Wednesday, December 21, 2011

Sharifah Aini mahu terus beramal

Biduanita Datuk Sharifah Aini semakin giat mengadakan show amal bagi mengutip dana membantu rumah tahfiz dan badan lain yang memerlukan sumbangan. Sambutan menggalakkan peminat dah pihak korporat membuatkan dia semakin bersemangat.

Minggu lalu dia dan dua penyanyi malar segar Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull menjayakan Makan Malam Amal Tiga Sahabat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Meriah persembahannya kali ini dengan banyak lagu-lagu nostalgia.

Masih ramai peminat

"Saya berhajat mahu membuat persembahan yang sama di luar Kuala Lumpur pula," katanya yang sudah banyak kali menjayakannya di sekitar Kuala Lumpur.

Sambutan hangat banyak pihak membuatkan biduanita itu bersemangat untuk meneruskannya pada masa-masa akan datang.

Malah dia ada team yang mencari rumah-rumah anak yatim atau tahfiz yang memerlukan bantuan. Pihaknya turut mencari di kawasan luar Kuala Lumpur.

"Inilah cara saya beramal menggunakan anugerah vokal yang saya ada," katanya lagi. Syarikat Jamu Mak Dara salah sebuah syarikat yang menaja persembahan tersebut.

Dewi Yull juga sanggup turun ke Kuala Lumpur dan menerima tawaran dengan senang hati kerana mahu sama-sama beramal. Malah pihak pengurusannya juga memperuntukkan waktu untuk dia menerima tawaran aktiviti amal yang tidak meletakkan harga yang tinggi.

Grace Simon juga banyak membantu anak-anak miskin di Indonesia. Bila rakan lama melamar, dia senang hati menerimanya. Apatah lagi mereka sudah lama tidak bersua.

"Dulu semasa tahun 70-an kami pernah mengadakan persembahan menjelajah negara-negara Asia. Banyak kenangan yang kami kenang sehingga hari ini," Kata Grace.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: