AYER KEROH - Tuah buat pelajar, Hazman Shahir Samsul Kamar, 15, apabila berjaya memperoleh 5A 3B dan 1C untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) walaupun menderita ‘spinal muscular atrophy’ tahap dua sejak berusia lapan bulan.
Pergerakan yang terbatas menggunakan kerusi roda, menjadi pembakar semangat buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Alor Gajah itu untuk menimba ilmu.
Dikategorikan sebagai pesakit terlantar kronik tidak menjadi halangan buatnya mencapai cita-cita menjadi pereka cipta komputer.
“Saya bersyukur kerana rakan dan guru di sekolah banyak membantu.
“Jika tidak, saya tidak akan sampai ke tahap ini dan terima kasih kepada ibu yang sudi berkorban masa, menggalas tanggungjawab berat ini untuk membesarkan saya,” katanya.
Ibunya, Hazrina Hasan, 41, yang turut memiliki seorang lagi anaknya berpenyakit sama, Muhammad Hazwan Syaref, 12, berkata, walaupun dikurniakan anak tidak sempurna, mereka harus dihargai dan disayangi seperti insan normal.
“Walaupun dalam keadaan kurang upaya dan susah untuk mengambil peperiksaan tetapi Hazman Shahir membuktikan dia mampu mencipta kejayaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: