|
|
MINATNYA dalam aktiviti penternakan ikan laut dalam sangkar timbul ketika bertugas di organisasi perusahaan berkaitan dengan bidang itu empat tahun lalu.
Ketika itu, Lin Bitt Soon, 30, bekerja memantau bahagian pasaran di syarikat Cergas Intrajaya Sdn. Bhd. yang berpangkalan di daerah Sandakan, Sabah.
Melihat komitmen dan kesungguhannya, dia kemudian diberi kepercayaan menguruskan bahagian penternakan kolam di syarikat yang sama.
Ini kerana pada tahun 2008, bahagian berkenaan berhadapan dengan masalah pengurusan dan memerlukan sokongan serta penambahbaikan daripada segi operasi pengendalian.
Berbekalkan pengalaman yang diperolehi, Bitt Soon menanam azam ingin menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut secara lebih mendalam. Untuk itu, dia mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Institut Skill-Tech di Keningau, Sabah dalam kursus Sijil Akuakultur bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua selama setahun.
"Menerusi usaha ini, saya menyimpan cita-cita menjadi seorang usahawan dan penternak ikan marin dalam sangkar yang berjaya ke peringkat antarabangsa.
"Saya melihat industri ini mempunyai masa depan dan potensi cukup besar selain menerima permintaan yang tinggi kerana menyumbang lebih 70 peratus keperluan protein dalam kehidupan manusia.
"Ia berbeza daripada bidang pengeluaran makanan berasaskan daging seperti penternakan lembu, kambing dan ayam yang sering terdedah kepada pelbagai risiko terutama penyakit,'' katanya ketika ditemui di sangkar ternakannya di Pulau Nunuyan, Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Selepas menamatkan pengajian, dia kembali bertugas di syarikat yang sama sebagai Pengurus Operasi Ternakan.
Menurutnya, perniagaan ternakan ikan laut dalam sangkar yang dijalankan syarikat berkenaan telah bermula sejak tahun 2006.
Bermula dengan 36 petak kolam pada peringkat awal, syarikat tersebut hari ini mempunyai 96 buah petak bersaiz 25 meter persegi setiap satu.
Antara spesies ikan yang diternak adalah seperti ikan merah bakau, merah laut, siakap, kerapu, tabung, ikan ayam dan ikan kaci selain udang karang (lobster).
"Operasi ternakan untuk kesemua spesies ikan ini dijalankan secara bermusim mengikut permintaan dan keadaan cuaca.
"Namun, spesies yang sering menjadi tumpuan adalah siakap dan merah bakau dengan pengeluaran hasil sekitar 20 tan setahun dan keuntungan mencecah RM500,000.
"Secara umumnya, kos operasi kolam ini dianggarkan berjumlah RM30,000 dalam masa sebulan termasuk pengeluaran makanan.
"Ini kerana saya amat menitikberatkan soal pemakanan bagi memastikan ikan yang diternak mempunyai isi berkualiti tinggi, tidak lembik dan rasanya sedap,'' jelas anak sulung daripada lima beradik itu.
Untuk sampai ke kawasan petak kolam ternakannya, ia mengambil masa 15 minit perjalanan menaiki bot dari jeti nelayan di Sandakan.
Daripada segi tenaga kerja, Bitt Soon dibantu oleh lapan kakitangan untuk melakukan kerja-kerja pembenihan, penjagaan dan penangkapan ikan-ikan matang.
Kesemua hasil tangkapan akan dipasarkan dan dijual kepada pemborong serta pengusaha restoran di daerah-daerah berhampiran seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan juga di Semenanjung Malaysia.
Sekali dalam masa setahun pula, para pemborong dari China, Hong Kong dan Singapura akan mengambil bekalan ikan marin dalam kuantiti sekitar 10 hingga 20 tan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: