|
WARNA lembut dan terang mampu meleraikan kekusutan fikiran dan membangkitkan kedamaian dalam jiwa.
Itu prinsip hiasan dalaman yang dipegang sejak berpuluh tahun lalu oleh suri rumah Zubaidah Abdul Rahman, 49.
Ketika berkunjung ke kediamannya di Subang Jaya , Selangor, baru-baru ini, penulis turut dapat merasakan aura ketenangan di sebalik mainan warna hasil kreativiti wanita tersebut.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, usaha Zubaidah untuk menghias indah rumah teres dua tingkat miliknya dengan sempurna adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan.
Pilihan gabungan warna pastel seperti putih, ungu, coklat walnut dan kuning susu jelas menggambarkan kecintaan Zubaidah pada warna lembut.
Pasu Eropah
Bercerita lebih lanjut tentang idea menghias rumahnya, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk menghias rumah dengan gaya Inggeris.
Malah, Zubaidah turut mengakui dia mula jatuh cinta pada dekorasi ala Eropah sejak usianya belasan tahun lagi.
“Saya memang sukakan warna yang lembut, terang dan cerah seperti putih, kelabu, ungu, merah hati, coklat walnut dan sebagainya.
“Kesemua warna ini mampu mencipta ketenangan dalam jiwa saya. Justeru, apabila sudah mampu memiliki kediaman sendiri, saya gunakan peluang menghias sebaiknya agar mesej ketenangan melalui warna ini dapat dizahirkan,” katanya yang memilih rona terang untuk ruang tamu dan kamar tidurnya.
Malah, pilihan warna lembut terang yang sama turut menghiasi bilik tidur anak-anaknya.
Mula mendiami syurga Eropahnya sejak lima tahun yang lalu, ternyata minat Zubaidah bukan sekadar impian yang saban tahun diperkatakan.
Dari luar kediaman, sudah terserlah keseriusan wanita ini dalam menghias rumah.
Dia yang gemar bersantai bersama keluarga senang meletakkan set perabot dan ornamen berwarna putih yang dilengkapi dengan alas meja serta pasu rekaan Eropah.
Gabungan putih dan biru ini secara tidak langsung menonjolkan budaya Eropah klasik yang dominan.
Tidak hanya fokus kepada ruang santai, Zubaidah juga turut membina taman mini di kawasan hadapan rumah yang menyuntik kesegaran di sekitar kediaman.
Sejurus melangkah masuk ke dalam rumah, penulis dapat melihat bahawa tiada sebarang lekapan karpet yang digunakan dalam rumah itu.
“Saya tidak suka karpet. Bagi saya, rumah tanpa karpet kelihatan lebih kemas dan teratur.
“Saya juga sengaja memilih sofa yang berwarna-warni kerana mahukan gabungan warna segar kerana ia pastinya akan menambah keindahan di ruang tersebut,” katanya.
Ditambah dengan cat putih serta jubin lantai berwarna coklat muda, ruang tamu tampak lebih menarik dengan dinding sudut kiri dihias dengan kertas dinding coklat bercorak batu yang jelas realistik ketika disentuh.
Sudut di sebelah ruang tamu pula dilengkapi dengan ruang meja makan yang menyaksikan set kerusi yang diimport dari Itali.
“Untuk membangkitkan suasana romantis, saya menggunakan cahaya yang samar.
“Selain itu langsir putih dan kuning yang mewarnai ruang tamu dan di seluruh rumah ini hasil tenunan saya sendiri,” katanya yang menyifatkan bingkai cermin gergasi yang digantung pada dinding ruang makan memberikan gambaran ruang makan dan tamu kelihatan lebih besar.
|
|
Bilik dobi
Beralih ke bilik dobi di bahagian belakang bilik tidur di tingkat bawah, ia merupakan ruangan terpisah di mana kerja-kerja membasuh pakaian dilakukan.
Dicat dengan warna hijau muda, bilik dobi ini nampak eksklusif dan menarik kerana Zubaidah turut meletakkan sofa dan almari di situ.
Di ruang dapur pula, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini memberitahu, dia sentiasa mahukan dapur yang kering, bersih dan kemas walaupun sentiasa sibuk dengan memasak dan menyediakan menu makanan harian.
Melihat pada set pinggan mangkuk yang diatur kemas di atas meja, Zubaidah jelas mencintai koleksi set pinggan dan cawan jenis patio.
“Saya suka buat koleksi set barang pinggan patio yang putih kebiruan dan semuanya saya peroleh daripada kawan-kawan yang dibawa khas dari Itali.
“Saya tidak hanya menjadikan koleksi sebagai hiasan sebaliknya akan digunakan ketika majlis kumpul ramai-ramai atau makan-makan dan ada kawan-kawan saya teruja melihat koleksi saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: