Monday, December 12, 2011

Peralatan teknologi mengesan terkini


Soh Lam Seng menunjukkan sebuah mesin analisis kimia keluaran Agilent.


PENGELUAR peralatan makmal terkemuka dunia, Agilent Technologies Inc baru-baru ini melancarkan tiga produk baru iaitu FTIR spektrometer paling kecil dan ringan di dunia iaitu - Agilent Cary 630 Fourier Transform Infrared Spectrometer.

Peralatan analisis pertama yang menggunakan udara - Agilent 4100 Microwave Plasma-Atomatic Emission Spectrometer dan sistem spektrometer jisim/komatografi gas (GC/MS) berasaskan peralatan gas kromatografi paling laris di dunia - Agilent 7200 Q TOF.

Peralatan untuk mengukur bahan bioanalitikal terkini akan membantu saintis dan ahli kimia menjalankan penyelidikan dan analisis pelbagai industri termasuk kimia, farmaseutikal dan akademi pada aplikasi meliputi makanan tiruan, keselamatan makanan, alam sekitar dan ujian tenaga.

Pengurus Negara, Analisis Kimia dan Sains, Agilent Malaysia, Soh Lam Seng berkata, mempertingkatkan kualiti makanan dan alam sekitar memainkan peranan penting ketika ini.

"Oleh itu lebih ramai pelanggan dan rakan penyelidik mahukan peralatan yang lebih canggih dan inovatif bagi memenuhi keperluan mereka hari ini dan masa akan datang.

"Pihak kami gembira dapat mempamerkan peralatan baru bagi membantu rakyat negara ini memajukan dunia sains," katanya semasa ditemui di Pameran LabAsia 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah apa yang lebih menarik Agilent Cary 630 FTIR mempunyai perisian intuitif yang membantu pengguna menerusi setiap langkah operasi dan menganalisis sampel dengan tepat dengan hanya beberapa saat.

Peralatan berkenaan amat sesuai bagi kawalan kualiti atau analisis kualiti (QA/QC) dalam industri kimia dan farmaseutikal atau penyelidikan akademik atau pengajaran di makmal.

Ia juga boleh digunakan bagi pelbagai aplikasi terutama mengesan ketulenan sarang burung yang menjana pendapatan berjuta Ringgit Malaysia (RM).

Menggunakan Agilent Cary 630 FTIR, sarang burung tiruan boleh dikesan hanya beberapa saat.

"Caranya mudah, hanya letakkan sampel sarang burung di hujung pengesan dan dalam beberapa saat bacaan telah diperoleh.

"Malah operator yang menggunakannya tidak memerlukan tenaga mahir," katanya.

Ini dapat mengurangkan kes-kes penipuan berkaitan dengan sarang burung tiruan memandangkan harganya yang mencapai ribuan ringgit sekilogram.

"Secara tidak langsung dengan membekalkan sarang burung tulen kepada negara China, ia akan memberikan pendapatan kepada negara," katanya.

Sebelum ini terdapat kes membabitkan pengeskport sarang burung tiruan yang didakwa datangnya dari negara ini.

Lam Seng berkata, sehingga kini terdapat beberapa pengusaha dan pembekal sarang burung telah membeli dan menggunakan alat berkenaan.

Selain itu, Agilent 4100 MP-AES pula merupakan peralatan yang bakal mengubah cara saintis mengendalikan analisis asas.

"Sekarang hampir semua analisis menggunakan gas yang mahal tetapi mesin terbaru ini dijana hanya memerlukan udara," katanya.

Disebabkan ia tidak memerlukan gas mudah terbakar atau mahal, peralatan berkenaan amat sesuai dan selamat digunakan bagi makmal analisis asas terutama di kawasan terpencil, makmal mudah alih dan operasi yang mengambil masa singkat serta kurang penyelenggaraan.

Menggunakan teknologi gelombang mikro, peralatan berkenaan menawarkan masa pengesanan lebih pantas berbanding peralatan sebelumnya.

Mesin ini juga mudah digunakan tanpa memerlukan latihan serta tidak memerlukan penentu ukur semula.

Manakala Agilent 7200 Q-TOF bagi GC/MS sesuai bagi menganalisis kompaun sasaran yang diketahui atau tidak dikenali dalam aplikasi yang lebih mencabar seperti keselamatan makanan, penyelidikan produk semulajadi, analisis alam sekitar, pengesanan dadah pada ahli sukan dan penyelidikan tenaga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: