|
PENYERANG berbisa Harimau Malaya, Safee Sali tidak mahu cepat melatah di sebalik kemelut yang melanda Liga Super Indonesia (ISL) dan Liga Premier Indonesia (IPL) ketika ini.
Sejak minggu lalu, pelbagai khabar angin yang melanda bekas penyerang Selangor itu yang dilaporkan terdesak untuk mencari majikan baharu ekoran status ISL yang dikatakan tidak diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarangsa (FIFA).
Namun kapten Pelita Jaya ini tetap serius untuk menumpukan fokus bersama kelab yang disertainya itu sejak Februari lalu.
Bagi Safee, masalah pentabdiran Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) - badan yang bertanggungjawab mengendali ISL langsung tidak bermain di fikirannya, sebaliknya dia berharap kemelut itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Sehingga kini, saya masih menghormati kontrak bersama Pelita Jaya yang akan berakhir pada 31 Januari depan.
“Baru-baru ini, pihak Pelita Jaya telah mengemukakan kontrak selama tiga tahun (kepada saya), tetapi saya perlu meneliti tawaran tersebut memandangkan ia (kontrak baharu) agak lama.
“Jika bersesuaian dengan kontrak, saya mahu lagi beraksi untuk mengetuai Pelita Jaya bagi memburu gelaran juara ISL,” katanya pada sidang akhbar di Garden, The Curve Mutiara Damansara petang semalam.
Berhubung kemelut yang melanda PSSI, sekiranya Safee menandatangani kontrak baharu bersama Pelita Jaya, masa depan pemain berusia 28 tahun itu masih terselamat sekalipun FIFA meletakkan status haram terhadap ISL, IPL mahupun PSSI.
Ini kerana Safee masih boleh ‘ditukarkan’ kepada kelab Australia, Brisbane Roar FC atau sebuah kelab Belgium yang dipegang oleh pemilik Pelita Jaya, Bakrie Group yang dimiliki Dermawan Bakrie.
Selain itu, Pelita Jaya juga masih boleh beraksi secara jemputan dalam mana-mana liga yang diiktiraf FIFA di rantau Asia Tenggara jika PSSI diharamkan.
Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Pelita Jaya bagi membincangkan masa depan peledak berbisa Harimau Malaya itu.
Jelas Zakaria, beliau bersama Safee perlu merujuk kandungan kontrak yang diterima sebelum bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Pelita Jaya.
Dalam masa yang sama, Zakaria turut membayangkan kepada mana-mana pasukan tempatan yang berhajat untuk ‘merantai’ penyerang kelahiran Kajang itu supaya menawarkan kontrak yang sewajarnya.
Ini kerana menurutnya, meskipun Safee mahu menumpukan karier di luar negara dalam tempoh lima tahun lagi, tidak mustahil pemain itu akan kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sekiranya mendapat tawaran menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: