|
|
EVA EKVALL, 28, pernah menyandang gelaran Ratu Cantik Venezuela pada tahun 2000. Ketika itu, dia yang memiliki darah campuran Amerika-Jamaica baru berusia 17 tahun.
Tidak pernah terfikir untuk menjadi ratu cantik, namun hasil kerja keras dan komited di pentas peragaan, figura tinggi lampai ini dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Ratu Cantik Universe di Puerto Rico, Brazil setahun selepas itu.
Mengecapi zaman gemilang pada usia remaja, Ekvall memilih untuk menjadi pembaca berita, penulis dan pelakon untuk stesen Venevision.
Graduan kewartawanan ini juga merupakan penasihat sebuah pertubuhan amal kanser terkemuka di negaranya, SenosAyuda.
Penglibatannya dalam dunia penyiaran secara tidak langsung telah mempertemukan jodohnya dengan seorang penerbit radio, John Fabio Bermudez.
Alam perkahwinan yang mereka kecapi sangat bahagia lebih-lebih lagi apabila Ekvall disahkan hamil.
Dalam meniti kegembiraan bakal bergelar ibu, sebenarnya pada saat itu juga wanita ini terpaksa berdepan dengan maut. Dia disahkan menghidap kanser payu dara yang teruk.
"Beberapa bulan sebelum itu saya sedar ada ketulan pada payu dara tetapi saya fikir itu mungkin perubahan semasa hamil.
"Saya sangat marah kerana saya sepatutnya tahu itu kanser. Ibu saudara saya dua kali menghidap kanser payu dara. Nenek saya meninggal dunia juga kerana penyakit ini.
"Saya pula hanya membiarkan masa berlalu," luah Ekvall dalam bukunya Feura de Foco.
Buku itu mengisahkan kehidupan Evkall sebagai pesakit kanser dan ia ditulisnya berdasarkan kiriman e-mel dan kata-kata semangat daripada keluarga dan rakan-rakannya.
Naskhah itu baginya telah berjaya memecahkan tabu mengenai kanser payu dara di Venezuela.
"Bercerita tentang kanser payu dara di negara yang sebahagian besar rakyatnya obses membesarkan buah dada dianggap sebagai tabu.
Diserang semula
"Mereka cenderung untuk membesarkan payu dara tetapi liat menjalani pemeriksaan mamogram," kata Ekvall ketika ditemu bual stesen televisyen BBC, Mac lalu.
Memandangkan sel kanser sudah merebak, wanita ini terpaksa membuang payu daranya dan menjalani rawatan rapi selama lapan bulan termasuk kemoterapi dan rawatan radiasi.
"Ketika dirawat, saya seperti tidak mengenali diri saya sendiri. Keadaan saya sangat teruk.
"Muka saya bengkak dan semua bulu dan rambut di tubuh saya gugur termasuk bulu mata. Tubuh saya pula jadi lembik dan cepat letih.
"Apabila memikirkan keadaan saya ketika itu, ia menjadi perkara yang menakutkan kerana kerjaya saya mementingkan penampilan," katanya.
Mengambil keputusan untuk membuang payu daranya, Ekvall akui itu bukan keputusan yang pernah terlintas dalam fikirannya.
Malah, ketika menahan kesakitan dan mengetahui sel kanser sedang merebak, dia sudah tidak mahu lagi memiliki payu dara.
"Saya tidak memegang payu dara dengan lembut kerana saya sangat marah dengannya.
"Selepas ia dibuang, walaupun terpaksa melihat parut yang teruk, saya berasa lebih selesa.
"Mujur juga saya masih boleh melakukan pembedahan pembinaan semula payu dara.
"Sekurang-kurangnya saya dapat mengekalkan penampilan seperti dahulu.
"Pada mulanya risau juga, takut kalau payu dara baharu itu tidak cantik. Tetapi saya sedar itu tidak penting.
"Saya tak perlu kelihatan cantik kerana saya ada kanser," katanya yang memilih untuk menjalani rawatan di rumah bersama suami dan anak perempuan yang baru dilahirkannya, Miranda.
Selesai menjalani rejim rawatan yang menyakitkan, Ekvall muncul beberapa kali dalam program kesedaran kanser di kaca televisyen.
Namun, dia yang tampil dengan mengenakan mekap dan rambut palsu tidak mampu mempengaruhi wanita Venezuela tentang penyakitnya sehinggalah dia muncul tanpa mekap dan berkepala botak.
Ekvall sempat merasai nikmat sihat dan melihat anaknya membesar di depan mata.
Bagaimanapun kemanisan hidup itu dikecapi tidak lama. Kanser yang pernah dihidap Ekvall menyerangnya semula.
Minggu lepas, wanita ini menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Houston, Texas, Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: