BERJAYA...walaupun tergolong sebagai atlet kurang upaya intelektual, mereka mampu membuktikan kejayaan dalam bidang sukan.
ZAIM...menang pingat perak dan gangsa di Athens.
JIKA dilihat daripada segi fizikal, tiada apa yang kurang kerana mereka sama seperti remaja lain. Malah lebih berjaya apabila mampu mewakili negara dalam kejohanan Sukan Olimpik Istimewa Dunia bersempena musim panas di Athens, Greece, pada tahun lalu apabila berjaya membawa pulang enam pingat emas, enam perak dan 11 gangsa dalam acara kayak, boling, lompat jauh dan bocce.
Kejayaan ini tentunya membuktikan golongan yang mempunyai kekurangan intelek mampu mencipta kejayaan tersendiri sekiranya mempunyai semangat serta melakukannya bersungguh-sungguh.
Menurut definisi Persatuan Pembangunan Kurang Upaya Intelek Amerika (AAIDD), seorang individu dianggap mengalami kurang upaya intelektual berdasarkan kepada tiga kriteria iaitu mempunyai tahap fungsi intelektual (IQ) di bawah 70-75, terdapat kekangan yang wujud di dalam dua atau lebih kemahiran adaptif serta dikesan sebelum usia 18 tahun.
Kemahiran adaptif merujuk kepada 10 kemahiran seperti komunikasi, penjagaan diri, kehidupan di rumah, kemahiran sosial, riadah, kesihatan dan keselamatan, matlamat diri, fungsi akademik, kemasyarakatan dan pekerjaan, manakala kanak-kanak yang mengalami kekurangan dalam kemahiran ini tergolong di dalam kanak-kanak kurang upaya intelek.Salah seorang atlit yang mewakili negara dalam sukan boling di Sukan Olimpik Istimewa di Athens pada tahun lalu, Zaim Abu Hirzan Zaidan, 16, yang mengalami masalah autisme ringan sejak dilahirkan berjaya membuktikan dia mampu mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat perak dan gangsa dalam sukan itu.
Ketika ditemui, Zaim nampak pendiam dan hanya memberikan jawapan ringkas ketika ditemu ramah. Nyata dia kurang berkeyakinan namun mula ramah bercerita setelah lama berbual. Mula bermain boling ketika berusia 14 tahun iaitu mengikut keluarga ke pusat boling, akhirnya bakatnya diketengahkan guru pendidikan khas yang juga jurulatih boling, Mohd Shukry Hussain.
Pelajar tingkatan empat SMK Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur ini menjalani latihan
di pusat boling Sri Petaling sekali seminggu selama lima hingga enam jam sehari.
“Saya memang peminat boling, tambah pula nenek yang berusia 64 tahun juga peminat sama dan sering memberikan nasihat dan panduan bagaimana menjadi pemain yang baik. Mula-mula membuat balingan memang ke longkang tetapi lama-kelamaan apabila sudah mendapat teknik terbaik barulah ia konsisten.
“Jurulatih banyak mengajar saya supaya menumpukan sepenuh perhatian ketika membuat balingan. Ini kerana apabila kita fokus barulah dapat mengumpul mata yang banyak,” katanya.
Selain bermain boling, anak sulung dua beradik ini juga gemar meluangkan masa dengan melukis. Walaupun agak lemah dalam pelajaran, dia menunjukkan prestasi yang baik di kelas. Katanya, selepas habis sekolah, dia membuat kerja sekolah kemudian menjalani latihan sukan manakala pada waktu malam baru mengulang kaji pelajaran dibantu ibu.
Jurulatih atlet Sukan Olimpik Istimewa sejak 2007, Mohd Shukry Hussain mengakui latihan kepada atlet istimewa harus dilakukan lebih kerap. Ini berbeza dengan atlit paralimpik yang dengan jelas mengalami kekurangan anggota. Mereka yang tergolong dalam kategori lemah intelektual ini sukar dibaca pemikiran mereka.
“Ini kerana mereka agak lambat dalam menerima arahan dan perlu dilakukan berulang-kali. Ada pula yang terlalu hiperaktif namun anak-anak ini mempunyai semangat yang tinggi serta mempunyai daya juang untuk memenangi perlawanan,” katanya yang berpengalaman selama 22 tahun dalam bidang pendidikan khas Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Presiden Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), Datuk Muhammad Feisol Hassan, Zaim adalah contoh kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah pembelajaran namun mampu membuktikan kekurangan bukan alasan untuk berjaya.
Seharusnya lebih ramai ibu bapa tampil memberikan sokongan dengan menghantar anak-anak istimewa ke sekolah dan mencungkil bakat dalam bidang sukan. Ini kerana sukan adalah aktiviti terbaik yang patut diceburi golongan ini kerana mempunyai banyak kebaikan. Selain menambah kecergasan fizikal dan kemahiran motor, sukan membina imej positif sama ada pada diri dan persekitaran serta meningkatkan keyakinan diri dan sokongan keluarga.
“Keluarga yang mempunyai anak bergiat dalam sukan menjadi lebih kuat kerana mereka belajar untuk lebih memahami bakat dalam diri anak-anak manakala rakan-rakan sekeliling akan lebih menghormati dan menjalin hubungan yang baik dalam keluarga,” katanya.
Menerusi sukan, persaingan antara mereka menjadi medan terbaik bagi menguji kemahiran atlet, mengukur kemajuan mereka dan mendorong untuk perkembangan fizikal dan mental menjadi lebih baik. Latihan sukan serta persaingan membantu golongan kurang upaya intelektual ini menjadi lebih sihat malah berani menghadapi cabaran melangkaui sempadan bangsa, politik, umur dan agama.
“Sebagai contoh, ketika Sukan Olimpik Istimewa di Athens pada tahun lalu, pelari dari Nigeria yang membuat larian 400 meter menunggu sehingga semua rakan yang lain sampai ke garisan penamat lalu berlari bersama-sama. Ini menunjukkan betapa istimewa dan jujurnya hati golongan istimewa ini kerana mereka tiada sifat ingin menang sebaliknya menunjukkan rasa hormat, persahabatan dan tidak mementingkan diri sendiri,” kata Feisol.
Apa yang penting, ibu bapa tidak harus menyimpan anak-anak yang mengalami kekurangan intelektual ini di rumah kerana malu berhadapan masyarakat.
Sebaliknya mereka harus sedar, memiliki anak-anak ini adalah anugerah Allah dan berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka.
Bagi Naib Presiden SOM, Datuk Peter Velappan, walaupun anak-anak ini istimewa, mereka mempunyai hak untuk mendapat persekitaran yang baik, berkawan dan menyumbang kepada negara. Ibu bapa tidak harus bersedih sebaliknya menunjukkan laluan berbeza dengan memberikan pendidikan dan kemahiran berguna kepada mereka.
Ini boleh dilakukan ketika anak-anak masih kecil dengan mengajar mereka berjalan, berlari dan melompat. Pada usia tujuh hingga sembilan tahun biarkan mereka bermain dengan kanak-kanak normal supaya mereka tidak rasa terasing.
“Dalam hal ini, ibu bapa harus memberikan sokongan moral kepada anak-anak supaya mereka membesar menjadi insan berguna bukan saja kepada keluarga tetapi negara. Sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari, bekerja dan menggembirakan hati ibu bapa,” katanya.
Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk anak-anak kurang upaya intelektual seperti sekolah pendidikan khas serta kemudahan sukan. Apa yang penting peranan ibu bapa serta masyarakat agar memberikan sokongan untuk melihat lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Bagi kanak-kanak kurang upaya intelektual, Sukan Olimpik Istimewa adalah tempat golo�ngan ini diterima dalam masyarakat. Malah, ada antara mereka yang menunggu seumur hidup untuk menceburi bidang sukan seterusnya mewakili negara.
Di dalam usaha memberi lebih banyak peluang kepada golongan kurang intelektual, Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Tesco Malaysia memulakan kempen mengutip dana bagi organisasi Olimpik Istimewa Malaysia (SOM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie, dia percaya apa yang amat diperlukan kanak-kanak ini adalah sokongan keluarga dan masyarakat.
“Sepanjang usaha kami untuk membantu kanak-kanak istimewa ini, P&G percaya apa yang amat diperlukan mereka ialah sokongan dan galakan untuk hidup. Oleh itu kami amat berterima kasih kepada Tesco kerana sudi menjadi rakan di dalam menyebarkan mesej penerimaan, penyertaan dan hormat terhadap golongan kurang upaya intelektual kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya.
Dengan membantu atlit Olimpik Istimewa, ia dapat menyediakan latihan dan peluang untuk mereka menyertai pertandingan sekali gus membuka jalan kepada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka membesar menjadi individu yang lebih berkeyakinan untuk mencapai impian mereka.
“Sebagai seorang ibu, saya faham apa yang dilalui oleh ibu lain dalam mencorakkan masa depan anak-anak mereka.
Kempen ini juga untuk menghargai usaha ibu-ibu yang menjadi wira sebenar mereka,” tambah Ellie.
Kempen yang mensasarkan kutipan sebanyak RM100,000 dalam masa sebulan akan membolehkan pelanggan menyumbang kepada SOM dengan membeli produk P&G di cawangan Tesco terpilih di seluruh negara.
Enam sen akan didermakan kepada SOM dengan setiap pembelian produk P&G bernilai RM10.
Orang ramai juga boleh menyumbang melalui kempen ini dengan membeli produk P&G yang mengambil bahagian di cawangan Tesco terpilih di Malaysia bermula 9 Februari sehingga 28 Mac 2012 dan membantu membawa atlet kurang upaya intelektual satu langkah ke hadapan untuk mencapai impian mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: