Monday, February 6, 2012

Eksploitasi idea baru untuk inovasi


PRODUK Kesukaran Melakukan Ambulasi ke atas Pesakit Terlantar ciptaan para penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli kategori perkhidmatan.


RASA simpati dan kesian melihat beban yang ditanggung oleh orang lain antara pendorong bagaimana individu terfikir untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Sebab itu, banyak inovasi yang dihasilkan pada hari ini berinspirasikan daripada bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang berlaku.

Selepas masa berganti masa, inovasi berkenaan akhirnya menjanjikan pulangan ekonomi kepada perekanya tanpa dia sendiri berfikir sedemikian pada mulanya.

Hari ini, tanpa disedari inovasi membawa perkembangan positif dalam ekonomi Malaysia yang banyak disokong oleh pembangunan agresif bidang inovasi tempatan.

Selain menganjak rantaian ekonomi negara ke peringkat lebih baik, penjanaan idea-idea kreatif dan berkualiti itu turut menawarkan perubahan terhadap kehidupan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang.

Kesan positif berkenaan telah mendorong pengiktirafan terhadap keupayaan bidang inovasi sebagai sebahagian daripada budaya hidup.

Secara umumnya, definisi inovasi adalah merujuk kepada kejayaan mengeksploitasi idea-idea baru untuk dikembangkan sehingga ke peringkat tertinggi.

Ia bermula dengan penjanaan kreativiti, kemudian dibangunkan mengikut keperluan secara spesifik dan akhirnya diperluas sehingga ke dikomersialkan.

Dalam usaha mencetus dan merancakkan aktiviti pembangunan inovasi ini, kerajaan komited menyediakan pelbagai program penggalakan berkaitannya.

Antara yang diperkenalkan adalah pengumuman 2012 sebagai sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional.

Langkah tersebut bakal menyaksikan penggemblengan tenaga antara rakyat, jentera kerajaan dan agen ekonomi dalam menyalurkan pelbagai sumber ke arah memperkasa bidang berkenaan.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan bidang inovasi sebagai platform mencipta kekayaan bagi mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menerusi inisiatif itu juga, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memperkenalkan program Anugerah Inovasi Negara (AIN) sebagai pemangkin perkembangan industri inovasi Malaysia.

AIN yang bermula sejak 2006 menyasarkan objektif mengiktiraf inovasi serta idea kreatif yang dijana oleh rakyat Malaysia di samping memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang itu.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, AIN merupakan platform terbaik untuk golongan masyarakat termasuk akar umbi mengetengahkan idea-idea baru dalam usaha menyumbang memperluas ekonomi negara.

''Program ini bakal merangsang idea-idea bernas serta nilai tambah kepada penciptaan produk dan perkhidmatan.

''Kita yakin semua rakyat Malaysia termasuk para pelajar sekolah dan universiti mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mencipta produk-produk inovasi terbaik.

''Justeru, MOSTI akan sentiasa berperanan menyediakan prasarana dan persekitaran yang kondusif bagi melonjak dan menggalakkan aktiviti inovasi di kalangan rakyat,'' katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan AIN 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk tahun AIN 2011, sebanyak empat kategori utama dipertandingkan iaitu produk, perkhidmatan, akar umbi dan sekolah.

Secara keseluruhannya, pertandingan tersebut telah menerima sebanyak 316 penyertaan di mana 40 daripadanya telah terpilih untuk bersaing di peringkat akhir.

Kesemua produk dinilai berdasarkan kemampuan untuk dikomersialkan selain menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Antaranya seperti ketulenan idea, mempunyai pasaran yang baik, mampu menjana peluang pekerjaan baru, boleh ditambah baik menerusi sokongan kajian dan penyelidikan (R&D), mesra pengguna serta memberi impak positif kepada pengguna.

Selain itu, kesemua produk dan perkhidmatan juga mesti mempunyai kelebihan mampu meningkatkan produktiviti, mudah diadaptasi dan kos penyelenggaraan yang minimum.

Panel-panel hakim untuk peringkat akhir AIN 2011 pula terdiri daripada wakil pihak industri, institusi kerajaan dan swasta, universiti dan juga syarikat modal teroka.

Pemenang bagi kategori produk dan perkhidmatan telah membawa pulang wang tunai RM50,000, piala dan sijil manakala kategori akar umbi RM20,000, piala dan sijil serta kategori sekolah menerima RM10,000 beserta piala dan sijil.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan, MOSTI sentiasa berusaha memberi galakan aktiviti inovasi di kalangan rakyat menerusi penyediaan pembiayaan dana dikenali sebagai Sciencefund dan Innofund.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: