
BELIAU memiliki raut wajah yang lemah lembut. Namun pasti ramai yang tidak percaya bahawa sebenarnya wanita itu begitu meminati bidang lasak dan mencabar.
Melihat kepada wajahnya, mungkin ramai yang tidak percaya Koperal Rosliana Zainal Abidin, 34, sebenarnya pernah mendaki gunung tertinggi di negara ini, Gunung Kinabalu.
Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang sukan yang diminati kaum Adam antaranya bola sepak, bola tampar dan bola jaring.
Bagi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, aktiviti lasak yang disertai adalah sebahagian daripada hobinya sejak bangku sekolah dan ini yang menjadi pendorong kepadanya untuk terus berjaya di dalam unit beruniform.
Menurutnya, aktiviti tersebut sebagai satu landasan kepada wanita untuk bergerak lebih pantas dan berdaya saing bagi melakukan sesuatu perkara.
Tambahnya, wanita sekarang bukan sahaja hanya perlu tahu memasak, malah perlu menceburkan diri di dalam aktiviti lain kerana pada zaman yang mencabar dengan kecanggihan teknologi, kita perlu bersaing dengan masyarakat lain untuk mendapatkan satu kehidupan yang selesa.
Memberitahu mengenai hobinya yang lasak itu, dia berkata, antara aktiviti yang paling mencabar pernah dilakukannya ialah mendaki Gunung Kinabalu pada tahun 2008.
"Bagi saya, aktiviti tersebut memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat kerana suasana ketika mendaki gunung adalah berbeza dimana kita perlu menghadapi pelbagai cabaran yang luar biasa.
"Apabila kita mendaki gunung yang tinggi dengan cuaca yang sejuk, ia bukan perkara biasa yang boleh ditempuhi oleh semua orang termasuk saya sendiri.
"Jadi, sebelum melakukan pendakian tersebut, saya bersama rakan-rakan dari Kelab Polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sentul memulakan sesi latihan di Bukit Tabuh sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di Gunung Kinabalu," katanya ketika ditemui Gaya Polis di IPD Sentul, baru-baru ini.
Baginya, walaupun telah menjalani sesi latihan selama seminggu, dia terpaksa berhenti di pertengahan pada ketinggian 3,243.7 meter dan berehat selama empat jam sebelum meneruskan perjalanan.
"Saya hampir berputus asa untuk meneruskan pendakian sehingga ke puncak disebabkan faktor dalaman dan persekitaran yang tidak mengizinkan.
"Bak kata pepatah, 'genggam bara api, biar sampai ke pangkal lengan'. Dengan bantuan rakan-rakan yang lain, saya cekal untuk meneruskan perjalanan, dan sia-sia sahajalah jika tidak sampai ke puncak," katanya
Selain itu, beliau yang juga meminati sukan kegemaran kaum lelaki itu telah banyak mencipta nama dan mengharumkan nama pasukan polis daerah yang diwakilinya di dalam bidang sukan.
Menurut Rosliana, selama 14 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, sebanyak dua pertandingan peringkat daerah telah dimenanginya, sekali gus mengharumkan namanya dan IPD yang diwakilinya.
"Pada tahun 1999 sewaktu di IPD Kampar, saya menyertai perlawanan bola jaring dan bola tampar bagi merebut Piala Ketua Polis Johor dan memenangi pingat perak bagi kedua-dua sukan tersebut.
"Selain itu, pada tahun 2006, saya menyertai pertandingan bola sepak wanita di bawah IPD Sentul dan memenangi pingat perak.
"Dengan kecemerlangan yang diperolehi dalam bidang sukan, saya telah dilantik menjadi ketua biro sukan, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daerah Sentul sejak tahun lalu," katanya.
Bagi beliau, aktiviti lasak yang dilakukannya dapat menghilangkan tekanan yang dirasainya dengan beban kerja yang bertambah dari semasa ke semasa.
Walaupun Rosliana aktif di dalam aktiviti sukan lasak, namun terdapat juga pada dirinya ciri-ciri gadis Melayu yang diidamkan oleh jejaka di luar sana.
Rosliana memberitahu yang dirinya boleh menari pelbagai jenis tarian antaranya, Tarian Zapin, Tarian Arab, Tarian India dan Tarian Bhangra yang kesemuanya memerlukan kelembutan dalaman dan luaran.
"Saya mula meminati bidang tarian ketika berkhidmat sebagai polis yang pada ketika itu, sukan aerobik menjadi penggerak utama untuk belajar menari.
"Bagi saya, pergerakan di dalam sukan aerobik hampir sama dengan seni tarian kerana kedua-duanya memerlukan kelembutan dan tenaga untuk memberikan hasil dan persembahan yang terbaik," katanya.
Jelas Rosliana, dia pernah melakukan banyak persembahan tarian di setiap program yang dianjurkan oleh IPD dan juga komuniti penduduk setempat.
Rosliana mengingatkan, bahawa semua perkara yang dilakukan perlulah dengan tekun dan dedikasi di samping doa dan tawakal kepada Allah.
Disebabkan aktiviti-aktiviti yang dilakukannya itu telah membuatkan dirinya tidak kekok dengan masyarakat dan menjadi seorang yang peramah walaupun mempunyai bebanan kerja yang banyak.
"Saya berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Awam PDRM dari awal perkhidmatan pada tahun 2007 sehingga sekarang dan ini menjadi resipi utama untuk mengekalkan reputasi polis yang bersemangat dan tidak sombong kepada masyarakat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: