Tuesday, February 21, 2012

Dunia papan selaju Hoffart


HOFFART mula berjinak-jinak dalam dunia papan selaju sejak berusia enam tahun.


KEPUTUSAN yang dibuat Jordan Hoffart meninggalkan kediamannya di Vancouver, Kanada untuk berhijrah ke utara California, Amerika Syarikat (AS) langsung tidak dikesalinya.

Tujuan asal lelaki 27 tahun itu bermukim di AS semata-mata mahu mengejar cita-citanya bergelar pemain papan selaju profesional. Hari ini, beliau telah melunaskan impiannya yang dipendam sejak kecil itu.

Sebelum mempunyai kerjaya idealnya kini, Hoffart bekerja dalam lapangan pembinaan dan menjadi pelakon lagak ngeri untuk beberapa filem bagi menampung segala pinjaman dan kos hidup yang tidak menentu.

Kini, kelibat beliau boleh dilihat pada mana-mana sirkit papan selaju profesional, video-video aksi menarik dan acara-acara bertemu peminat. Kesemua itu membuktikan bahawa Hoffart telah berpijak di mana dia mahu berdiri sekarang.

Pemain terkenal

“Makan, tidur dan bermain papan selaju, itu sahaja kisah hidup saya. Ketika bermain, saya dapat mengecap perasaan bebas yang seterusnya membantu saya melakukan apa sahaja yang suka.

“Saat pertama kali berdiri di atas papan luncur, saya terus jatuh cinta. Ia satu-satunya perkara yang menarik perhatian saya untuk tempoh masa yang panjang.

“Selepas berhijrah ke San Diego, California, hidup saya berubah dan di sini saya memenuhi impian saya sebagai pemain papan selaju terkenal.

“Cuaca di California sentiasa disinari matahari membuatkan ia lebih relevan untuk bermain papan selaju setiap hari berbanding di Vancouver yang sering hujan hampir setiap hari,” jelasnya yang menetap di AS sejak awal tahun 2009.


LELAKI berusia 27 tahun ini kini menetap di California selepas berhijrah dari negara asalnya, Kanada.


Hoffart amat terkenal dengan teknik Big Spin Heel Flip iaitu aksi meluncur di atas susur tangan dengan gaya tersendiri. Aksi tersebut banyak membawa tuah kepadanya dalam pertandingan tetapi dia lebih suka meneroka sisi artistik.

Tambah lelaki yang pernah memegang watak sampingan sebagai puntianak yang bermain papan selaju dalam filem Blade: Trinity itu, beliau tidak menitikberatkan kepada teknik asas dan syarat-syarat pertandingan.

“Untuk memenangi sesuatu pertandingan, seorang pemain perlu memilih sama ada mereka mahu melanggar syarat dengan mempamerkan aksi-aksi menarik dan kreatif atau kekal kepada 10 hingga 12 teknik asas yang boleh dilakukan oleh kebanyakan pemain di taman-taman awam.

“Ketika beraksi, saya mahu ia kelihatan menarik dan sentiasa ada cabaran, barulah persembahan tidak bosan.

“Untuk menarik perhatian ramai, saya rasa dengan melakukan aksi serupa sebanyak 100 kali sehari adalah tidak logik. Saya lebih rela melakukan kerja biasa,” dedah Hoffart jujur.

Bagaimanakah beliau mendapat idea untuk melakukan aksi-aksi baharu? “Kebanyakan masa dihabiskan dengan mendapatkan inspirasi ketika bermain di lokasi-lokasi baharu.

“Kadang-kadang, saya sedang mencuba aksi yang berada dalam fikiran tetapi ia tidak menjadi dan terbentuk aksi lain. Kemudian, aksi yang terjadi secara tidak sengaja itu bertukar menjadi sesuatu yang hebat dan menukar keseluruhan konsep asal aksi yang saya rancangkan.

“Ketika beraksi bersama kenalan baharu dan melihat mereka beraksi, saya dapat menyaksikan perbezaan teknik mereka dan hal itu juga membantu saya mendapatkan inspirasi,” jelas Hoffart bersungguh-sungguh.

Dilahirkan di Maple Ridge, British Columbia, Kanada, beliau diperkenalkan kepada dunia papan selaju pada usia enam tahun oleh bapa saudaranya yang merupakan pemain papan selaju gaya bebas.

Pengalaman yang dikutip sejak kecil telah menyedarkan Hoffart betapa pentingnya pendedahan dan pendidikan yang perlu disampaikan kepada pencinta papan selaju cilik.


HOFFART juga membuka sebuah kedai papan selaju di Escondido, California.


Inspirasi si kecil

Saat mengadakan demonstrasi dan memberikan barangan percuma kepada kanak-kanak, Hoffart mengambil peluang itu bagi bertemu secara empat mata dengan peminat-peminat kecilnya dan berusaha menjawab segala persoalan yang diajukan.

“Kebanyakan mereka menjadikan saya sebagai inspirasi dan berharap akan berada di posisi saya satu hari nanti. Hal itu menyedarkan saya bahawa saya mempunyai impak kepada mereka,” katanya.

Hoffart yang sering bertanding dalam Dew Tour dan Maloof Money Cup, AS telah meletakkan penanda aras pada dirinya agar masih boleh bermain papan selaju walaupun memasuki zon 40 tahun kelak.

“Diharapkan tubuh badan saya berada dalam keadaan baik nanti. Ia akan lebih baik jika saya mampu untuk terus menjelajah dan menyebarkan kebaikan tentang sukan ini,” begitu harapan yang ditanamkan Hoffart.

Beliau membesar dengan menjadikan pemain papan selaju profesional AS, Tony Hawk sebagai idolanya. Hawk banyak membantu transformasi dunia sukan tersebut, mengubahnya daripada aktiviti jalanan kepada sukan bertaraf dunia.

Lebih mengagumkan Hoffart tentang Hawk ialah juara sembilan pingat pada Kejohanan X Games itu masih aktif walaupun telah mencecah usia 43 tahun.

“Hawk masih mampu melakukan teknik-teknik sukar yang mungkin tidak boleh dilakukan kebanyakan pemain profesional yang jauh lebih muda daripadanya.

“Melihatkan itu, saya sentiasa berpesan kepada diri saya agar tidak berputus asa dalam bidang ini walaupun ramai orang meragui kebolehan saya.

“Mereka berpendapat saya hanya mampu bertahan sehingga angka 30 tahun sahaja. Tetapi saya percaya, dengan semangat yang ditonjolkan kebanyakan pemain, tanggapan itu akan berubah dan saya juga mampu kekal dalam industri ini untuk masa yang lama,” tegas Hoffart.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: