dengan setiap pembelian produk P&G yang mengambil bahagian di cawangan Tesco dari 9 Februari hingga 28 Mac depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: