Ramuan turun temurun dikomersil

Melihat peluang yang tinggi dalam perniagaan rempah ratus masak hitam, Opah Ngah Enterprise (One) memanfaatkan peluang itu untuk menjadikan perusahaan berkenaan sebagai sebuah perniagaan komersil.

Masakan kampung masak hitam yang berasal dari Perak itu mula beroperasi sejak 1998 diusahakan oleh keluarga di Lenggong dengan menggunakan ramuan rempah resipi turun temurun daripada beberapa jenis rempah ratus seperti jintan manis, ketumbar, buah lawang, lada hitam, cengkih dan cili.

Pemilik Syarikat One, Musa Abd Wahab, 62, berkata, perusahaan keluarga itu dahulunya dilakukan dalam skala kecil dan diedarkan hanya di kawasan Lenggong.

Hasil 50,000 peket sebulan

“Namun selepas mendapat maklum balas dan permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan, dengan bermodalkan RM20,000 kami berjaya membuka kilang bagi membantu menampung permintaan yang lebih banyak.

“Setakat ini, kami hanya mempunyai empat kakitangan di kilang selain bantuan keluarga dan anak beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Gombak, Selangor.

Menurutnya, kilang One yang terletak di Lenggong kini boleh menghasilkan sebanyak 50,000 peket rempah sebulan ketika musim perayaan atau 15,000 sehingga 20,000 peket sebulan mengi­kut permintaan pelanggan.

Sebelum ini, jenama One pernah ditawarkan untuk masuk ke dalam pasar raya besar tanahair, namun terpaksa menolak kerana tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan akibat kekurangan modal dan kakitangan.

“Setakat ini, jenama rempah masak hitam One hanya boleh didapati di Kuala Lumpur dan Selangor. Berikutan permintaan yang tinggi di negeri ini, menyebabkan kami membuka cawangan di Sri Gombak bagi memudahkan
pengedaran.

“Bukan sahaja di dalam negara, jenama One juga turut boleh didapati di Brunei yang diedarkan melalui pengedar yang diterima menerusi tempahan telefon oleh pelanggan di Sabah dan Sarawak,” katanya yang juga pesara kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB). Sehubungan itu menurutnya, One berhasrat untuk membuka kilang yang lebih besar bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Konsisten tambah pengedar

Selain boleh didapati di kedai runcit, pasar malam dan pasar tani, jenama One juga boleh diperoleh di kedai 1Malaysia.

Peningkatan jualan produknya telah mendorong populariti jenama One sehingga mendapat tempahan daripada pelanggan untuk dihantar kepada sanak saudara di luar negara terutamanya Mesir dan Australia.

Oleh itu, bagi memperkukuhkan lagi perniagaannya, jenama One mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pengedar di seluruh negara.

“Sesiapa yang berminat hanya perlu memberikan deposit RM1,000 dan kami akan memberikan produk dengan nilai tersebut bersama wang penghantaran atau boleh mengambil sendiri di cawangan atau kilang kami,” katanya.
Musa berkata, rempah masak hitam dijual dengan harga bermula RM2 bagi peket kecil sehingga RM22 untuk peket lebih besar.

Menurut Musa, jenama rempah masak hitam boleh dimasak menggunakan bahan ayam atau daging amat sesuai dimakan ketika musim perayaan bersama nasi lemak, nasi beriani dan roti.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh digunakan untuk memasak pelbagai masakan lain seperti ayam rempah, ramuan ayam bakar dan nasi goreng serta bihun.

Selain itu, jenama One turut mendapat sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) dan mampu bertahan sehingga setahun ketika berada dalam suhu sederhana walaupun telah dibuka.

Katanya, jenama One juga pernah terlibat dalam pameran yang diadakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Peladang yang secara tidak langsung banyak membantu mempromosikan produknya ke dalam pasaran tempatan.

One menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, apatah lagi ketika pameran Halfest 2011, baru-baru ini, jenama One telah berjaya menjana pendapatan sehingga RM7,000 dalam tempoh lima hari.

Perkenalkan produk baru

Musa berkata, jenama One kini mampu menjana pendapatan sehingga mencecah RM15,000 sebulan.

“Atas permintaan pelanggan, kami sedang dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk terbaru iaitu ayam atau daging masak hitam sejuk beku, kuah dan pes masak hitam yang dijangka berada di pasaran menjelang awal 2012.

“Selain itu, kami turut sedang giat merangka strategi untuk membuka kedai yang menjual pelbagai produk tempatan di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Optimis tembusi pasaran luar negara

Menurutnya, melihat potensi yang tinggi dalam perniagaan ini, One berharap agar jenama ini mampu memasuki pasaran luar negara, sekali gus menjadi salah satu produk tempatan yang dikenali ramai.

“Namun, sebagai langkah permulaan, saya berharap agar jenama ini boleh berada di pasar raya besar Tecso atau Mydin dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Di samping itu, One turut menjual produk lain seperti kuih muih dan biskut untuk perayaan, minuman kordial Roselle, kerisik dan ikan pekasam.