MUTAKHIR ini, kita berasa sedikit sangsi apakah yang menyebabkan anak-anak gadis terpesona dan jatuh cinta dengan lelaki asing dari Afrika? Lebih malang, mereka ini kemudian menjadi hamba seks atau keldai dadah. Ada pula yang ditahan di negara asing dan meringkuk di dalam penjara.
Sebelum kehadiran warga Afrika ini, kita disajikan dengan berita anak-anak gadis yang terperangkap dengan cinta lelaki dari tanah seberang sehingga sanggup meninggalkan keluarga sendiri.
Benarlah, cinta itu memerlukan pengorbanan. Sayangnya, ada antara anak-anak gadis yang hidup melarat selepas melarikan diri ke negara asal pemuda yang mereka cintai. Bahkan, ada yang terputus hubungan dengan keluarga sendiri bertahun-tahun lamanya.
Mengapa hanya kerana cinta, segelintir anak gadis kita sanggup berkorban seteruk itu? Kalau dikatakan cinta itu sesuatu yang indah, mengapa perlu berakhir dengan derita?
Persoalan yang patut ditanya oleh anak-anak gadis kita apabila sudah jatuh hati dengan seseorang ialah bertanya kepada diri sendiri sama ada perasaan itu sekadar suka, minat atau ia sememangnya cinta.
Walaupun cinta telah didefinisikan dengan pelbagai cara oleh ahli psikologi, secara umumnya, cinta didefinisikan sebagai an endurancing sentiment toward a person producing a desire to be with that person and a concern for the happiness and satisfactions of that person (The Penguin Dictionary of Psychology). Seseorang yang bercinta mempunyai perasaan yang sangat kuat terhadap pasangannya dan ingin berkongsi segala-galanya dengan orang tersebut. Bahkan, bercita-cita untuk sehidup semati dengan orang yang dicintai.
Suka pula hanya sekadar perasaan senang dengan seseorang yang mungkin menarik atau mempunyai personaliti yang kebiasaannya mempunyai banyak persamaan dengan kita. Bagaimanapun, suka tidak membawa seseorang itu sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang disukainya.
Kebanyakan mereka yang menjadi sahabat terdiri daripada orang yang kita suka. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka sanggup berkorban apa sahaja demi sahabatnya. Ada juga hal-hal yang tidak dikongsi dengan sahabat, misalnya hal yang dianggap terlalu peribadi.
Bukan idola
Bagaimana pula yang dikatakan minat? Walaupun minat agak mirip dengan suka, tetapi ia sesuatu yang berbeza. Seseorang perlu menyukai sesuatu dahulu, kemudian barulah minat itu timbul. Ada hal-hal yang hanya sekadar disukai sahaja, tetapi tidak pula bermakna kita akan meminatinya. Kita boleh suka kepada seseorang, tetapi mereka mungkin bukan idola yang kita minati.
Idola sukan atau artis, misalnya, ialah mereka yang diminati walaupun tidak semestinya kita perlu menyintai mereka. David Beckham atau Michael Jackson, misalnya, diminati oleh peminat dari seluruh dunia. Mereka juga mungkin hanya sekadar disukai, tetapi tidak diminati. Bagaimanapun, orang yang membencinya tidak akan menyukainya, jauh lagi untuk meminatinya. Apatah pula berangan-angan untuk sehidup semati dengan idola kesayangan mereka itu.
Itulah yang membezakan antara cinta, suka dan minat. Dalam situasi kini, segelintir anak gadis kita begitu sangat terpesona dengan pemuda asing yang adakalanya tidak begitu diketahui asal usulnya, sama ada mereka ini benar-benar benar-benar jatuh cinta atau sekadar suka.
Ia boleh jadi kerana perwatakan lelaki asing ini menarik atau mereka dijanjikan dengan kemewahan yang tidak masuk akal. Ada pula yang mungkin terperangkap dengan janji-janji manis yang dinukilkan menerusi pelbagai medium laman sosial.
Sebab itulah, anak-anak gadis kita seharusnya lebih berhati-hati apabila menjalinkan hubungan dengan warga asing yang tidak diketahui latar belakangnya. Apatah lagi, apabila hubungan itu hanya terjalin melalui komunikasi talian yang menyebabkan peluang untuk diperdayakan adalah lebih tinggi. Walaupun bukan semua lelaki pendatang ini tidak boleh dipercayai, namun beberapa kejadian pemerdagangan manusia sejak akhir-akhir ini memaksa kita membuka mata.
Bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita sememangnya sedang dilamun cinta atau hanya sekadar suka. Mereka ini juga mungkin hanya sekadar seseorang yang diminati, tetapi tidak lebih lebih daripada itu. Jangan kerana silap membuat perhitungan, akhirnya musibah buruk yang menimpa diri.
Ada satu cerita benar yang patut diketahui oleh anak-anak gadis betapa cinta itu hanyalah sekadar fatamorgana. Kalaupun ia dikatakan indah, tetapi ia tidak selalunya betul. Bahkan, kisah ini juga boleh dijadikan panduan untuk mereka yang berkahwin.
Korban
Tahun 1971. Seorang suami yang sangat menyintai isterinya telah menuliskan sekeping nota cinta, lalu memasukkannya ke dalam botol. Ia dicampakkan ke Lautan Pasifik. Sepuluh tahun kemudian botol itu ditemui di pantai Guam. Terjemahan nota itu berbunyi begini.
Tatkala surat ini sampai kepadamu, aku mungkin sudah tua dan beruban. Bagaimanapun, ketahuilah bahawa cintaku masih tetap segar seperti hari ini. Ia mungkin mengambil masa seminggu atau beberapa tahun untuk surat ini sampai kepadamu. Jika surat ini tidak pernah sampai kepadamu, percayalah yang ia tetap tertulis di hatiku yang aku sangat menyintai dirimu. Suamimu, Bob.
Wanita yang tercatat namanya dalam nota itu akhirnya berjaya dihubungi oleh seseorang menerusi telefon. Nota itu dibacakan kepadanya.
Apakah reaksi wanita tadi?
Dengan marah, wanita itu akhirnya berkata: "Kami sudah bercerai." Dia lalu menghempaskan telefonnya.
Begitulah tragisnya cerita sebuah hubungan. Tidak semua cinta berakhir dengan kebahagiaan.
Jadi mengapa harus ada antara kita yang menjadi korban?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: