Inilah yang berlaku dalam ekspedisi anjuran Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) pada 3 hingga 5 Februari 2012 lalu. Kami 'mendaki' Gunung Telapak Buruk yang merupakan gunung tertinggi di Negeri Sembilan pada ketinggian 1,193 meter atau 3,914 kaki dengan menaiki pacuan empat roda (4x4) Hilux sehingga ke puncak. Kemudian, dari puncak gunung itu, barulah kami mula berjalan turun ke puncak Gunung Berembun (690 meter/2,263 kaki).
Di pertengahan jalan, kami singgah ke lokasi pesawat tentera British, RAF B-24 Liberator (KL654R) yang terhempas pada 23 Ogos 1945 ketika Perang Dunia Kedua.
Ekspedisi kali ini disertai sebanyak 25 orang termasuk penulis. Pengarah program ini, Mohd Hadri Aswad Salim, 27, berkata, sebanyak 19 peserta dan enam ahli jawatankuasa dari Kelab OGKL terlibat menjayakan program tersebut.
Beliau bersyukur kerana tiada masalah timbul sepanjang ekspedisi, sebaliknya kesemua peserta ceria sepanjang ekspedisi.
"Boleh dikatakan kesemua peserta cemerlang. Tak sangka boleh sampai awal di lokasi Liberator dan puncak Berembun walaupun kami mula treking agak lewat.
"Mungkin keadaan muka bumi dan trek yang dilalui tidak banyak mendaki, sebaliknya lebih banyak menurun, maka kami tiba awal daripada dijangka," katanya.
Berikut catatan pendakian yang turut disertai pasangan suami isteri, Alvin Chang dan Esther Leong.
Hari pertama: Seawal pukul 9.30 malam, kami mula berkumpul di sebuah restoran dekat Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Perjalanan meredah malam bermula dengan konvoi tujuh buah kereta dan destinasi yang dituju adalah Pantai, Negeri Sembilan.
Hari kedua: Kami tiba di Restoran d'Pantai berhampiran Jabatan Veterinar Negeri Sembilan sekitar pukul 2 pagi. Oleh kerana malam masih panjang, maka kami tidur di situ. Selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan ke lokasi 4x4 menunggu, dekat papan tanda bertulis Sempadan Daerah Seremban/Jelebu.
Kelab OGKL menyewa sebuah Hilux untuk membawa kami ke puncak dengan menempuh laluan berturap tar sejauh 11.5 kilometer. Justeru, perjalanan perlu dilakukan sebanyak dua kali. Berdekatan puncak, terpacak menara telekomunikasi yang dikawal oleh tentera. Kabus dingin membuatkan kami 'tidak senang' berdiri mahupun duduk. Sementara menunggu rakan-rakan lain tiba, saya bersama pendaki wanita berjalan ke sebuah bangunan yang dikawal tentera. Hajat kami untuk bergambar berlatar belakang bangunan itu dihalang oleh dua tentera berpakaian celoreng yang lengkap bersenjata.
"Tak boleh ambil gambar dari arah ini. Kalau nak bergambar... ambil arah sana," kata seorang tentera sambil menuding jari ke satu arah yang menempatkan papan tanda bertulis Selamat Datang Sasaran Penting 1 Briged.
Dalam pada kami sibuk bergambar, seorang lagi menyoal kami dengan berkata: "Tak kan semua perempuan... tak ada peserta lelaki?," Ini kerana beliau melihat hanya kami sembilan wanita berlegar-legar di situ ketika itu.
Saya menjawab: "Tak lah...ada lelaki, tapi mereka dalam perjalanan naik,".
Beliau lalu menghampiri kami dan berkata, malam tadi rakannya terserempak dengan harimau kumbang ketika sedang meronda di laluan hutan yang bakal kami tempuhi nanti. Justeru, beliau menasihatkan kami supaya berhati-hati kerana lokasi itu adalah 'kawasannya'.
Sebaik sahaja kesemua peserta tiba, kami bergambar di 'Sasaran Penting' sebelum melakukan senaman meregangkan otot yang dikendalikan oleh Razman Arsad, 26. Kami meninggalkan puncak Telapak Buruk tepat pukul 10.30 pagi. Perjalanan awal memerlukan kami menempuh laluan turun yang 'dipenuhi' pacat sehingga ke lokasi Liberator.
Haiwan kecil bertubuh lembik dan berwarna hitam yang sangat banyak di sepanjang laluan membuatkan kami tidak mahu berhenti rehat lama. Untuk mengelakkan serangan pacat, saya menyarung stokin khas, selain menyapu air tembakau di keliling stokin dan kasut. Jadi, tidaklah banyak sangat pacat menyerbu masuk ke dalam kasut. Membilang bekas gigitan pacat, sebanyak 13 ekor berjaya menembusi halangan stokin khas itu.
Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat kekayaan khazanah hutan yang antaranya menyajikan pokok rotan berbuah lebat. Buah berkulit merah jambu itu seakan-akan laici. Kami petik untuk dibawa ke puncak Berembun. Keindahan bunga-bunga hutan juga tidak kurang hebatnya. Ada banyak pokok bunga jejarum berwarna merah tumbuh meliar menghiasi hutan.
Kami tiba di simpang menuju ke lokasi Liberator pada pukul 1 petang. Ini bermakna perjalanan dari puncak Telapak Buruk ke lokasi itu hanya mengambil masa dua jam setengah. Mungkin sebab itulah, Hadri berkata, kumpulan ekspedisi ini boleh dikatakan cemerlang kerana dapat tiba awal.
Di simpang itu, sudah kelihatan sayap pesawat yang terbenam di dalam tanah. Kami menikmati nasi bungkus sebelum menuruni lereng bukit menuju ke lokasi pesawat terhempas. Serpihan pesawat berselerak di sana dan sini dengan 'bangkai' terbesar terletak di dalam alur sebatang anak sungai yang jernih. Selesai sesi bergambar, kami mengambil wuduk dan mengisi air ke dalam botol-botol kosong untuk dipikul ke puncak Gunung Berembun.
Selepas solat jamak takdim Zohor dan Asar, kami meneruskan perjalanan terakhir ke puncak pada pukul 3.15 petang. Perjalanan kali ini adalah mendaki dan terus mendaki, tetapi tidaklah sukar. Di pertengahan jalan, seorang peserta wanita mengalami kekejangan otot. Untuk mengurangkan berat beg galas beliau, separuh daripada bebanannya dipindahkan ke dalam beg peserta lain.
Saya bersama beberapa rakan tiba di puncak sekitar pukul 4.50 petang. Kumpulan terakhir yang bertindak sebagai 'sweeper' tiba 10 minit kemudian.
Sambil menyediakan makan malam, kami berbual pelbagai perkara. Kawasan puncak Berembun boleh memuatkan kira-kira 40 orang. Ini dapat dilihat apabila kami turut berkongsi dengan sekumpulan pendaki lain seramai 14 orang. Nasib baik kami sempat memasak untuk makan malam sebelum hujan turun dengan tiba-tiba.
Namun hujan tidak berpanjangan dan selepas makan malam, kami mengadakan sesi taaruf yang dikendalikan oleh Erwan Lasahebe, 34, yang juga penunjuk arah bagi ekspedisi ini. Lebih dikenali sebagai Wak, beliau berjaya menghidupkan suasana malam dengan gelak ketawa peserta. Aksi bersahaja dan idea spontan beliau membuatkan kami tidak kering gusi sepanjang sesi tersebut berlangsung.
Hari ketiga: Keesokan pagi, selesai sesi bergambar berkumpulan, kami mula menuruni puncak. Seperti yang telah dimaklumkan lebih awal oleh Hadri, trek yang ditempuh memang curam. Bukan itu sahaja, trek juga licin disebabkan 'lunyai' dilanyak oleh pendaki kumpulan lain yang naik mengikut laluan Loji Pantai, sehari sebelumnya.
Oleh kerana trek terlalu licin dan tidak ada dahan atau akar pokok yang boleh dipegang untuk mengimbangi badan agar tidak terjatuh, maka ada di antara kami termasuk saya terpaksa menggelongsor di beberapa tempat yang terlalu licin. Dalam pada berhati-hati mengatur langkah, seorang peserta wanita terjatuh sehingga pinggang kanan terhantuk pada tunggul kayu.
Berkerut wajahnya menahan sakit. Namun begitu, tiada kecederaan serius berlaku dan beliau mampu meneruskan perjalanan tanpa masalah.
Trek yang menjunam turun berakhir di kawasan yang dipanggil Gua Kambing. Di situ, terdapat hamparan batu besar yang terbuka sekali gus kelihatan seperti gua. Di situ juga, ada anak sungai yang mengalir jernih. Kami berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke jeram untuk mandi-manda dan makan tengah hari.
Selesai sesi 'terjun tiruk' di jeram, kami meneruskan perjalanan terakhir menuju ke Loji Pantai. Kumpulan awal tiba sekitar pukul 3.20 petang. Dari loji, kami menaiki dua buah kenderaan menuju ke Balai Polis Pantai. Ini kerana kami meletak kenderaan di situ, sebelum kami bergerak ke Masjid Pantai untuk mandi dan solat.
Begitu pemurah penduduk Kampung Baru Pantai yang memberi kami kuih-muih untuk dijamah. Menurut mereka, ada banyak lebihan kuih sempena sambutan Maulidur Rasul di kampung mereka. Oleh kerana hari masih awal, kami singgah di Ampangan untuk makan dan minum. Tamatlah sudah ekspedisi yang penuh ceria dan tidak terlalu sukar bagi kebanyakan pendaki.
Bak kata Alvin dan Esther, pendakian ini tidak sukar dan mudah bagi mereka berbanding dengan mendaki beberapa gunung lain termasuk Gunung Mulu di Sarawak.
Ekspedisi ini turut mendapat sentuhan rakaman klip video oleh Faizal Samat. Untuk menontonnya, sila klik pautan http://youtu.be/SmWOyWb3D4s. Tajuknya adalah "OGKL Misi Liberator B24 via Gunung Telapak Buruk (1193M)-Gunung Berembun (690M) 4-5.2.2012 HQ MOVIE".
Bagi program bulan Mac pula, Kelab OGKL akan menganjurkan ekspedisi mendaki Gunung Tebu di Terengganu pada 2 hingga 4 Mac 2012. Untuk maklumat lanjut, layari www.ogkl.com.my atau e-mel crew@ogkl.com.my atau laman sosial ogkl http://groups.to/ogkl/
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: