Thursday, February 9, 2012

Dafi berhijrah ke Indonesia


DAFI bakal muncul dengan single Bila Cinta Tiada Lagi.


KERJAYA seni penyanyi dan pelakon Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi, 24, nampaknya semakin cerah apabila dia kini melebarkan sayap seninya ke Indonesia.

Ketika dihubungi Kosmo! Selasa lalu, Dafi berada di Lapangan Terbang Antara Kuala Lumpur (KLIA), sejurus mahu berangkat ke Jakarta, Indonesia.

Dia mengesahkan sudah mengikat kontrak selama satu tahun bermula pada 12 Januari lalu sebagai artis eksklusif stesen televisyen Trans Corp.

Sungguhpun bakal aktif di Indonesia, Dafi yang pernah berduet dengan penyanyi Indonesia, Gita Gutawa menerusi lagu Dua Hati Menjadi Satu itu menegaskan, dia akan membahagikan masanya antara Kuala Lumpur dan Jakarta secara seimbang kerana kerjayanya di Malaysia dan Indonesia berjalan serentak.

Kosmo!: Bukan mudah untuk seseorang artis melebarkan sayap ke negara lain seperti Indonesia, adakah ini merupakan impian Dafi?

DAFI: Ya, memang ini impian saya untuk mengembangkan kerjaya dan Alhamdulillah, permulaan tahun 2012 sangat manis buat saya. Ini merupakan satu kerjasama yang baik untuk kerjaya saya apabila dipilih artis eksklusif Trans Corp dalam tempoh setahun bersama artis Indonesia yang lain.

Maknanya selepas ini segala urusan kerjaya Dafi diuruskan oleh Trans Corp?

Mereka hanya akan menguruskan kerjaya saya di Indonesia seperti membantu merakamkan album, mencari pasaran. Banyak agenda yang telah disusun pihak mereka buat saya sebagai pendatang baharu dalam dunia seni Indonesia.

Selepas ini sukarlah untuk melihat wajah Dafi di Malaysia?

Tidaklah, saya akan membahagikan masa secara seimbang antara dua negara kerana di Malaysia, saya masih mempunyai single Bila Cinta Tiada Lagi yang akan berada di pasaran tidak lama lagi, selain saya juga mempunyai beberapa projek lain yang sedang berjalan. Tawaran persembahan pentas juga masih ada di Malaysia, jadi sudah tentu saya akan kerap pulang ke Malaysia.

Sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai artis baharu di Indonesia?

Saya pernah beberapa kali ke sana dan saya dengar media di sana lebih agresif tetapi saya sudah bersedia kerana ini jalan yang saya pilih. Semua ini perkara yang baharu untuk saya pelajari, saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Bagaimana dengan keluarga Dafi?

Mereka semua setuju dengan keputusan saya kerana ini adalah untuk masa depan kerjaya saya sendiri. Mereka minta saya menjaga diri sebaik mungkin kerana berada di tempat orang, fokus dengan kerja kerana itu tujuan utama saya ke Indonesia.

Perasaan Dafi apabila terpaksa hidup sendiri dan berpisah dengan keluarga?

Ini satu pengalaman yang baharu, saya tidak takut tetapi risau sedikit kerana sejak lahir saya tinggal bersama keluarga. Sekarang, semuanya saya kena lakukan sendiri daripada menguruskan diri sehinggalah urusan kerjaya. Sebenarnya, berhijrah ke Indonesia, satu perkara yang baik buat saya kerana saya lebih berdikari.

Biasanya peminat muzik Indonesia tidak mudah untuk menerima penyanyi Malaysia kerana pergolakan berlaku daripada beberapa isu termasuklah politik. Jadi, bagaimana perancangan Dafi untuk menawan hati peminat di sana?

Setakat hari ini penerimaan orang di sana terhadap saya okey sahaja, tidak ada perkara buruk yang berlaku. Bagi saya penghijrahan saya ke sana satu perkara yang baik, saya berharap saya boleh menghantar mesej yang kedua-dua negara boleh bekerjasama dengan baik. Saya juga akan berusaha mengharumkan nama saya sebagai penyanyi kelahiran Malaysia.

Apa projek pertama Dafi di Indonesia?

Sekarang saya tengah mencari material untuk keluarkan lagu single di Inonesia. Saya juga ada pergi casting untuk beberapa buah drama di sana. Andai saya berlakon kelak, saya tetap akan mengutamakan kerjaya nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: