JARI-JEMARI Zahra Nazer kelihatan begitu cekap mengendalikan mesin tenunan. Dia dengan pantas menenun benang sutera yang berwarna-warni menjadi sebidang permaidani. Biasanya, untuk melengkapkan sebidang permaidani, ia mengambil masa setahun untuk siap sepenuhnya.
Ya, mesin tenunan dengan rod kayu yang tergantung pada bahagian atasnya itu sudah berusia, tetapi pergerakan mesin itu tampak pantas.
Namun, peralatan yang menjadi kebanggaan masyarakat Iran itu tidak pernah menjalani revolusi dan hampir-hampir tidak berubah sejak 2,500 tahun lalu.
Pasaran permaidani Iran kini tidak sehebat dulu. Industri eksportnya yang mencecah nilai berbilion dolar semakin dihimpit ancaman sejak kebelakangan ini.
Mengapa? Semua itu didorong transformasi radikal terhadap prasarana yang menghasilkan sebidang karpet hingga menggalakkan kes-kes peniruan.
Kata Nazer, teknologi pada abad-21 sesungguhnya telah menenggelamkan tradisi yang selama ini dipertahankan negaranya.
Ujar wanita itu, dia, bapa dan ibu saudaranya antara 200,000 penenun yang berdaftar di negara itu.
“Usia saya 18 tahun dan saya mula menenun sejak berumur 15 tahun. Saya suka menenun dan ia tidaklah sukar. Pekerjaan ini merupakan profesion warisan yang diperturunkan sejak zamanberzaman,” kata remaja perempuan itu.
Permintaan merosot
Di sebalik bengkelnya yang selesa dikongsi bersama berdozen wanita lain, Nazer tidak perasan bahawa pasaran dunia sudah merentas satu perubahan.
Sama ada dia sedar atau tidak, di Iran sendiri, permaidani tiruan yang kebanyakannya ditenun oleh penenun dari China dan Pakistan sangat berleluasa.
Bilangan pembeli permaidani asli semakin berkurangan. Tambahan, kos pembikinan permaidani semakin mahal ekoran kenaikan harga sutera.
|
|
Nazer memberitahu wartawan, sebidang permaidani Parsi yang tulen dan dibuat 100 peratus dengan tangan semestinya berkualiti tinggi berharga ribuan dolar.
Namun, akui remaja perempuan itu, kecekapan dan ketelitiannya hanya dibayar kurang dari satu dolar untuk sehari.
Dalam pada itu, seorang penenun yang dikenali sebagai Hassan Hosseinzadeh memberitahu: “Situasi di pasaran kini merosot secara drastik sejak beberapa tahun lalu. Itu semua disebabkan kekurangan pembeli.”.
Hassan ditemui ketika mengambil bahagian dalam satu pameran karpet di kota Isfahan baru-baru ini.
Untuk mengelak daripada industri karpet itu terus merudum, sesetengah pihak di negara itu beralih menggunakan teknologi komputer dan beberapa infrastruktur canggih.
Dalam sebuah firma yang terletak di kota Qom, seorang pereka yang dikenali sebagai Davad Dejahany duduk di hadapan komputer yang disambung terus dengan tablet lukisan.
Dia menggunakan tablet itu untuk melukis paten yang rumit seperti motif bunga dan burung yang menjadi corak untuk sebidang permaidani dan kemudiannya diserahkan kepada penenun wanita untuk tindakan seterusnya.
Duduk di sebelahnya ialah seorang pekerja yang sudah lanjut usia yang melaksanakan tugas-tugas menenun dengan cara lama dan melukis atas kertas grid. Jurang pembuatan permaidani antara kedua-duanya sangat besar.
Ujar lelaki itu, teknologi yang diguna pakai mempercepatkan segala proses termasuk proses pencelupan.
Javad Firoozi yang mengendalikan proses pencelupan di firma itu memberitahu, teknik itu masih menekankan seni tradisional.
Di sebuah kilang yang terletak di luar bandar Kashan, iaitu di antara kota Qom dan Isfahan, anjakan industri pembuatan permaidani dapat dilihat dengan jelas.
Seorang pekerja yang mengenakan kot putih menyelia proses pencelupan secara automatik dalam sebuah tangki keluli tahan karat. Tujuannya adalah untuk memastikan warna pada permaidani sama rata dan mengikut standard katalog.
Kelas formal
Untuk menyelaraskan transformasi dalam industri itu, gaya pengajaran menenun telah beralih dari bengkel-bengkel kepada bilik darjah yang lebih formal.
Di Universiti Seni Isfahan misalnya, para pelajar akan mempelajari teknik tradisional yang lazimnya memakan masa berbulan-bulan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Metodologi yang saya guna pakai benar-benar mempercepatkan pengajaran saya di kelas,” kata tenaga pengajar yang juga penenun karpet di universiti itu, Ali Reza Iranpour.
Dia menunjukkan contoh hasil kerja seorang pelajar yang dapat menghasilkan sebidang karpet yang setara dengan kualiti kaedah kuno. Pelajar itu katanya, hanya mengambil masa selama enam minggu untuk mahir menenun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: