pantai

KUALA BESUT – Penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pangkalan Atap di sini yang tinggal berhampiran pantai bimbang apabila sebahagian besar rumah mereka dimasuki air akibat laut pasang besar selain dipukul ombak setinggi empat meter semalam.

Angin kuat berserta penomena air laut pasang besar menyebabkan ombak besar antara tiga hingga empat meter seterusnya mengakibatkan benteng pemecah ombak berhampiran kawasan perumahan ini pecah menyebabkan air laut melimpah dan memasuki rumah penduduk yang terletak kira-kira 400 meter dari pinggir laut dalam kejadian jam 8 malam kelmarin.

Sehingga semalam, seramai 196 orang daripada 41 keluarga yang tinggal di situ terpaksa berpindah kerana selain rumah dimasuki air mereka turut bimbang keselamatan diri apabila ombak kuat menghempas dinding rumah terutama rumah yang berada paling hampir dengan pantai.

Setakat kelmarin, jumlah keseluruhan di situ adalah sebanyak 46 keluarga manakala baki lima keluarga lagi berpindah petang semalam.


Pelbagai agensi bantu mangsa

ADUN Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar berkata, mangsa yang berpindah terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa dan 44 kanak-kanak lelaki serta 30 kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, kesemua mereka ditempatkan di Balai Raya Pangkalan Atap dan Surau Kampung Pangkalan Atap yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan terlibat sejak jam 9 malam kelmarin.

“Semua mangsa selamat dan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pelbagai agensi berkai-tan termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“Mereka turut dibekalkan selimut, tikar dan makanan sebaik sahaja mendaftar di pusat pemindahan berkenaan,” katanya yang turut melawat mangsa dan lokasi kejadian.

A Rahman berkata, air pasang mula berlaku kira-kira jam 8 malam lagi menyebabkan kesemua rumah penduduk mula dimasuki air.

Menurutnya, keadaan tambah cemas apabila benteng tanah dibina bagi mengelakkan ombak berhampiran perumahan di situ roboh di dua tempat menyebabkan air laut masuk dan paras air laut meningkat.


Gerun ombak kuat

TINJAUAN Sinar Harian di kawasan berkenaan pada malam kejadian mendapati ombak agak kuat dan agak menggerunkan sementara ombak memasuki kawasan perumahan itu.

Selain mangsa, orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan itu keluar beramai-ramai untuk melihat penomena yang dianggap jarang berlaku di situ.

Sementara itu, pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Daerah Besut, pemimpin masyarakat dan pelbagai agensi lain bertungkus lumus membantu mangsa.