Saturday, December 10, 2011

Perubahan radar Sheila On 7



BAND Sheila On 7 (SO7) baru-baru ini terbang ke Kuala Lumpur kerana konsert Muzik Fiesta Indonesia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ternyata mereka kelihatan mereka masih penuh bertenaga sama seperti zaman kegemilangan mereka ketika popular dengan lagu Dan serta Sephia sekitar 10 tahun lalu.

Cuma yang berbeza, kini mereka bukan lagi anak muda sebaliknya band yang dianggotai oleh Duta (vokalis), Eross (gitar), Adam (bass) dan Brian (drum) sudah semakin berkembang kerana masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen besar selain bermain muzik.

Kedatangan mereka ke Kuala Lumpur selama empat hari juga turut membawa gerombolan kru muzik serta semua ahli keluarga masing-masing.

Kata vokalisnya Akhdiyat Duta Modjo yang memiliki dua orang anak bersama isterinya Adelia Lontoh: “Memang berbeza, jika dahulu kalau kami mengadakan konsert jelajah dari satu kota ke kota yang lain, kami hanya fikirkan muzik serta keseronokan waktu itu.

“Kalau di hotel, orang kiri kanan marah kerana kami yang buat bising, sekarang yang bising itu adalah anak-anak kami kerana jika lokasi konsert itu bersesuaian, kami akan bawa seluruh keluarga.”

Eros yang baru sahaja memiliki anak lelaki bernama El Pitu Candra pada tanggal 10 Februari lalu menambah: “Kalau naik bas, penuh dengan keluarga dan anak-anak kami sahaja. Sudah seperti pusat asuhan kanak-kanak. Tetapi itu caranya kami menghabiskan masa dengan keluarga.

“Kami masih seperti dahulu, masih gila-gila dan suka bermain muzik, cumanya kami lebih fokus terhadap apa yang kami ingin lakukan pada masa hadapan. Setiap perbuatan harus difikirkan kesannya, kerana impak yang datang bukan sahaja kepada kami tetapi juga anak-anak.”

Meskipun sibuk dengan keluarga, itu tidak bermakna prestasi SO7 menurun, sebaliknya mereka masih sibuk seperti biasa.

“Kami sibuk, jika tidak adakan konsert jelajah, kami menerima undangan persembahan. Tetapi pada masa yang sama kami juga seimbangkan masa di rumah dan bekerja.

“Kalau waktu dahulu, kami boleh terus bekerja tanpa fikir pulang ke rumah tetapi selepas bernikah, jika terlalu lama di luar, isteri akan telefon menyoal apa yang kami lakukan.


SHEILA ON 7 dari kiri: Eross, Brian, Duta dan Adam. Mereka tidak pernah berpecah sejak ia ditubuhkan.


“Jika terlalu lama di rumah, isteri juga yang akan menyoal, kenapa lama di rumah, sudah tidak ada kerjakah? Kiranya, kehidupan kami semua lebih lengkap sekarang ini,” jawab Duta sambil tertawa.

Isu nada dering

Jika dahulu jumlah jualan album fizikal yang menjadi penanda aras kejayaan sesebuah album, tetapi kini, album digital serta nada dering juga antara bukti populariti sesebuah lagu atau album.

Di negara seberang kini sedang hangat dengan isu nada dering (ring back tone) diberhentikan buat sementara waktu oleh pihak berkuasa kerana didapati terdapat penyelewengan dalam proses pembelian lagu.

Ketika disoal isu ini kepada SO7, mereka memberitahu, pembelian nada dering diberhentikan kerana pihak berkuasa mendapati berlakunya penyelewengan sehingga memberi kesan terhadap pendapatan artis serta syarikat telekomunikasi yang terbabit.

“Langkah itu hanya bersifat sementara, tetapi buat kami ia satu langkah yang bagus kerana pihak berkuasa menyiasat dan akan menangkap dalang di sebalik penyelewengan pembelian nada dering.

“Mereka yang menerima kesan adalah artis yang bergantung seratus peratus pendapatannya terhadap pembelian nada dering tetapi tidak SO7,” jawab Duta.

Sambung Duta lagi, meskipun jualan album serta lagu dalam bentuk digital mendahului album berbentuk fizikal, tetapi SO7 masih berpegang kuat terhadap jualan album berbentuk fizikal.

“Kami tidak terjejas langsung kerana kami lebih utamakan kepada jualan album fizikal. Syukur alhamdulillah, peminat SO7 lebih suka mendapatkan album penuh berbentuk fizikal daripada membeli yang digital.


SEMUA anggota Sheila On 7 sudah berkahwin dan kini akan membawa keluarga sekali jika keluar daerah untuk persembahan.


“Bagi kami sendiri, album fizikal lebih puas diperolehi daripada digital. Walaupun begitu, kami tidak mengatakan yang kami menentang terus jualan digital kerana kami juga terlibat dalam proses perkembangan teknologi.

“Cuma, bagi SO7 identiti sebuah band terletak pada albumnya. Jadi, kami akan terus berkarya dan mengeluarkan album berbentuk fizikal kerana ia masih mendapat permintaan yang tinggi daripada peminat, selain untuk kepuasan diri kami sendiri,” ujar Duta yang memberitahu peminat boleh berkomunikasi bersama mereka di akaun Twitter SO7.

Jutaan unit

Bercerita lanjut mengenai album ketujuh berjudul Berlayar yang dilancarkan pada Februari 2011 itu, jualannya sudah mencecah angka 1 juta unit.

Malah, SO7 juga menerima anugerah Double Platinum dek kejayaan album tersebut.

“Di Indonesia selepas lagu single Hari Bersamanya, kami sekarang sedang promosi lagu single kedua. Ada daerah yang popular dengan lagu Hujan Turun dan ada daerah pula popular dengan lagu Pasti Kubisa.

“Kami tidak kisah mana satu lagu yang menjadi hits, kerana dalam album Berlayar semua anggota SO7 ada menyumbang lagu. Album Berlayar juga dirasakan album terbaik kami kerana ia memuatkan semua cerita naik turun, serta suka duka kami sepanjang kewujudan SO7,” jelas Eros.

Disoal bagaimana mereka bersaing dengan band-band baharu yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan di Indonesia, dengan nada merendah diri, kata Eros mereka bermain muzik daripada hati.

“Lagu yang dibikin daripada hati dan perasaan yang benar itu lagi lama bertahan dan mudah menyentuh perasaan orang yang mendengarnya.

“Selain itu, kami masih mengekalkan identiti muzik kami sambil menambah elemen baharu yang segar untuk peminat. Jika orang dengar muzik kami, sudah tahu itu muziknya SO7. Mungkin kerana itu, kami masih dikurniakan rahmat dan peminat terus menyokong kami,” balas Eros yang menyimpan impian untuk mengadakan konsert di Malaysia lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: