Saturday, December 24, 2011

Pameran jentera modifikasi ekstrem



HUJUNG minggu lalu, pameran gaya hidup automotif yang dianggap terbesar diadakan di dalam lokasi tertutup di Malaysia melabuhkan tirainya. Dikenali sebagai Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011 (Honda-HIN KL 2011), ia berlangsung selama dua hari di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Acara yang julung-julung kali diadakan itu membawa satu pendedahan dan pengalaman baharu kepada peminat-peminat automotif tempatan. Ia bukan sekadar satu lagi pameran kereta biasa.

Pengerusi dan Penganjur Honda-HIN KL 2011, Reza Aliwarga menyifatkannya sebagai platform atau lokasi perjumpaan, sosial dan berkongsi ghairah terhadap kereta di bawah satu bumbung. Pelbagai aktiviti, peraduan dan sebuah konsert mini telah diadakan.

Penganjuran sulung HIN di KL

Sejarah Hot Import Nights (HIN) bermula pada tahun 1996 di Australia oleh sekumpulan mahasiswa. HIN berperanan sebagai medium mengetengahkan bakat dan kreativiti peminat automotif kepada masyarakat umum menerusi rangkaian acara berskala antarabangsa.

Populariti HIN kemudian berkembang ke Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia. Ia menjadi acara tahunan pameran kenderaan gaya hidup automotif di AS, Australia dan Indonesia. Peminatnya pula terdiri daripada ratusan ribu orang di seluruh dunia.

Untuk makluman, penganjuran HIN memasuki ulang tahun ke-10 di Indonesia dan Malaysia diberi peluang untuk mengadakan penganjuran sulungnya.

Khabar mengenai kedatangan HIN nyata mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan peminat kereta tempatan dan negara-negara jiran.

Namun, selepas menghadirinya, saya berpendapat masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan jika ia mahu diteruskan pada masa akan datang. Biarpun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa HIN memberi satu dimensi baharu dalam penganjuran acara seumpamanya di Malaysia.

Melangkah masuk ke dalam stadium, kelihatan sudah ada sebilangan pengunjung duduk di bangku stadium. Ramai juga yang berlegar-legar di kawasan pameran, meskipun jam masih belum pukul 12 tengah hari.


SEBUAH Proton Waja yang menerima modifikasi ekstrem dan lengkap dengan sepasang 'suicide door'.


Tanggapan pertama saya sejurus melewati pintu masuk, ada sesuatu yang tidak kena di sana. Ruang pameran kelihatan sempit. Susunan antara kenderaan terlalu rapat. Sukar membuka pintu kenderaan untuk mengambil gambar apatah lagi mendapat gambaran sisi jentera.

Import budaya modifikasi

Mengelilingi tapak pameran, ternyata pelbagai jenama kenderaan dipamerkan. Antaranya ialah BMW, Audi, Volkswagen, Smart, Nissan, Morris Minor, Lamborghini, Lotus, Aston Martin, Chevrolet, Honda dan Toyota.

Produk Proton dan Perodua juga terselit di sana. Kemunculan dua jenama tempatan itu kemudian mencetuskan pertikaian dalam forum-forum perbincangan di Internet. Mereka mempersoalkan adakah Proton dan Perodua tergolong sebagai jentera import?

Sebenarnya begini. Perkataan ‘Import’ itu merujuk kepada budaya modifikasi yang diimport terutama dari Jepun, (JDM atau Japan Domestic Market), AS dan Eropah. Bukannya ia terhad kepada jenama kereta import sahaja. Maksudnya, ketika HIN diadakan di AS, banyak kereta buatan AS seperti Chevrolet yang turut menyertainya.

Setelah hampir tiga jam berlegar di tapak pameran, lokasi seterusnya ialah Dynowars. Mencari akses ke kawasan Dynowars mengambil masa lebih setengah jam kerana saya sesat di dalam stadium!

Di lokasi Dynowars, terhimpun beberapa buah jentera dengan modifikasi enjin yang ekstrem. Tiba sahaja di sana, suasananya sepi. Tiada persembahan dilakukan. Saya difahamkan bahawa pusingan hari Sabtu telah tamat dan ia akan disambung semula pada hari esok. Ini sekali gus membuatkan ramai pengunjung yang terlepas sesi sebelumnya berasa kecewa.

Satu lagi kelemahan yang perlu diperbaiki adalah para pengunjung tidak tahu apakah acara sedang berlangsung. Tiada pengumuman dibuat oleh Deejay yang bertugas.

Sementara skin paparan hanya menayangkan klip video HIN di Indonesia. Penunjuk arah ke kawasan pertandingan misalnya drift kereta kawalan jauh (RC Drift) juga agak terselindung.

Banyak aktiviti

Ada sebilangan pengunjung yang mengeluh kerana bayaran RM20 itu tidak berbaloi. Untuk menikmati Honda-HIN KL 2011 secara maksimum, pengunjung harus meneliti setiap kereta yang dipamerkan.

Bukan itu sahaja, acara tersebut turut menyelitkan pelbagai aktiviti ekstra. Misalnya, pertandingan tarian B-Boys dan B-Girls, perlumbaan video konsol, RC Drift, selain Dynowars dan sistem audio kenderaan. Itu belum dikira persembahan hebat daripada Deejay yang diterbangkan khas dari United Kingdom (UK) dan Indonesia. Malah, pada malam Ahad, rocker Awie ada membuat persembahan selama hampir satu jam.

Jadi, ambil masa untuk menikmati semua aktiviti yang disediakan. Caranya, rancang apa yang hendak dilihat di sana. Barulah wang RM20 yang dilaburkan itu berbaloi.


PARA pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat hasil modifikasi secara dekat.


Pujian harus diberikan kepada pihak penganjur kerana mengambil inisiatif mendapatkan maklum balas daripada media. Segala kekurangan yang dikesan telah disuarakan. Pada keesokan harinya (Ahad), sudah ada pembaharuan. Contohnya, penunjuk arah ke lokasi acara Dynowars telah ditampal dan lebih mudah untuk dilihat.

Senario persembahan juga bertambah baik berbanding hari sebelumnya. Kebanyakan peserta membuka bonet enjin kereta masing-masing untuk membolehkan pengunjung melihat modifikasi yang dilakukan. Suasana pun semakin meriah.

Acara Dynowars yang menjadi tumpuan utama turut menggegarkan kawasan berhampiran. Ramai juga peminat tempatan tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri ledakan kuasa kuda jentera peserta.

Juri dari AS, Mickee Zenarosa menyatakan bahawa rata-rata peserta mengetengahkan dua budaya modifikasi berbeza iaitu Eropah dan Jepun. Dia juga mengakui terpesona dengan hasil kerja beberapa orang peserta.

“Sukar untuk membandingkan pameran ini dengan negara lain. Sebabnya, setiap negara memiliki budaya dan konsep pemotoran tersendiri.

“Apa yang saya lihat ialah peserta Malaysia banyak melakukan modifikasi badan kenderaan sehingga model sedia ada menjadi sebuah kereta baharu,” katanya.


HANYA menanti masa untuk menyertai pertandingan Dynowars.


Saya tidak menganggap anjuran kali ini sebagai suatu kegagalan. Bukan mudah untuk menganjurkan acara berprestij buat kali pertama. Mana-mana acara yang mula menapak pasti ada cacat-celanya.

Potensi acara yang melibatkan dunia modifikasi kenderaan dan industri hiliran automotif di Malaysia sememangnya cukup besar. Harapannya, akan ada lebih banyak pihak terutama pengeluar kenderaan dan pembuat produk berkaitan kereta akan mengambil bahagian dalam acara sama pada tahun depan. Selamat maju jaya!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: