Tuesday, December 27, 2011

Pengusaha mohon bina benteng


PENDUDUK Kampung Pantai Chap, Bachok membantu membina benteng pasir bagi membendung hakisan pada bangunan calet yang dibina di tepi pantai.


BACHOK – Pengusaha calet dan resort di pesisiran pantai Bachok dekat sini memohon bantuan kerajaan untuk membina benteng penghadang ombak bagi mengatasi masalah hakisan teruk yang berlaku di pantai itu pada setiap musim tengkujuh.

Pemilik Irama Beach Resort, Zawadi Mustafa berkata, bantuan itu perlu bagi menyelamatkan lebih 30 pengusaha industri pelancongan tempatan daripada mengalami kerugian berterusan akibat kerosakan bangunan yang mungkin boleh menyebabkan mereka gulung tikar.

Beliau berkata, ombak besar yang berlaku pada musim tengkujuh sering membimbangkan pemilik pusat pelancongan dan penduduk tempatan kerana ia menyebabkan hakisan berlaku dalam tempoh yang cepat.

“Taman pelancongan yang dibangunkan Irama Beach Resort dengan perbelanjaan RM10,000 kira-kira lima tahun lalu sebahagiannya musnah dibawa ke tengah laut selepas dihempas ombak besar dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zawadi berkata, masalah hakisan itu dapat diatasi hanya dengan membina benteng pemecah ombak di sepanjang pantai menggunakan batu granit yang besar dan ia tidak mampu dilaksanakan oleh pemilik calet kerana kos yang tinggi.

Penyelia Seri Chap CT Chalet, Mohamad Awang pula berkata, sebahagian pagar kawasan rekreasi caletnya turut musnah dalam tempoh dua hari selepas ombak kuat menghakis tebing resort berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: