Friday, December 23, 2011

Perdana Menteri lawat KR1M di Universiti Malaya


NAJIB (empat dari kanan) beramah mesra dengan sekumpulan pelajar ketika meluangkan masa minum petang bersama pelajar di Universiti Malaya semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri (lima dari kanan).


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melawat Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Universiti Malaya di sini, iaitu KR1M pertama yang beroperasi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Najib yang tiba pada kira-kira pukul 4.45 petang disambut oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe. Najib kemudian dibawa melawat kedai itu yang beroperasi di kedai koperasi UM.

Selain menjadi IPT pertama yang menjual barangan KR1M, UM juga menjadi pelopor kepada penjualan makanan Menu Rakyat 1Malaysia.

Sambil menikmati menu pakej sarapan pagi iaitu teh tarik dan roti canai yang bernilai RM2, Perdana Menteri turut beramah mesra dan berbincang dengan kira-kira 300 pelajar yang mengunjungi koperasi berkenaan.

Lawatan Najib itu dilihat sebagai mengiktiraf produk KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di IPT dalam memastikan pelajar IPT juga berpeluang menikmati produk pada harga berpatutan.

Projek perintis KR1M dilancarkan oleh Perdana Menteri di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor pada 22 Jun lepas, menawarkan sehingga 250 jenis barangan keperluan di bawah jenama 1Malaysia, dengan sasaran sebanyak 85 premis KR1M dibuka di seluruh negara sehingga 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: