Friday, December 9, 2011

Persepsi juara Ustazah Pilihan


FIRUZ kurang yakin mampu menjuarai Ustazah Pilihan lantaran merupakan satu-satunya finalis yang tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang agama.


SETELAH sembilan minggu mengharungi pelbagai cabaran dan ujian sepanjang berlangsungnya program Ustazah Pilihan, akhirnya peserta Firuz Akhtar Mohamad Bohari, 27, telah dinobatkan sebagai juara.

Dalam acara kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada minggu lalu, peserta yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya mengatasi saingan tiga orang peserta lain iaitu Masfira Hilman, 27, Nurul Hidayah Kamarudin, 26 dan Siti Fatimah Mohd. Sharif, 26.

Untuk saingan akhir, keempat-empat finalis telah diberikan tugasan iaitu mendekati permasalahan pernikahan sempadan dan markah dinilai berdasarkan 40 peratus markah keseluruhan, 40 peratus menerusi ujian bertulis dan bakinya adalah hujah yang disampaikan pada Raudhah Ustazah Pilihan yang berlangsung pada malam tersebut.

Kemudian, para peserta mengharungi pula tugasan kedua iaitu mengupas tentang topik Muslimah Terhebat di hadapan Mudirah, Dr. Robiah Kulop Hamzah serta dua orang Mursyidah iaitu Prof. Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan.

Bagaimanapun, saingan yang berlangsung turut menimbulkan kejutan apabila dua orang peserta sahaja yang dipilih untuk merebut gelaran juara iaitu Firuz dan Hidayah, manakala Siti dan Masfira pula sekadar berada di kedudukan ketiga dan keempat.

Menurut Firuz, ketika namanya diumumkan sebagai juara Ustazah Pilihan, dia sendiri agak terkejut dan tidak menyangka memandangkan saingan hebat yang turut diberikan oleh tiga peserta yang lain.

“Kalau melihat kepada semua peserta yang bersaing pada peringkat akhir ini, saya berasa sedikit kurang keyakinan memandangkan tidak mempunyai kelebihan berbanding rakan-rakan yang lain.

“Antara keempat-empat peserta pada malam ini, hanya saya seorang sahaja finalis yang tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang agama. Namun, saya tetap bersyukur kerana telah dinobatkan sebagai juara,” ujar graduan dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Parsi di Universiti Al-Zahra, Iran.

Ujarnya, antara salah satu sebab dia tertarik untuk menyertai program Ustazah Pilihan yang diterbitkan oleh saluran Astro Oasis ini adalah disebabkan dia memang cukup tertarik dengan rancangan yang berbentuk keagamaan.

Jelasnya lagi, dengan kemenangan yang diraihnya itu juga dilihat serba sedikit mampu mengubah pandangan tipikal sesetengah masyarakat Islam di negara ini tentang kerja-kerja dakwah.

“Saya berpendapat bahawa untuk bergelar ustazah atau melakukan kerja-kerja dakwah bukanlah terletak kepada individu lepasan agama, tetapi usaha dakwah ini sebenarnya adalah tanggungjawab semua orang,” tegasnya.

Mengenai pemilihan Firuz sebagai juara sulung rancangan tersebut, Robiah selaku Mudirah menjelaskan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria.

Ujarnya, penilaian yang dibuat oleh dirinya serta dua orang Mursyidah bukanlah pada malam kemuncak sahaja, tetapi penilaian sudah pun bermula sejak para peserta mula bersaing pada minggu pertama lagi.

“Kami bertiga sepakat untuk memilih Firuz kerana melihat dia adalah peserta yang memiliki kecerdasan ilmu yang sangat tinggi. Malah, dia turut mempunyai kematangan dalam mengolah pendapat serta mampu mengendalikan emosi dalam sebarang situasi.

“Begitu juga dengan kemahiran yang dimilikinya iaitu mampu menguasai empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Parsi yang sudah tentunya memberi kelebihan buat dirinya untuk bergelar juara,” jelasnya.

Dengan kemenangan tersebut, Firuz berjaya membawa pulang hadiah sebuah kereta Peugeot, biasiswa tajaan Yayasan Antarabangsa Al Madinah, pakej haji dan umrah, wang tunai RM25,000, barangan elektronik, pakej spa dan trofi.

Hidayah yang muncul naib juara memperolehi pakej umrah, wang tunai RM18,000, barangan elektrik, pakej spa dan trofi, manakala Siti turut menerima pakej umrah, wang tunai RM10,000, barangan elektrik, pakej spa dan trofi. Fira pula berpuas hati apabila membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej percutian dan spa serta trofi.

Tugas dakwah

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar menyatakan matlamat asal penerbitan rancangan Ustazah Pilihan adalah mahu melahirkan barisan pendakwah pelapis yang mempunyai ketrampilan sebagai ikon muslimah sejati.

Ujarnya, walaupun rancangan tersebut sudah tamat dan pemenang telah pun diketahui, tetapi tugas kesemua 11 peserta yang turut bertanding sebenarnya masih lagi belum berakhir.

“Selepas ini mereka akan diminta untuk pergi berdakwah ke merata-rata tempat dan ini menyebabkan mereka turut berjauhan dengan keluarga,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: