KOTA BHARU - Niat untuk berseronok sambil mengikut rakan ponteng sekolah, akhirnya menyebabkan 29 pelajar lelaki sekolah menengah di sekitar jajahan ini, ditahan dalam satu operasi bersepadu ponteng sekolah yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu di sini semalam.
Operasi yang bermula jam 9.30 pagi itu turut disertai hampir 60 anggota, termasuk kakitangan PPD, serta agensi jerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Pengarah Pelajaran Negeri, Hussin Awang berkata, operasi kali pertama yang dijalankan pada tahun ini di sekitar 15 lokasi panas di daerah ini, adalah sebagai usaha untuk membanteras gejala ponteng sekolah.
“Kita akan jalankan operasi seumpama ini secara berterusan bagi memberikan kesedaran kepada mereka dan mendidik pelajar-pelajar supaya menjadi golongan yang berguna.
“Selain itu dalam operasi ini kesemua pelajar yang ditahan di bawa ke Masjid Mukim Telipot bagi menjalani sesi kaunseling serta tazkirah rohani bagi menyedarkan diri golongan terbabit,” katanya kselepas bertemu dengan 29 pelajar yang ditahan di masjid berkenaan semalam.
Turut menyertai operasi Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu Che Ab Aziz Daud.
Hussin berharap agar ibu bapa turut memberi kerjasama bagi menangani isu ini dan memastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah dan sampai di kawasan yang sepatutnya.
“Setakat ini kita sudah kenal pasti kesemua lokasi terbabit termasuk pusat membeli belah, sekitar Kota Jembal, Panji, Kemumin, Pengkalan Chepa, Mulong, Taman Tengku Anis, Telipot, belakang Kolej Sultan Ismail (SIC) serta beberapa lokasi lain.
“Pelajar-pelajar yang ditahan hari ini (semalam) akan dihantar ke sekolah semula dan ibu bapa akan dipanggil bagi proses runding cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: