![]() |
| Amanda Imani |
KALI terakhir penyanyi Amanda Imani menjenguk peluang di luar negara ialah pada Mei lalu di mana banyak mata telah menyaksikan bagaimana gadis berusia 21 tahun ini memenangi anugerah Bakat Muda Terbaik daripada World Association of Festivals and Artists (WAFA) di Varna, Bulgaria.
Selepas hampir tujuh bulan mengukir nama di Bulgaria, Amanda muncul membawa berita mengenai langkah panjangnya ke Ruili, Yunnan, China bermula esok.
Bagaimanapun kali ini kata Amanda, kunjungannya ke Yunnan bukanlah untuk menyertai sebarang pertandingan seperti mana sebelum ini.
Tetapi ruang selama seminggu yang akan berakhir pada 17 Disember itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menjayakan rakaman sebuah lagu berbahasa Mandarin.
Pergi atas jemputan khas melalui Persekutuan Pemuzik Antarabangsa (FIM), kata Amanda, rakaman lagu itu kelak tidak hanya melibatkan dirinya kerana berganding bahu bersama tujuh lagi wakil negara Asia.
Antara negara lain yang terlibat ialah, Thailand, Sri Lanka, India, Filipina dan Indonesia.
Bercerita lanjut kata Amanda, dia ternyata teruja dengan pemilihan tersebut apatah lagi apabila mengambil kira faktor dirinya yang masih lagi baru dalam industri muzik tanah air.
“Bukanlah tidak yakin pada kebolehan diri, tapi rasanya ramai lagi artis lain yang lebih berbakat dan punya nama besar yang mungkin boleh membawa nama Malaysia sekali lagi ke luar negara.
“Tapi saya anggap ini satu rezeki apalagi bila ada pihak yang meletakkan kepercayaan bahawa saya boleh melakukannya. Wajar untuk saya rasa bangga, ” katanya.
Mengaku ini merupakan kali pertama dirinya menjalani rakaman di luar negara, Amanda tidak segan memberitahu bahawa rasa gementar sudah sedia ada membelenggu dirinya meski belum pun kakinya menjejak tanah besar China.
“Bukanlah saya tak pernah menyanyikan lagu Cina sebelum ini. Tapi perasaannya lain kerana kali ini saya buat rakaman.
“Risau juga kalau bahasa Mandarin saya tak berapa sempurna. Biarpun lagu yang akan dirakamkan itu bukanlah sepenuhnya lagu saya, tetapi gemuruh tetap ada apalagi saya akan bergandingan bersama tujuh wakil negara Asia lain yang tentunya hebat-hebat,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Selamilah Cinta ini, lagu yang masih belum diberi judul itu merupakan lagu tema untuk sebuah konsert besar sempena sambutan tahun baru yang akan dirakam dan ditayangkan di saluran TV Yunnan.
Malah kata Amanda, dia juga melahirkan pandangan positif mengenai gabungan idea menyatukan artis-artis dari pelbagai negara dalam satu lagu ini.
Amanda, dia juga sedang sibuk menyiapkan single terbarunya yang berjudul Cemburu kolaborasinya dengan penyanyi rap terkenal Malique.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: